Monday, November 26, 2012

Legasi Cinta Alisia : Bab 13

Cetusan Marga ♛ LORD ZARA 札拉 ♛ detikan 11/26/2012 08:40:00 AM

http://farm8.staticflickr.com/7057/6983576213_4c5a72c2d7.jpg
Perhatian : Semua karya yang disiarkan adalah hak milik penulis itu sendiri. Sebarang penyiaran semula tanpa keizinan penulis adalah salah dan melanggar hak cipta terpelihara. Tindakan akan diambil.


Boleh saya duduk bersama penulis muda ini?”

            Hanya anggukan kepala mampu diberikan tatkala haruman Tommy Hilfiger semakin menusuk hidung. Nafas sesak bukan kerana haruman antarabangsa yang memikat itu, tapi lebih kepada kehadiran lelaki muda yang lengkap berpakaian kemas, dengan kot tersidai di lengan. Ah, Malaysia kan panas, mengapa harus membawa kot itu ke sana ke mari? Hati masih sempat menggetus nakal walaupun tahu diri sedang diperhatikan.

            “Liya Daniyal, suatu tempoh yang sangat panjang tidak bertemu wajah. Enam tahun nampaknya mengubah kamu menjadi lebih dewasa ya?”

            Jari lelaki itu tangkas menarik lembut tudung yang dipakai oleh guru muda yang sudah berpeluh di wajah. Senyuman yang terukir di wajah seakan buat diri terleka. Pantas jari itu ditepis agar menjauh dari terus memegang tanda nama hitam yang dipakai di dada.

            “Kamu buat apa di sini?”
            “Menjenguk seorang rakan yang kurang sihat. Kamu pula Liya?”

            “Sedikit urusan disebabkan kecederaan kecil. Menunggu ubatan di farmasi sebentar lagi.”
            “Oh, saya fikir kamu mahu ke klinik rawatan ibu mengandung, cuma di sebelah kiri itu kan Liya?”

            “Belum bernikah dengan sesiapa, mana pula mahu datang mengandung segala?”
            “Ah, manusia akhir zaman ini pelbagai ragamnya.”

            “Jangan menebak sesedap rasa. Kelak badan yang menanggung binasa. Kalau begitu, kamu dan gadis arkitek sudah punya anak juga?”
            “Takdir sudah menoktahkan cinta kami berdua. Tidak sempat mengikat apa-apa, sudah terputus di pertengahan jalan. Kamu dengan lelaki pelukis?”

            “Soalan yang kelakar. Sudah lama ditinggalkan.”

            Lelaki berkemeja biru berkolar putih itu merenung gadis yang sudah lebih enam tahun tidak ditemuinya. Betapa gadis itu kelihatan berlainan dengan solekan dan gaya pakaian. Tersenyum dia melihat baju kurung yang dipakai. Warna yang sama ketika rahsia terbongkar dalam jarak 200 meter. Warna magnolia yang bercorak bunga itu diperhatikan. Indahnya ciptaan Yang Maha Esa.

            “Kenapa senyap sahaja?”
            “Takkan mahu buat konsert pula di sini?”

            “Mana lah tahu kan? Tudung pun dah macam Yuna.”
            “Speak of her, she was in the same faculty as you before right?”

            Lelaki itu hanya mengukir senyuman manis. Matanya masih tertancap pada tanda nama gadis itu. Pasti dia terlupa mahu menanggalkannya. Tidak boleh dibayangkan berada di kawasan awam dengan memakai tanda nama seperti itu. Beg buku yang tersandar di tepi membuatkan lelaki itu pasti gadis itu seorang guru muda.

            “Liya, nama betul kamu Alisia Rayyan kan?”
            “Ya. Pelik juga kalau kamu panggil Alisia Rayyan. Alisia sudah”

            “Kamu masih Liya Daniyal di hati saya. Tapi kan Liya, kenapa pakai tanda nama di sini? Kamu lari dari sekolah ya?”

            Pantas Alisia melihat tudungnya. Aduhai, malu sungguh ke sana ke mari dengan memakai tanda nama itu. Macam mempromosikan diri di khalayak ramai pula. Pantas di tanggalkan dan disimpan di dalam tas tangan merah yang menggelembung di tepi. Muka dirasakan panas, alahai, mengapa cuai sangat Alisia, benda paling mudah pun boleh terlupa. Pasti disebabkan tergesa-gesa dan berbual dengan Fazli Shu’bah yang buatkan dia terleka dengan gurauan serta jenaka sehingga lalai dalam mengesan apa yang pelik pada diri.

            “Liya, macam mana kehidupan kamu sekarang?”
            “Baik sahaja. Eh, kamu tahu, dari dulu lagi saya memang tak boleh tahan gelak kalau kamu sudah atur bicara dalam bahasa Melayu tahu?”

            “Kenapa, apa yang pelik?”
            “Sebab bahasa Melayu yang kamu guna seperti zaman datuk-datuk”

            “Maksud saya, sangat klasik. Lebih baik awak guna bahasa pertuturan awak, bahasa Inggeris dari buat saya pecah perut menahan tawa.”

            Lelaki itu ketawa. Teringat kali pertama gadis itu menegurnya ketika sama-sama menelaah di pusat matrikulasi dulunya. Pesanan ringkas yang dihantar membuatkan Alisia ketawa separuh gila apabila bertemu dia keesokkan harinya. Gelaran pakcik yang diberi oleh gadis itu tebal dalam ingatan sanubarinya.

            “Kenapa panggil tadi? Saya ada di kamar mandi”
            “Aduhai, kamu jangan mengejek saya. Malu juga mengenangkan kisah lama ini.”

            “Kamu guna panggil bila saya telefon, kamu tidak dapat menjawab. Patut kata ‘missed call’, kamu terjemah sampai guna panggil. ‘Shower room’ kamu panggil kamar mandi. Memang cara klasik yang amat”

            Lelaki itu ketawa perlahan sambil melonggarkan ikatan tali leher biru muda yang dipakai. Alahai, sekian lama tidak bersua muka, gadis itu masih melayannya seperti dahulu juga. Penuh dengan sifat humor yang tidak berpura. Menyesalnya hati pernah meminggirkan teman yang baik itu, hati rasa sedikit celaka.

            “Alisia, buat apa di sini?”

            Sapaan dari sisi membuatkan dua manusia yang sedang enak mengenang kisah lama itu menoleh. Lengkap berkot panjang putih dan stetoskop merah jambu melingkar di leher, Danish Aryan memerhatikan kami dengan muka penuh curiga. Ah, perbualan bersama teman jadi tergendala. Masing-masing berdiri sambil bertegur sapa. Jabatan tangan yang bertaut antara Danish Aryan dan lelaki berbau Tommy Hilfiger erat. Genggaman utuh dan ekor mata yang melirik ke Alisia buat gadis itu tidak senang hati.

            “Siapa ni Alisia?”
            “Kawan sama matrikulasi dulu”

            “Teman lelaki baru?”

            Wajah cemberut Alisia membuatkan lelaki berbau Tommy Hilfiger tersenyum kecil. Ternyata gadis itu tidak menyukai soalan yang diajukan oleh doktor muda itu. Memerhatikan tanda nama lelaki itu, patutlah mata biru itu bercahaya memandang Alisia Rayyan. Darah kacukan umpama serigala yang mahu membaham gadis berbaju magnolia di hadapannya.

            “Liya, saya gerak dulu. Ini kad saya, ada apa-apa, just contact me okay? I’m waiting for your call Liya Daniyal.”
            “Thanks. Take care”

            “You too dear. Goodbye. Nice to meet you too doctor”

            Lambaian lelaki itu dibalas bersahaja sambil membelakangkan Danish Aryan yang hampir mahu menyinga. Siapa lelaki yang tidak ambil endah mahu memperkenalkan diri walaupun cuma sebaris nama? Sudahlah begitu, Alisia Rayyan dipanggil Liya Daniyal? Bukankah bapa gadis itu Daniel Abdullah? Sejak bila menukar nama yang teguh dan utuh dalam jiwa?

            “Cikgu, saya tanya, apa awak buat di sini?”
            “Ah, saya pergi dapatkan rawatan sedikit. Kaki ada kecederaan kecil. Sedang menunggu ubatan di farmasi. Giliran masih panjang lagi nampaknya”

            “Oh, begitu. Boleh saya tanya sesuatu?”

            Doktor muda itu melabuhkan punggungnya di kerusi plastik biru. Gaya yang bersahaja dengan kemeja berwarna merah jambu terlindung di dalam kot putih panjang labuhnya. Wajah persis model antarabangsa itu pasti menarik minat ramai wanita di luar sana. Pesakit juga cepat sembuh dengan layanan mesra dan wajah yang tampan pengamal perubatan bermata biru bercahaya. Alisia tersenyum nipis. Kelakar dengan telahan sendiri yang pastinya ada terselit kebenaran juga.

            “Awak nak tanya apa Danish?”
            “Awak kenal Brian Zaff Chia Hau?”

            Alisia tersentak dan merenung wajah doktor lepasan universiti terkemuka di Malaysia itu. Di mana dia kenal lelaki Serani yang baru ditemui semula tiga minggu lepas? Brian Zaff Chia Hau dan Danish Aryan tidak pernah bertemu di zaman persekolahan. Danish Aryan pergi menghilangkan diri, Brian Zaff Chia Hau pula muncul memperkenalkan diri. Tidak pernah dua jalan itu bercantum oleh benang perjalanan.

            “Kenal, budak sekolah saya dulu”
            “Sekolah awak, sekolah saya juga Alisia”

            “Sekolah yang awak huni untuk dua tahun sahaja, berbanding saya yang menghabiskan sisa remaja di sana. Chia Hau masuk ke sekolah setelah dua tahun awak menghilangkan diri, maka saya tidak nampak mengapa awak dan dia boleh saling mengenali”
            “Dia pesakit saya hari ini.”

            “Chia Hau sakit apa? Wad mana?”

            Alisia bingkas bangun dan tanpa sedar sudah menggoncang badan Danish Aryan sekuat hati. Perkhabaran yang melupakan langsung betapa dia benci mahu melihat muka Danish Aryan yang boleh menuturkan ayat itu dengan tenang tanpa segarit perasaan di wajah. Kecederaan ringan yang menusuk di kaki dibiarkan begitu sahaja. Nasib Brian Zaff Chia Hau lebih utama.

            “Tenang Alisia, duduk dulu. Cuma ankle sprain sahaja”
            “Ankle sprain tahap berapa?”

            “Gred 1, koyak mikroskopik sahaja. Kesakitan yang dirasakan tidak terlalu serius dan ditahap yang paling minimum. Brian masih boleh berjalan dan berdiri secara perlahan-lahan tetapi tidak mampu berlari dan melompat. ”
            “Aduhai, macam mana boleh kena pula? Setahu saya, dia buka gimnasium sendiri sekarang ini”

            “Dia main bola keranjang dengan adik dia semalam”
            “Alahai, dengan Dwen ke? Kalau dengan Dwen, saya pernah ajar tentang R.I.C.E. dalam kelas kelab bola keranjang kami. Pasti dia telah berikan serba sedikit rawatan awal untuk Chia Hau”

            “Awak pun tahu tentang R.I.C.E.?”
            “Mestilah. Saya jurulatih pasukan bola keranjang sekolah. Macam mana awak boleh tahu Chia Hau bekas pelajar sekolah saya?”

            “Pembetulan Alisia sayang, sekolah kita. Saya sedang periksa dia, tiba-tiba dia tanya, doktor adik pada Ahmad Aryan ke? Bila saya kata ya, dia terus cerita yang dia pernah sekolah yang sama dengan kamu semua, pernah sama-sama dalam pasukan bola keranjang.”

            Alisia Rayyan menarik nafas lega. Brian Zaff Chia Hau masih seperti dulu. Ceritera lama tidak akan disingkap sewenangnya kepada orang luar, lebih-lebih lagi jejaka itu tahu serba sedikit tentang Danish Aryan suatu ketika dahulu. Tas tangan merah digalas di bahu dan telefon genggam dikeluarkan. Pantas mencari nombor untuk dihubungi sementelahan telefon itu tiada butang kekunci, hanya skrin sentuh sebagai pengganti butang bersusun.

            “Hello Kak Azhana. Saya balik terus rumah, nak melawat kawan di hospital sekejap. Maaf sebab tak dapat teman akak petang ini. Insya’Allah, lain kali kita pergi ya? Salam.”

            Panggilan diputuskan dan telefon genggam disimpan semula ke dalam tas tangan. Penuh cermat dan Danish Aryan tersenyum sambil menggelengkan kepala. Sepuluh tahun yang lepas, tiada apa yang boleh dikatakan perempuan pada wanita muda di depannya itu. Mungkin hanya penampilan dan nama yang tercatat di dalam kad pengenalan, tetapi bukan adegan ini yang dapat diperhatikan.

            “Danish, Chia Hau ada di wad mana? Saya nak pergi tengok.”
            “Adik dia ada teman. Awak tak nak duduk berbual dengan saya dulu?”

            “Tiada apa yang perlu saya cakapkan. Lagipun, kalau mahu berbual, awak boleh cakap dengan saya sambil tunjukkan wad kan?”
            “Berbual berdua, saya sedang rehat ni, sampai jam 5. Boleh Alisia?”

            “Maaf, bukan hari ini Danish. Izinkan saya mencari kawan lama saya itu. Awak betul tak nak beritahu, saya pergi cari sendiri.”

            Alisia berpaling pergi sambil menghayung tas tangan merah. Malas mahu terus bercanda dengan Danish Aryan yang entah mengapa bersikap pelik hingga mampu buat diri merasa jelik. Urusan yang tidak boleh ditangguhkan, mengenang Chia Hau mungkin terbaring kesakitan. Langkah diatur pantas menuju ke kaunter pertanyaan, lebih mudah mendapatkan maklumat dari di sana, dari doktor muda yang menyarung kemeja merah jambu di badan gagahnya.

            “Alisia, saya hantar awak ke wad tu.”

            Pantas tangan guru muda itu disilangkan ke tangannya. Alisia cuba menariknya kembali tetapi makin kejap pautan doktor itu. Langkah bersahaja di atur menuju ke arah lif berdekatan. Sapaan kakitangan hospital dibalas dengan senyuman dan tidak menghiraukan gadis yang terpaksa mengukir tawa nipis di hujung bibirnya. Celaka Danish Aryan, rasa mahu membunuh lelaki bermata biru muda itu tidak mampu luput dari ingatan Alisia. Gadis itu merenung lantai tatkala Danish rancak berbual entah dengan siapa. Dentingan lif yang terbuka merencatkan perbualan mereka. Kaki melangkah masuk dan hanya kami berdua. Pintu tertutup dan pantas pautan dileraikan. Danish mengenggam jari-jemari gadis itu.

            “Lepaskan saya!”
            “¿Por qué mi amor? (Kenapa sayang?)”

            “Porque te odio! (Kerana saya bencikan awak!)”
            “Usted puede hablar en español Alisia? (Awak boleh berbahasa Sepanyol Alisia?)”

            “Por supuesto, me entero de todas las lenguas latinas. (Sudah tentu, saya belajar semua bahasa Latin)”
            “Oh, Dios mío! (Oh Tuhanku!)”

            “Déjame ir! Me has hecho daño al hacer esto. (Lepaskan saya! Awak hanya menyakitkan saya dengan berbuat begini)”

            Danish Aryan melepaskan tangan Alisia. Dia beristighfar berulangkali. Entah apa yang merasuknya sebentar tadi, menyakitkan gadis yang pernah menjadi penghuni hati suatu ketika dulu. Gadis yang sanggup berdiri menghalang manusia-manusia kejam dari meratah tubuhnya dengan belantan yang tidak terkira. Yang paling dia tidak menyangka, gadis itu, sejak bila bijak berbahasa ketiganya dengan lancar.

            Dentingan dan suara yang menyatakan sudah tiba di tingkat tiga memecahkan kesunyian yang melanda. Danish melangkah keluar dan menahan pintu lif dengan tangan kanan, lagak seorang lelaki budiman yang ternyata dibesarkan di dalam keluarga bangsawan. Tiada lelucuan yang terukir di wajah lelaki itu yang kelihatan rona kesal. Mungkin kerana menyakiti aku, fikir Alisia Rayyan. Ah, itu hanya sebuah kemungkinan.

            “Alisia, Chia Hau katil nombor tiga di tengah. Awak pergi dahulu ya? Saya ada urusan sebentar.”
            “Baiklah, terima kasih Danish”

            “No hay problema, mi querido. (Tiada masalah sayang)”

            Alisia membaca nama pesakit di pintu hadapan Wad Kenanga. Tertancap matanya pada nama lelaki Serani itu. Brian Zaff Chia Hau ternyata di wad itu. Benar kata Danish Aryan. Ah, bukan tidak percaya, cuma tidak mahu dipermainkan. Melangkah perlahan agar tidak menimbulkan bunyi bising di sekitar wad yang mula dipenuhi oleh saudara mara yang datang melawat. Ah, itu kawasan katil barisan ketiga. Mana satu orangnya?

            Menjengah setiap nama sambil mengamati ada katil yang dilabuhkan tirainya. Pasti yang ditabiri kain hijau itu katil milik Chia Hau, tetapi mengapa tabirnya tidak tersingkap? Alisia menunggu dengan sabar di sisi tembok di sebelah singki. Kedengaran tirai ditarik ke tepi dan dia pantas meluru ke katil besi.

            Apa yang dilihat sungguh meruncingkan hati. Dwen Zaff sedang menangis teresak-esak sambil pengamal perubatan yang lain menarik kain selimut menutup habis jasad Chia Hau. Apakah yang terjadi sebenarnya? Bukankah hanya terseliuh sahaja.

            “Dwen, apa yang terjadi?”
            “Pembedahan gagal dan abang tiada lagi Cikgu.”

            Hampir tumbang Alisia mendengar perkhabaran itu. Tangan pantas berpaut pada birai katil sambil jari terketar-ketar menarik selimut hijau yang menutupi badan Chia Hau. Air mata mengalir laju di pipi sambil berselawat mencari ketenangan beribu kali. Kain disingkap dan apa yang dilihat hampir membuat Alisia rebah.



(bersambung)

0 ulasan:

 

Cetusan Marga Zara Copyright © 2011 Design by Ipietoon Blogger Template | Best Gift ideas