Wednesday, November 28, 2012

Legasi Cinta Alisia : Bab 15

Cetusan Marga ♛ LORD ZARA 札拉 ♛ detikan 11/28/2012 08:25:00 PM

http://farm8.staticflickr.com/7057/6983576213_4c5a72c2d7.jpg
Perhatian : Semua karya yang disiarkan adalah hak milik penulis itu sendiri. Sebarang penyiaran semula tanpa keizinan penulis adalah salah dan melanggar hak cipta terpelihara. Tindakan akan diambil.

“Danish!”
            “Kenapa Alisia?”

            “Awak dah ketandusan bunyi untuk pesanan ringkas telefon ke? Sampai guna bunyi pelempang untuk SMS?”

            Lelaki itu ketawa kecil sambil mengeluarkan telefon genggam E72 berwarna emas dari poket seluarnya. Jari pantas menekan butang kekunci membalas pesanan yang diterima sambil mengukir senyuman. Gadis itu menggelengkan kepala bila mengingatkan tuan pengetua di sekolah menggunakan irama bayi menangis sebagai isyarat penerimaan pesanan. Bergema bilik mesyuarat dengan tagisan bayi. Aduhai.

 Alisia membuang pandangan mata ke tepi. Remang senja semakin kelihatan, ah, hati tua Bonda pasti akan gusar nanti. Danish Aryan sudah ketawa melihatkan gadis itu seperti cacing kepanasan. Bukan dia tidak kenal Bonda Alisia yang tegas dalam hal mendidik anak-anak, terutama si dara.

“Sudah, mari pulang.”
“Memang mahu pulang. Kereta saya parkir di sana.”

“Takut Bonda marah kalau lewat pulang?”
“Itu sudah semestinya. Bukan awak tidak pernah jumpa dia.”

“Bonda awak, bonda saya juga”

Alisia mencerlungkan mata pada Danish Aryan sambil mencebikkan bibirnya. Danish hanya tertawa sambil terus menghala ke kawasan meletakkan kenderaan pelawat Hospital Sultanah Zahrah. Kenderaan sedang bertali arus keluar memandangkan waktu melawat sudah hampir tamat. Kebanyakan pulang dengan wajah sugul, mungkin mengenangkan anggota keluarga yang masih kurang sihat dan tidak bertenaga. Sudah terlampau biasa dengan pemandangan sebegitu hingga kadangkala dia sendiri tertanya-tanya apakah diri ini sudah kurang emosi. Mengalihkan pandangan pada Alisia yang sudah membelok ke arah kiri tanpa disedarinya.

“Alisia!”
“Ya. Kereta saya di sana. Tinggal Danish”

“Adiós querida.(Selamat tinggal sayang)”
“Adiós (Selamat tinggal). Assalamualaikum”

Usai gadis itu berlalu, Danish mengeluarkan kembali helaian catatan yang bertajuk Manisan Merah Jambu Buat Nakama. Duduk di bangku taman hospital, doktor muda itu menghayati setiap bait yang dicoretkan gadis itu sambil tersenyum mesra. Ah, siapa dapat menyangka, gadis kasar itu memang tebal dengan nilai sastera dalam diri.

Manisan putih beralur coklat memenuhi rongga.
Ada wajah yang menari dibayangan mata.
Walaupun cuma seketika.
Tapi kamu, kamu, kamu adalah insan yang aku tidak pernah lupa.

Senyuman terukir di wajah yang semakin hitam.
Pandangan belum pernah kelam.
Sujud syukur di permulaan malam.
Tiada gurauan pitam.

Kehadiran insan yang menyukai manisan merah jambu.
Aku ketawa pilu.
Masih ada jejaka yang mahu berkawan dengan manusia beku.
Senyuman terukir di bibir yang sudah sedingin salju.
Kawan yang boleh berkongsi cerita, dari blog ke mukabuku.

Manisan merah jambu sebagai suatu janji.
Tiada si putih bersadur sirap coklat, maka ia sebagai pengganti.
Tidak, lebih kepada jejaka itu mendambakan ia dalam hati.
Bukan aku, tapi manisan itu wahai mata yang memerhati.
Dan, aku sudah cukup cermat menelusuri.
Agar tiada hati dan rasa yang mati.
Dalam persahabatan suci.

Lagu indah berdendang ceria walaupun hakikatnya saduran duka.
Irama yang mesra.
Melodi yang cukup dekat dengan telinga.
Manis bagai betik yang dijadikan halwa.
Ertinya membawa cerita lara.
Mengapa aku jatuh cinta kepada kamu wahai si dara?

Terima kasih jejaka.
Mengenalkan aku pada dendangan pelbagai bahasa.
Lantas aku abadikan buat semua pencinta.
Manisan merah jambu buat kamu nakama.
Agar persahabatan ini akan terus bermakna.
Moga-moga.
Aku hanya dapat berdoa.
Moga ia terpelihara.

Ada sesuatu yang kekal berlegar dalam minda doktor muda yang mengenggam erat puisi karangan gadis yang pernah dia puja. Adakah untuk lelaki Serani yang sedang terbaring di Wad Kenanga?

“Hebat kamu Alisia. Tapi untuk siapakah puisi ini?”

*******

Dengan pamitan salam itu, Alisia terus menghala ke MyVi hitam yang terletak di sebelah Honda CRV perak. Betapa dia sangat mendambakan kereta itu suatu ketika dulu. Bila dinyatakan pada Bonda keinginan mahu mendapatkan kereta itu, bonda hanya mencemuh impiannya itu. Kalau dia mahu tinggal di dalam kereta sampai ke tua, Bonda pesan, beli sahaja kereta itu. Terkesan dengan sindiran Bonda, Alisia melupakan hasrat mahu memiliki kenderaan tersebut.

 CRV perak dikerling penuh keinginan sambil ketawa kecil. Ah, kalau ada teman-teman yang punya kereta itu, pasti akan dipinjam seharian untuk dipandu uji. Alisia pantas membuka pintu keretanya dan duduk melepaskan lelah berjalan laju dengan kasut tumit tinggi merahnya. Ah, rasa seperti watak animasi Little Red Riding Hood pula. Bezanya tiada serigala dan topi merah di kepala. Usai menghidupkan enjin dan menekan radio, mata Alisia tertancap pada seorang lelaki yang sedang bersandar di tepi CRV perak. Lelaki berkemeja biru berkolar putih itu lagi!

Alisia menurunkan tingkap di sebelah kiri pemandu apabila lelaki itu menghampiri keretanya. Haruman Tommy Hilfiger menusuk di hidung gadis itu. Sudah petang begini masih tidak putus baunya? Sungguh ciri-ciri lelaki metroseksual cukup terserlah dalam diri lelaki itu. Senyuman terukir di wajah.

“Liya, baru habis temujanji?”
“Temujanji apa pula?”

“Sangat romantik. Temujanji di hospital.”
“Eh, sejak bila pula? Saya dapatkan rawatan dan melawat seorang teman tadi. Tiada istilah temujanji. Di hospital pula tu, alahai”

“Ah, manalah tahu kan? Liya, kamu masih ingat nama saya?”
“Sudah tentu. Saya tidak cepat hilang ingatan, Hizami Helmi”

“Ah, kamu seorang yang cergas. Tidak pernah memanggil nama saya dengan nama gelaran yang entah apa-apa.”
“Double H?”

Gadis itu ketawa nakal sambil mengerling jam tangan. Ah, sudah semakin lewat. Apa alasan yang mahu dicipta buat Bonda yang pasti menyinga? Hizami Helmi menyeringai, dan mata yang sudah sedia ada sepet semakin mengecil. Kalah mata Brian Zaff Chia Hau.

“Hizami, saya mahu pulang dulu”
“Janji hubungi saya tahu?”

“InsyaAllah Hizami. Jaga diri.”

Lambaian lelaki itu dibalas dengan tangan kiri. Kereta MyVi hitam membelok di selekoh dan hilang dari pandangan manusia yang sering kali terbatas. Ah, ketawa Alisia bila mengenangkan betapa lelaki itu pernah dibuli nakal suatu ketika dahulu.

*******

“Alisia, kamu memang patuh sangat pada arahan. Itu Cuma manifesto kecil.Tak payah pergi pun tidak mengapa.”
“Ah, mendengar arahan, apa salahnya? Peluang sekali seumur hidup. Bukankah kita masuk matrikulasi sekali sahaja?”

“Ala, setakat manifesto, tunggu bila dah layak mengundi, pergi dengar manifesto sampai muntah masa musim pilihan raya”
“Itu lain, ini lain. Tak kira, nak pergi juga. Kertas aktiviti mesti boleh penuh dengan cop nanti. Jom lah”

Senyum Amirah Laila mendengarkan kata-kata Alisia. Ah, gadis itu jarang mahu mengingkari arahan yang telah diterima. Memang patuh yang teramat sangat. Gadis itu pantas bersiap melihatkan Alisia Rayyan sudah memuncungkan wajah di birai katil. Persis kanak-kanak yang tidak mendapat gula-gula pula. Bantal di atas tilam dicapai dan dicampakkan kepada gadis itu.

“Ceria sedikit. Aku sedang bersiap ni.”
“Cepat, nanti kalau lambat, kertas kehadiran tak dapat tandatangan”

“Baiklah sayang”

Usai mengenakan pakaian yang sesuai, dua gadis dari kursus pengkhususan Sains Fizikal ini menuju ke dewan kuliah berdekatan. Kelihatan ramai pelajar sudah berkumpul di luar bagi menantikan majlis berlangsung sebentar sahaja lagi. Barisan calon-calon pelajar Sains Fizikal sudah mengambil tempat di barisan hadapan sambil tersenyum memandang lautan rakan-rakan yang bakal menjadi pengundi mereka.

“Semua pelajar sila duduk di tempat yang disediakan. Di kerusi atau di atas permaidani dewan kuliah juga boleh. Silakan, jangan segan, buat macam dewan kuliah sendiri”

Arahan dari pegawai penolong asrama itu disambut dengan ketawa oleh para pelajar sambil bergerak mencari tempat untuk diduduki. Encik Zamri mengarahkan para pelajar bergerak dengan cepat kerana taklimat oleh Haji Kamil bakal bermula.

Amirah pantas mencuit Alisia untuk duduk di bahagian tengah bagi memudahkan melihat muka-muka calon yang bertanding. Alisia hanya mengekori Amirah, gadis dari Terengganu yang pada mulanya enggan menghadiri majlis itu, tetapi bertukar seronok melihatkan ramai pelajar yang hadir memberikan sokongan.

Taklimat ringkas selama 10 minit diberikan oleh Haji Kamil, agar pelajar lebih mengetahui apa yang perlu diberikan perhatian dalam setiap manifesto yang dibentangkan oleh calon-calon pilihan raya kecil matrikulasi kali ini. Setiap pelajar perlu memangkah berdasarkan kepada calon kursus masing-masing sahaja. Maka, manifesto ini adalah salah satu cara untuk mengetahui yang mana satu perlu dipilih.

“Kita akan memulakan sesi manifesto kita dengan menjemput satu persatu wakil pelajar di hadapan anda semua. Bermula dari kanan hingga kiri saya, dengan segala hormatnya dipersilakan”

Hampir 30 orang calon yang bertanding untuk merebut 13 kerusi yang dipertaruhkan untuk pelajar Sains Fizikal. 15 kerusi untuk pelajar Sains Hayat dan 7 kerusi selebihnya untuk pelajar Perakaunan. Seorang demi seorang bangun mencanangkan apa yang mahu diberikan kepada rakan pelajar jika mereka dipilih menjadi wakil kepada jurusan ini nanti. 

Ada yang bercita-cita mahu membina wakaf baru untuk keselesaan pelajar, infrastruktur kawasan lebih dimajukan dan ada juga yang mahu mengejutkan setiap pelajar di kolej untuk menunaikan solat Subuh dengan mengetuk setiap pintu bilik, serta pelbagai lagi. Alisia tersenyum sambil mencatatkan nama calon dan manifesto masing-masing. Bukan apa, senang untuk dipangkah ketika hari pengundian berlangsung.

“Alisia, yang ini kacaklah.”

Alisia mengangkat muka usai menulis cadangan yang diberikan oleh Aizat Izwan yang menabur janji untuk memartabatkan aktiviti bercorak alam sekitar kepada setiap pelajar kolej. Kedengaran menarik disebabkan Alisia sendiri menyukai perkara sebegitu.

“Siapa?”
“Sekejap lagi dia akan bangun berucap”

“Ada juga pelajar Cina lelaki yang bertanding? Aku dengar wakil Fizikal tiada lelaki Cina. Hayat dan Perakaunan ada.”
“Tak mengapa, ada pilihan lain juga kan untuk diundi?”

Alisia ketawa kecil dan menumpukan perhatian kepada jejaka yang memakai kemeja putih, bertali leher merah dan rambut yang tersisir rapi. Ada tokoh muka lelaki ini, persis seorang menteri. Calon itu tersenyum memandang hadirin, tanda sudah bersedia untuk memulakan manifestonya pula.

“Assalamualaikum dan selamat sejahtera. Saya, Hizami Helmi dari Fizikal 17, berasal dari Johor Bahru akan menyampaikan sedikit dari inti pati manifesto yang bakal saya perjuangkan bersama rakan-rakan sekalian kelak jika saya dipilih sebagai wakil kepada rakan-rakan.”

Ucapan aluan dari calon tersebut sudah menimbulkan ribut di kalangan pelajar. Tidak menyangka wajah yang persis keturunan Cina itu sebenarnya seorang Muslim. Alisia menoleh ke arah Amirah yang sedang berbual dengan pelajar disebelahnya. Diketil perlahan paha gadis itu agar menumpukan perhatian pada ucapan yang disampaikan oleh Hizami Helmi. Tepukan gemuruh dari bahagian gadis-gadis setiap kali jejaka itu lantang menyuarakan pendapatnya.

“Amirah, tengok depan”
‘Sekejap, aku tengah korek maklumat ni”

“Maklumat apa pula?”
“Pasal Hizami Helmi ni. Kenalkan ini Miya Sara, kawan Hizami sejak sekolah menengah lagi. Miya sama praktikal dengan aku. Banyak aku boleh tahu pasal Hizami ni nanti.”

Amirah ketawa kecil dengan telatahnya sendiri. Ibarat wartawan gosip, dia hanya mahu memastikan calon yang mahu dipilih ini bebas dari segala benda yang mengaibkan. Tiada niat lain kerana dia juga sudah punya lelaki yang dicintai sepenuh hati. Tepukan gemuruh sekali lagi kedengaran menandakan Hizami Helmi sudah selesai menyampaikan manifestonya.

“Tamat sudah manifesto untuk pelajar Sains Fizikal. Semua pelajar boleh bersurai dan jangan lupa, pilihan raya kecil kita akan berlangsung dalam tempoh masa seminggu. Semua calon boleh melangsungkan kempen mereka dengan cara berhemah. Sekian terima kasih”

Dengan ucapan penutup oleh Encik Zamri, semua pelajar bersurai, pulang ke kolej kediaman masing-masing. Alisia dan Amirah menuju ke bilik gerakan pilihan raya kerana mereka bakal bertugas sebagai urusetia bagi promosi dan sebagainya. Langkah diatur agar kerja yang mahu dilunaskan dapat dipercepatkan prosesnya.

“Alisia, saya nak ke tandas sekejap. Awak pergi dulu ya?”
“Tak nak saya tunggu?”

“Tak mengapa. Awak pergi dulu”
“Baiklah”

Alisia membelok ke lorong berdekatan dengan bilik gerakan dengan tergesa-gesa.Ah, Tuan Pengerusi pasti sedang menunggu kehadiran dia dan Amirah. Dalam tidak sedar dan alpa, satu hentakan kuat dirasakan dari hadapannya. Peretmbungan antara dua manusia.

“Gedebuk!”


(bersambung)


0 ulasan:

 

Cetusan Marga Zara Copyright © 2011 Design by Ipietoon Blogger Template | Best Gift ideas