Wednesday, November 28, 2012

Legasi Cinta Alisia : Bab 19

Cetusan Marga ♛ LORD ZARA 札拉 ♛ detikan 11/28/2012 08:57:00 PM

http://farm8.staticflickr.com/7057/6983576213_4c5a72c2d7.jpg
Perhatian : Semua karya yang disiarkan adalah hak milik penulis itu sendiri. Sebarang penyiaran semula tanpa keizinan penulis adalah salah dan melanggar hak cipta terpelihara. Tindakan akan diambil.

Desiran bayu senja bertiup perlahan. Serakan daun-daun berterbangan ke dalam gelanggang menyaksikan dua insan yang saling memerhatikan satu sama lain tanpa menghiraukan alam sekeliling. Bagai masa dibekukan dan dunia ini hanya punya mereka berdua. Sepi tanpa sebarang unsur luar dan bahasa badan sahaja merakamkan perbualan deria mereka.

            “Alisia”
            “Melamar untuk apa?”

            “Awak rasa?”
            “Entah, mana saya tahu”

            Brian Zaff Chia Hau melepaskan nafas melalui mulut perlahan. Gelodak di jiwa ditenangkan sambil menyumpah di dalam hati. Berhenti  bergendang wahai jantung, jangan panggil si tukang pemukul besi terus membunuh sarung dan saraf jiwa seorang hamba yang mini.

            “Saya mahu melamar awak untuk jadi jurulatih peribadi bola keranjang gimnasium saya. Boleh?”

            Alisia tercengang dan kemudian mengukir senyuman. Ah, gundah rasa hati ditolak perlahan ke tepi. Tidak perlu meracau di dalam marga. Ini rupanya hajat si jejaka. Menggunakan ayat melamar bagai mahu merisik untuk dijadikan empunya permaisuri di atas takhta. Menyembunyikan ketawa kecil tanpa menyedari lelaki di hadapannya sudah menyesali betapa ayat itu yang terkeluar dari bibirnya.

            “Awak sendiri pemain yang hebat Chia Hau”
            “Saya dah lama tak main. Boleh atau tidak Alisia?”

            “Mungkin boleh, tapi kena tengok jadual saya juga. Sekarang ini sedang sambung belajar”
            “Peringkat Sarjana?”

            “Ya, di Kampus Selatan”
            “Kembali ke tempat asal ya?”

            “Mesti, kewajipan saya.”
            “Nanti saya aturkan jadual pasukan saya. Kalau boleh masuk dengan jadual awak, memang hebat”

            “Baik. Nanti saya hantarkan pada awak ya?”

            Alisia tersenyum mengenangkan betapa nasib baik dia tidak menelah yang bukan-bukan. Dia berlalu dan menuju ke arah pasukannya yang sedang menunggu di dalam gelanggang. Dwen Zaff dan Ady Haqim bersorak melihatkan kelibat jurulatih kesayangan mereka yang sentiasa ceria. Belum pernah mengukir wajah duka di hadapan pelajar walaupun segaris cuma.

            “Hi fellas.”
            “Hi Miss Rayyan. Who’s that charming guy that hugged you just now?”

            “A friend of mine. Old friend”
            “He acted silly and a bit rude. Sorry because we threw that ball to him”

            “It’s okay. Accepted action in emergency situation”

            Ketawa berderai  di antara kami semua. Alisia Rayyan melihat sinar kegembiraan terpancar di wajah pemain yang disayanginya. Ah, mereka semua tidak pernah membuat onar dan dia sangat berbangga punya anak didik yang berjaya begini.

            “Cikgu Rayyan, kawan cikgu itu kerja apa?”
            “Peguam wahai Ady. Kenapa?”

            “Nanti dia saman kami ke?”
            “Kalau dia saman, saya tampar dia.”

            “Cikgu nakal woo”
            “Demi kamu semua bermain dengan cemerlang di atas gelanggang, pasti saya akan lakukan apa sahaja tahu?”

            Pelajar-pelajar lelaki itu bersorak kegembiraan mendengar apa yang diucapkan oleh jurulatih mereka yang lincah. Latihan diteruskan tanpa mengenal erti penat lelah. Semuanya dengan satu tujuan, mahu lihat kemenangan berganda dan senyuman lebar terukir di wajah kesayangan mereka. 

            Gol!

*******

            Kadang-kadang sarung kaki akan kehilangan satu.
Dah pasti pun yang ia ada di tempat tertentu di dalam rumah tetapi asyik tidak dapat dicarikan sahaja.
Satu sarung kaki sahaja memang tidak dapat dipakai ; tetapi ditinggalkan juga kerana terlupa untuk membuangkannya.
Pada suatu hari yang tidak disangka, boleh pula sarung kaki yang hilang didapati semula di tempat yang telah dilupai.
Keadaan ini jauh lebih menggembirakan daripada masa sarung kaki tersebut dibelikan.
Kerana kegembiraan yang sementara itu, manusia selalunya tidak akan membuangkan satu sarung kaki yang tidak berguna itu.

            Alisia memegang sarung kaki di tangan sambil tersenyum. Entah mengapa, bait yang pernah dicoretkan itu terngiang di minda sebentar tadi. Mungkin kerana ia begitu dekat dengan dirinya saat ini. Ah, betapa manisnya detik menerima bingkisan rahsia daripada lelaki yang pernah menghuni ruang kamar jiwa. Walaupun hanya sepasang sarung kaki, ianya cukup bermakna. Dipakai setiap kali punya perlawanan penting, kononnya mengambil aura.

            Hujung minggu tiba. Cuti biasanya dihabiskan dengan aktiviti riadah sendirian di tasik berhampiran. Sarung kaki kuning dipakai bersama kasut sukan jenama Nike. Kegemaran disebabkan keselesaan dan juga pemain bola sepak terkenal menjadi dutanya. Aduhai, hebat strategi pemasaran hingga dia juga goyah dan rebah melihatkan poster Cristiano Ronaldo terpapar megah di kedai sukan tersebut.

            Riadah sendirian tanpa teman, sudah dilakukan sejak di kampus selatan. Kebetulan, minggu ini perlu ke kampus menunaikan tanggunjawab sebagai pelajar sarjana. Maka, kesempatan diambil untuk melunaskan amanah diri menjaga kesihatan. Teringat akan seseorang yang akan mengomel kalau kesihatan diabaikan. Ah, boleh bernanah telinga dan otak mendengar leteran.

            Deretan teksi yang bertali arus melalui pintu gerbang menarik perhatian Alisia Rayyan. Ah, sudah ramai pelajar yang keluar mencari sedikit hiburan. Hidup sesak barangkali dengan timbunan tugasan. Hujung minggu masa untuk keluarkan sedikit simpanan dan menikmati juadah selera pelbagai hidangan. Buku biru gelap ditarik keluar perlahan. Entah bagaimana, timbul ilham untuk membuat coretan.

            Cinta bagaikan masa menunggu teksi.
Tak datang juga walaupun sudah lama berdiri, tapi bukan pula tiada.
Kerana tiada teksi yang kosong, inilah yang paling membuatkan diri ini berasa marah.
Mungkin akan dapat jika menunggu di jalan yang sebelah lagi.
Akibatnya, hanyalah dalam sekelip mata sahaja teksi telah dinaiki orang.
Tunggu dengan senyap pun teksi tidak akan datang.
Mencari dengan sedaya upaya pun tidak akan dapat.
Kalau tidak dapat, memang tidak akan dapat.
Tidak!
Sepatutnya, orang yang tidak akan datang, memang tidak akan datang.
Apabila meninggalkan kerana putus asa pula, beberapa teksi yang kosong akan datang secara berterusan.
Alisia Rayyan
Tasik Kampus Selatan

Ketawa Alisia dengan telatahnya sendiri. Duduk di tepi tasik menikmati cahaya matahari membuatkan dia mengelamun sendirian sambil mengenangkan betapa minggu yang sibuk telah berlalu pergi. Kejohanan bola keranjang sudah berakhir untuk pusingan kalah mati. Kini menunggu saat bertemu juara dari kawasan Gunung Tinggi. Belum sah juara selagi tidak memulakan tarian gelanggang dengan mereka yang menjadi musuh tradisi. Penat duduk, dia terbaring merenung langit yang biru, permai rasa di jiwa.

“Ouch!”

Satu layangan kertas berbentuk kapal terbang menjunam ke arah mukanya. Sakit. Gosok perlahan sambil bingkas bangun mencari siapa gerangan. Rumput yang melekat di badan segera dibersihkan. Menjengah ke kiri dan kanan. Kosong, tiada kelibat manusia kelihatan. Bengang, kertas mahu direnyukkan. Mata tertancap di kapal terbang kertas di tangan. Eh, ada tulisan!

“Buat Alisia Rayyan.”

Alisia tercengang dan kapal terbang kertas segera dileraikan. Bau wangi semerbak keluar dari lipatan. Ah, siapa yang seperti kanak-kanak meletakkan pewangi di kapal terbang kertas permainan?

Rambut dan rumput.
Ada beza ke?
Pada aku - mungkin bezanya hanya kedudukannya sahaja.
Rambut di kepala , manakala rumput di tanah.
Tapi tak mustahil, rambut di tanah manakala rumput di kepala.
Tak mustahil.

Orang berbicara mengenai warna mereka - aku ketawa.
Lucu!

Sungguh!
Rumput hijau?
Rambut hitam.

Lucu!

Cuba kau lihat sekeliling.
Adakah semua rambut hitam?
Ada juga rambut perang, kuning, biru dan juga hijau!
Cuba kau lihat lagi, benarkah rumput hijau?
Ada juga coklat, keperangan dan juga hitam!

Mereka sentiasa berkongsi benda yang serupa.
Kejadian Yang Maha Esa - itu sudah pasti.
Yang penting - bila panjang, tangan pasti akan gatal untuk memotong.
           
            Alisia meninjau sekeliling. Masih tiada siapa kelihatan. Telefon genggam berbunyi dan pantas dikeluarkan untuk menjadi tatapan.

            “Awak comel berbaju hijau. Macam rumput yang baru dipotong”
            “Siapa ini?”

            “Penting ke mahu tahu siapa saya?”
            “Sudah tentu. Awak telefon saya, saya perlu tahu siapa gerangan”

            “Awak mahu berperikata dengan saya Cik Alisia?”
            “Saya cuma mahu tahu siapa awak!”

            “Ah, toleh sahaja ke belakang”

            Pantas Alisia berpaling dan Hizami Helmi sedang ketawa melihat muka pucat gadis itu. Ah, perbuatan lampau sudah dibayar sebentar tadi. Muka pucat dan bayangan garis terkejut sudah cukup buat peguam itu. Liya Daniyal, kamu pernah jadi pujaan akademik dalam diam.

            “Hai Liya”
            “Awak buat saya terkejut!”

            “Balas dendam memang manis wahai cik adik sayang”
            “Ah, itukan sudah lama dimaafkan?”

            “Mungkin, tetapi belum boleh dimaafkan”
            “Jahat kamu”

            “Tapi macam saya pernah nyatakan dahulu, kamu lebih manis memakai baju kurung magnolia sambil senyum sendirian. Itu lebih berharga tahu?”
            “Ah, gila”

            “Eh, mahu menikmati matahari dengan saya?”
            “Sila jangan menyanyi.”

            “Mana kamu tahu?”
            “Bukan baru kenal kamu”

            “Ah, sudah lama tak menyanyi depan kamu. Boleh kan?”
            “Suka hati kamu”

            Hizami Helmi Harith Stephen tersenyum lembut. Gadis muda itu sudah berbaring di atas rumput dan menikmati matahari yang memancarkan sinar cahaya megah. Merah saga menghiasi inci langit dan dia berseyukur kerana masih mampu menikmati isi dunia.

            “Kata nak menyanyi?”
            “Oh, baiklah. Dengar ya?”

            Hizami Helmi duduk di sebelah Alisia dan mula mengalunkan lagu dendangan penyanyi dari Indonesia, Agnes Monica berjudul ‘Matahariku’. Alisia menutup mata dan menghayati bait demi bait nyanyian dendangan Hizami Helmi. Ah, lelaki itu akan menyanyi kalau hatinya dirundung duka.

Tertutup sudah pintu, pintu hatiku
Yang pernah dibuka waktu hanya untukmu
Kini kau pergi dari hidupku
Kuharus relakanmu walau aku tak mau

Berjuta warna pelangi di dalam hati
Sejenak luluh bergeming menjauh pergi
Tak ada lagi cahaya suci
Semua nada beranjak aku terdiam sepi

Dengarlah matahariku, suara tangisanku
Kubersedih karna panah cinta menusuk jantungku
Ucapkan matahariku puisi tentang hidupku
Tentangku yang tak mampu menaklukkan waktu
           
            Alisia membuka mata dan Hizami Helmi sedang berjuraian air mata di tepinya. Sedih, itu pasti sedang menyelubungi lelaki itu. Serba salah melihat lelaki itu begini. Mengengsot ke tepi Hizami dan menghulurkan tisu. Lelaki itu menyambutnya dan entah bagaimana, terus memeluk Alisia.

            “Beri saya pinjam bahu kamu sebentar, sekejap sahaja. Bahu kamu mampu buat saya bahagia”

            Alisia bungkam tanpa sebarang kata. Ditolak lembut pelukan lelaki itu dan entah mengapa, ada bibir yang sedang mencari mangsa, terhijab dengan sinaran mata, akibat kehilangan matahari diri yang sirna.

            “Prak!”
            “Ouch!”


(bersambung)

0 ulasan:

 

Cetusan Marga Zara Copyright © 2011 Design by Ipietoon Blogger Template | Best Gift ideas