Wednesday, November 28, 2012

Legasi Cinta Alisia : Bab 16

Cetusan Marga ♛ LORD ZARA 札拉 ♛ detikan 11/28/2012 08:32:00 PM

http://farm8.staticflickr.com/7057/6983576213_4c5a72c2d7.jpg
Perhatian : Semua karya yang disiarkan adalah hak milik penulis itu sendiri. Sebarang penyiaran semula tanpa keizinan penulis adalah salah dan melanggar hak cipta terpelihara. Tindakan akan diambil.

“Aduh, sakitnya”
            “Maaf saudari. Saya tidak sengaja”

            Alisia menggosok kepalanya yang terasa sengal dan bengal. Kepala diangkat dan wajah pertama yang dilihat adalah Hizami Helmi. Mencerlung mata dan darah merah menyerbu ke wajah. Ah, dalam banyak-banyak manusia di kolej mengapa lelaki itu? Kepala ditundukkan dan hati mengomel dalam diam.

            “Cik adik, awak bukan langgar saya, tapi kawan saya ni.”

            Alisia mengangkat muka mendengar kata-kata yang dituturkan oleh lelaki bermata sepet dihadapannya. Ada lelaki lain yang sedang tersengih sambil mengusap dada akibat perlanggaran kenyal sebentar tadi. Nasib baik gadis itu rendah, kalau tidak entah apa yang bakal terjadi.

            “Oh, alamak ketua! Maaf yang amat sangat!”
            “Lah, Alisia Rayyan rupanya. Hizami, ini budak fizikal juga. Sila berkempen sebab gadis ini banyak kenalan dan jaringan sosial yang amat luas dikalangan semua pelajar tanpa ada diskriminasi”

            “Sejak bila pula Azwan?”
            “Ah, Alisia. Semua orang pun kenal kamu. Duduk makan bersama sahaja boleh ramah macam sudah tinggal serumah”

            “Alahai, kalau ketua lembaga masjid dah berbicara. Sudahlah ketua pilihan raya, saya dan kawan mahu datang bertugas. Mana poster yang dikata mahu dijadikan promosi?”

            Azwan Anuar tepuk dahi dan tergelak sendirian. Terlupa dengan janji mahu memberikan poster serta banting keluar mengundi kepada Alisia. Kekangan tugasan kuliah dan mengimamkan solat jemaah sebentar tadi hingga terkhilaf tidak sempat meletakkan barang di bilik gerakan. 

            “Ini dia poster. Ada yang masih di kedai pencetak. Awak nak pergi tampal dengan siapa?”
            “Kawan saya, Amirah, dan rakan-rakan lain. Bawah saya kan ada 10 orang wahai ketua?”

            “Oh, baiklah. Saya minta diri dulu ya Alisia? Maaf sekali lagi sebab terlanggar awak”
            “Baik Azwan”

            Hizami Helmi hanya mendiamkan diri dan tersenyum nipis di belakang Azwan Anuar. Pelik dia melihat gadis yang cukup bertenaga ini. Yang menambah pelik lagi, Azwan Anuar yang sukar untuk berbual dengan mana-mana gadis boleh berbual panjang dengan perempuan itu. Cukup bersahaja dan mesra. Gadis itu mengucapkan salam dan berlalu pergi sambil tersenyum. Baru tersentak dari lamunan, Hizami Helmi menjeritkan sesuatu pada Alisia.

            “Awak, jangan lupa undi saya! Ajak kawan-kawan sekali”

            Alisia hanya ketawa dan menganggukkan kepala. Lelaki itu kelihatan pelik walaupun seraut wajah yang tampan itu mampu mencairkan mana-mana hati gadis yang melihat. Alisia teringat beberapa orang gadis memerhatikan dia dengan pelik ketika berbual dengan Azwan Anuar sebentar tadi. Ah, pasti mereka peminat Azwan Anuar atau Hizami Helmi. Tersenyum nipis dan mengangkat telefon genggam yang berbunyi.

            “Ya Amirah sayang. Di mana kamu?”
            “Aku dah di bilik. Rasa kurang sihat sangat”

            “Tak mengapa. Poster aku dah dapat, esok baru gantung semua. Boleh kan?”
            “InsyaAllah esok akan bertambah baik. Terima kasih Alisia”

            Poster di tangan direnung. Senyuman manis dan meyakinkan dari deretan calon-calon ditatap sebelum mata mencari wajah tiada perasaan sebentar tadi. Ah, Hizami Helmi dengan gaya yang lucu di dalam gambar. Entah mengapa teringat wajah Mr. Bean bila melihatkan senyuman dan muka itu. Ketawa perlahan dan pantas pulang ke kolej. 

            Alisia mengulum senyum teringatkan kisah lalu. Betapa kali pertama bersua muka tanpa mengenali siapa Hizami Helmi masih segar dalam minda bagaikan baru semalam layaknya. Kereta diparkir di bawah bangsal kereta dan Bonda sudah siap menunggu di beranda.

            “Ada bunga atas meja, tiada nama pengirim. Buat kamu”

            Alisia hanya terlongo.

            *******

            Seperti biasa, setiap petang Selasa, pasukan bola keranjang SMK Muara akan menjalani latihan di padang berdekatan. Gelanggang terbuka lebih sesuai buat Alisia memandangkan semua pelajar di bawah jagaannya adalah lelaki. Perlawanan persahabatan dengan SMK Tun Mahathir akan berlangsung hujung minggu ini. Maka latihan intensif dijalankan untuk mencari pemain di tahap tertinggi. Dwen Zaff memeluk tubuh di hujung gelanggang, berdiri di sebelah Alisia.

            “Como você professor? (Apa khabar cikgu?)”
            “Eu estou fazendo o bem. Como está o teu irmão? (Saya baik. Macam mana dengan abang awak?)”

            “Por que você pergunta meu irmão enquanto eu estou aqui? Melhor só me perguntar meu caro. (Kenapa tanya adik saya sedangkan saya ada di sini? Lebih baik tanya saya terus kan?)”

            Alisia tersentak dan menoleh ke belakang. Brian Zaff Chia Hau tersenyum melihat guru muda itu terbeliak memandangnya. Memakai tudung ala selendang tiga warna – merah, kuning dan jingga, sungguh manis gadis itu di pandangan matanya. Ah, tiada kaca mata yang diletak di atas hidung hari ini. Menambah keayuan gadis Melayu di mata lelaki itu. Hanya dapat dilihat tetapi tidak dapat dimiliki. 

            “Cikgu, kawan-kawan dah datang. Saya mulakan latihan dulu ya?”
            “Baik Dwen. Lepas ini, cikgu nak tunjukkan pelan serangan khas kita kali ini.”

            “Okay Miss Rayyan!”
            “Stop calling me Miss Rayyan, Dwen.”

            Dwen berlari pergi sambil ketawa mengekeh. Berdoa dalam hati agar abangnya dapat berbual baik-baik dengan jurulatih yang dikasihi. Moga ada ikatan yang bakal tersimpul rapi dalam pertemuan bertentang mata petang ini.

            “Alisia”
            “Ada apa?”

            “Terima kasih sebab sudi jenguk saya di hospital hari tu”
            “Oh, tiada masalah. Awak kawan saya, saya akan datang tengok. Lagipun, khabarnya awak cedera sebab melatih adik awak. Itu anak didik saya juga. Maka saya rasa bertanggungjawab”

            “Komitmen saya pada sukan ini belum pernah berakhir. Lebih-lebih lagi sukan yang menjadi kegemaran saya sejak di bangku sekolah lagi”
            “Awak memang.”

            “Memang apa? Memang comel?”

            Alisia membuat reaksi menjeluak bila mendengar kata-kata Chia Hau. Lelaki itu ketawa dengan aksi bersahaja itu. Gadis itu tidak pernah berubah walaupun sudah lama tidak menghabiskan masa bersama. Alisia tersenyum simpul melihatkan Chia Hau yang duduk di bangku panjang hijau.

            “Alisia querida”
            “Sim (Ya)”

            “Você ainda escrever poemas ya? (Awak masih menulis puisi ya?)”
            “Sim, por quê? (Ya, kenapa?)”

            “Qualquer um mais recente? (Ada yang terbaru?)”

            Alisia tunduk ke arah beg galas merah yang diletakkan di dalam bakul bola. Buku biru gelap dikeluarkan dan pantas jari menyelak muka surat yang bertanda dengan bebuli merah jambu bergantungan. Halaman itu dihulurkan kepada Chia Hau yang menanti penuh sabar. Lelaki itu pernah menjadi pengkritik tetap apa yang ditulisnya sejak sekolah lagi. 

            “Langit percikan warna jiwa? Ah, masih suka melihat langit ya sayang?”
            “Ah, mestilah. Langit itu indah dan merangsang minda saya. Penuh nafsu melihat awan macam melihat gula-gula kapas. Chia Hau, saya ke sana dulu. Mahu melatih pemain-pemain saya dulu.”

            “Saya baca dulu ya?”

            Alisia tersenyum dan pantas melangkah menuju ke bahagian hujung gelanggang yang bersinar dengan matahari terang. Sinaran memancar disebalik awan yang menjauh antara satu sama lain. Kicauan burung kedengaran berdendang riang di pohon ketapang berdekatan. Chia Hau tersenyum mengingatkan betapa dia dan Alisia sering menghabiskan masa berbaring di tepi gelanggang untuk menikmati keindahan awan dan langit yang terbentang tiada sempadan.

Langit itu masih tetap sama seperti kali pertama kau ku kenali.
Langit itu tetap dengan warna berseri.
Masih tulus tatkala aku mula berani percikan warna.

Empunya Marga.
Langit masih tulus dan ikhlas merenung kembali sambil aku lukis nama kau guna jemari.
Dongeng yang dibaca menerjah minda, menari ...indah.
Seumpama mawar putih sudah bertukar merah.
Perlip kau menyuntik rasa bahagia.

Kenangan beku masa aku selak satu persatu.
Kau punya tempat yang cukup istimewa.
Selagi aku punya daya mendongak ke arah langit, akan ku ukir wajahmu.
Hening pagi, matahari mencuri menyelinap masuk di celahan awan.
Renung ke luar dan terbias wajah kesayangan aku.
Milik empunya yang mesra.

Menatap langit sendirian.
Kelam malam membungkus segala perasaan.
Senyap dalam dakapan.
Tertaut dek ciuman.
Kening kanan menerima kucupan.

Langit masih ikhlas.
Langit masih rupawan.
Kaki langit masih jauh untuk aku lari ke hadapan.
Busana jiwa kau pakaikan penuh hemah.
Bisikan cinta perlahan penuh lembut menyejukkan hati pilu.
Kekuatan kau salurkan hanya dengan sebaris perkataan.

Cinta tidak berupa menatap satu sama lain,tetapi memandang ke luar langit arah yang sama.
Kalau aku renung langit itu,adakah kau juga begitu?

            Angin bertiup perlahan bagai membuai perasaan membaca nukilan Alisia Rayyan. Gadis yang gemarkan warna putih dan biru itu gemar menyuntik nafas sendiri dalam sebarang coretan. Acapkali perasaannya dicurahkan di dalam puisi yang pastinya sudah menimbun tidak pernah dihantar di mana-mana.

            “Langit percikan warna jiwa, tajuk yang kena dengan gaya penulisan Alisia. Siapa agaknya yang menjadi inspirasi kamu berkarya sekarang ini agaknya sayang.”  

            Chia Hau membuka dompetnya. Ada kertas kuning yang sudah hampir lunyai dilipat. Bertahun dia menyimpan catatan itu. Bila murung, pasti dibuka dan dihayati setiap aksara yang tertulis indah. Kertas pembakar semangat dan pencetus kekuatan. Mama pernah menyuruh dia menyimpan kertas itu di dalam botol agar penghantarnya suka kepada dia. Chia Hau melepaskan tawa. Betapa dalam Mama menyindir.

            “Dah baca ke?”

            Tersentak dengan teguran dari belakang, pantas Chia Hau menyimpan kembali kertas kuning agar Alisia tidak nampak apa yang dilakukan. Peluh menitik di wajah walaupun cuaca tidak membahang walau sedikit pun. Usai menyusupkan dompet ke dalam poket seluar, dia lantas berpaling dan tersenyum memandang gadis itu.

            “Sudah. Paling tertarik dengan bait puisi yang paling akhir.”
            “Yang mana?”

            Cinta tidak berupa menatap satu sama lain,tetapi memandang ke luar langit arah yang sama. Kalau aku renung langit itu,adakah kau juga begitu?”
            “Ya.”

            “Apa dia Alisia?”
            “Eh, maksud saya, saya juga sukakan bahagian itu.”

            Alisia meraup muka dengan tangan. Malunya dia dengan tutur bicara yang terlepas. Rasa seperti Chia Hau yang mendeklamasikan puisi terakhir itu dengan penuh perasaan. Ah, lelaki itu juga bagus dalam bidang penulisan dan bahasa. Pasti cara penyampaian dia sangat berkesan dan meruntun jiwa. Ah, indah kalau mengenang kisah lama.

            “Dah habis melatih pemain?”
            “Dah. Sudah pilih pemain-pemain utama. Dwen dapat juga.”

            “Dia ada potensi, Cuma mungkin kurang tinggi berbanding saya”
            “Umur dia baru lima belas tahun Chia Hau”

            “Saya dulu lebih tinggi”
            “Itu awak. Nak cari gaduh ke?”

             “Kuih gado-gado ke?”
            “Kuih gado-gado ada di pasar malam. Yang ada di sini pergaduhan.”

             Chia Hau menepuk bangku dengan kuat sambil ketawa terbahak-bahak. Lupa dengan kecederaan yang dialami walaupun belum pulih sepenuhnya. Menghabiskan masa bersama gadis muda itu di gelanggang bagai mengembalikan semula memori zaman persekolahan mereka. Bola keranjang banyak menyimpan rahsia mereka berdua. Digelar lelaki Serani yang cuba menjadikan Alisia Rayyan sebagai teman wanita sudah mangli ditelinganya. Siapa yang tidak teringin dengan gadis yang lincah di dalam gelanggang ini? Sudahlah hebat menjaring di keranjang, bagus pula dalam bidang akademik. Seiring.

            “Liya Daniyal”

            Darah merah menyerbu ke muka Alisia. Chia Hau sudah buat muka pelik dan memalingkan wajah. Alisia tahu, hanya ada seorang sahaja yang memanggil dia begitu di dunia. Berat rasa untuk menoleh ke belakang saat ini hanya Tuhan yang tahu. Berkecamuk pemikiran bila memikirkan bila bagaimana lelaki ini boleh muncul di sini?

            “Hizami Helmi Harith Stephen”
            “Bagaimana kamu boleh jumpa saya di sini?”

            Lelaki yang pekat dengan bauan Tommy Hilfiger itu ketawa kecil sambil menggelengkan kepala. Ah, dengan kepakaran seorang peguam yang mempunyai banyak kenalan, mustahil kalau di bandar kecil ini gadis itu tidak dapat dijejaki. Alangkah kalau orang yang lari dari saman dapat ditawan, apatah lagi gadis yang punya mata menawan?

            “Perkara mudah sangat Liya. Tersangat mudah. Tidak mahu tanya khabar diri saya, wahai cikgu jelita?”
            “Nampak kamu boleh berdiri di situ, pasti kamu sihat bukan?”

            Hizami Helmi ketawa sendiri. Betapa gadis itu amat pelik. Kekasaran yang ditinggalkan sudah kembali merajai atau disebabkan ada manusia yang lain di sisi? Dia tersenyum dan menghampiri gadis itu dengan tangan bersilang di belakang. Diri tepat di hadapan gadis itu. Mata bertentang dan bunyi nafas jelas kedengaran. Betapa alam amat kedekut untuk berkongsi bunyi-bunyian. Sepi. 

Jambangan bunga dihulurkan kepada gadis itu. Alisia mengambil dengan serba salah dan belum sempat mengucapkan terima kasih, Hizami Helmi sudah merangkul erat tubuh Alisia. Kejap dan erat sambil memejamkan mata, bagai mahu menikmati suhu badan wanita yang kaku dihadapannya.

“Lepaskan saya Hizami.”
“Sekejap Liya. Berikan saya sedikit kasih sayang. Jiwa saya terlalu kontang. Hidup saya musnah tanpa sebab Liya. Saya hanya mahukan secebis cinta.”

Pautan Hizami Helmi di badan Alisia semakin kuat. Chia Hau yang duduk di tepi menyumpah sendiri dengan kelemahan diri. Amarah menguasai melihatkan Alisia meronta mahu melepaskan diri.

“Dushum!”



(bersambungan)

0 ulasan:

 

Cetusan Marga Zara Copyright © 2011 Design by Ipietoon Blogger Template | Best Gift ideas