Monday, November 26, 2012

Legasi Cinta Alisia : Bab 12

Cetusan Marga ♛ LORD ZARA 札拉 ♛ detikan 11/26/2012 08:31:00 AM

http://farm8.staticflickr.com/7057/6983576213_4c5a72c2d7.jpg
Perhatian : Semua karya yang disiarkan adalah hak milik penulis itu sendiri. Sebarang penyiaran semula tanpa keizinan penulis adalah salah dan melanggar hak cipta terpelihara. Tindakan akan diambil.


“Gilakan awak?”
            “Ya, hanya gilakan saya”

            “Awak nak buat kelakar pula. Sudah, mari bangun. Saya mahu pulang sahaja. Maaf terjatuh atas awak”

            Bingkas Alisia bangun daripada terus terlekap di badan Chia Hau. Dada bidang itu seperti menjanjikan kebahagiaan tetapi dia belum mahu melampiaskan rasa di dada yang menyamankan itu. Biarlah rahsia hati disimpan walaupun Chia Hau seprti sudah menyedari tunas rasa yang berputik dalam jiwa.

            “Saya hantar awak pulang Alisia?”
            “Baiklah. Tapi janji, depan simpang sahaja”

            “Itu sudah lebih dari memadai. Mari Alisia querida”

            Alisia duduk bertenggek di belakang basikal. Chia Hau tersenyum riang. Petang yang amat indah memenuhi hatinya. Walaupun Alisia tidak berkongsi rahsia hatinya, Chia Hau tahu, sedikit sebanyak ruang hati gadis kasar itu sudah mula terbuka. Angin sepoi-sepoi bahasa seperti menyanyikan lagu cinta buat selamanya. Bergema indah paluan rebana tatkala mentari mula menyembunyikan wajah saga.

            *******

            Telefon genggam Nokia 5800 Xpressmusic bergetar dengan lagu dendangan Faizal Tahir. Lagu dari album terbaru artis itu yang bertajuk Adrenalin. Pantas Alisia menyambar telefon itu, dan tersenyum melihat paparan di skrin. Gambar lelaki yang menjadi sahabat baiknya dewasa ini.

            “Salam Fazli. Apa khabar kau?”
            “Baik Alisia. Kau bagaimana, sekolah tak?”

            “Mestilah sekolah. Aku kan suka pergi sekolah”
            “Eleh, kau suka anak murid kau kan? Dalam kelas mesti ramai budak lelaki yang kacak dan comel, boleh cuci mata”

            “Amboi, kau ingat aku pedofil ke?”
            “Eh, bukan ke?”

            “Keji yang amat kau ni!”

            Gelak ketawa Fazli Shu’bah memenuhi gegendang telinga Alisia. Ah, walaupun lelaki itu selalu berkelakuan gila-gila, jujurnya dia adalah seorang teman dan sahabat yang setia di sisi. Perkenalan di alam maya hampir menjangkau dua tahun membuatkan Alisia tahu, persahabatan ini bukan sekadar picisan cuma. Gelak tawa, menangis duka sentiasa bersama.

            “Apa cerita kau?”
            “Aku sihat sahaja”

            “Baru buka Facebook. Nampak status kau. Siapa yang menyuntik hati kau dengan picagari berbisa? Danish Aryan si doktor muda?”
            “Ah, mana ada?”

            “Aku kenal sangat dengan kau. Apa yang kau tulis adalah apa yang kau rasa. Mana ada lelaki lain yang kau berikan kasut perhiasan, hanya doktor muda itu sahaja”
            “Itu kisah dahulukala, main pandai sahaja kau menebak”

            “Encik Cinderella muncul tatkala ini, bagaimana boleh terjadi?”
            “Bukan aku pinta. Lagi pula, sekolah aku ada buat program dengan Hospital Sultanah Zahrah. Siapa sangka lelaki itu muncul sebagai wakil hingga buat jari aku terluka”

            “Jari terluka boleh diubati, tetapi hati yang luka payah sekali. Sudahlah mahu diubati kedengaran mustahil akibat tidak kelihatan”
            “Ah, biarkan ia menjadi rahsia. Aku bukan untuk dia, dia bukan untuk aku. Sudah lama aku tanamkan benda itu dalam otak aku, agar kehadiran dia tidak mampu menggoyahkan sebuah pawana jiwa”

            “Lelaki Serani itu bagaimana pula?”
            “Entahlah”

            “Kenapa aku dapat rasakan kau sedang tersenyum sekarang ini?”
            “Eh, ini bukan panggilan video kan?”

            Gelak besar lelaki muda itu mendengar jenaka gadis manis bergelar guru. Ikatan yang terbina demi menginjak legasi yang menyatukan mereka sememangnya indah. Tidak pernah bersua muka, tetapi gadis itulah yang tetap dicari kalau dirundung masalah. Mereka berdua sama, saling mengharap kehadiran masing-masing dalam jalinan ukhuwah yang moga sahaja terpelihara. Bukan sekadar teman, gadis ini sahabat sejati yang sukar dicari ganti.

            “Kau kenapa dengan lelaki Serani itu?”
            “Perlu ke aku cerita?”

            “Kalau kau rasa mahu berkongsi”

            ********

            Surat berbentuk hati berwarna merah jambu terselit di celah pemegang basikal biru. Alisia menoleh kiri dan kanan sebelum membuka lipatan yang begitu payah mahu dileraikan itu. Ah, siapa gerangan yang rajin tidak bertempat ini?

            Coretan halus condong dibaca sambil tersenyum. Bodoh lelaki itu, apa dia fikir aku faham apa yang digarap dalam tulisan ibundanya itu? Bahkan, hanya satu sahaja yang difahami, iaitu namanya sendiri.

“Alisia, eu te amo mesmo que você não pode entender isto.( Alisia, saya cintakan awak walaupun awak mungkin tidak mengerti apa yang saya luahkan.)

Alisia menyelitkan kertas itu di dalam failnya. Ketawa dengan gelagat Chia Hau yang gemar menulis menggunakan bahasa ibundanya sendiri. Ah, apakah lelaki itu cuba untuk meluahkan perasaan tetapi tidak pasti bagaimana mahu menuturkan? Sudah lebih setahun saling mengenali dan berkongsi gelanggang, jaring dan bangku pemain simpanan sudah menjadi saksi bahawa kemesraan yang terjalin bukan dibuat-buat.

Ada sesuatu yang rasanya perlu dibalas buat Chia Hau. Kesungguhan lelaki itu menyebabkan aku tertanya-tanya, apakah perlu dititipkan semula ungkapan pada lelaki itu walaupun hakikatnya diri tidak memahami apa yang dicoretkan oleh lelaki itu. Tersenyum perlahan, aku menggapai buku yang baru dipinjam di perpustakaan sekolah sebagai rujukan pelajaran. Ada sesuatu yang indah mahu dikongsi bersama lelaki Serani yang semakin berani mengetuk kamar hati jiwa.

Shall I compare thee to a summer's day?
Thou art more lovely and more temperate:
Rough winds do shake the darling buds of May,
And summer's lease hath all too short a date:
Sometime too hot the eye of heaven shines,
And often is his gold complexion dimm'd;
And every fair from fair sometime declines,
By chance or nature's changing course untrimm'd;
But thy eternal summer shall not fade
Nor lose possession of that fair thou owest;
Nor shall Death brag thou wander'st in his shade,
When in eternal lines to time thou growest:
So long as men can breathe or eyes can see,
So long lives this and this gives life to thee.

            Karya Shakespeare yang menjadi inti pati dalam buku sastera Inggeris di sekolah sudah ditulis di sehelai kertas berwarna biru. Pantas diselitkan di dalam sampul surat berwarna putih dengan cop rasmi pasukan bola keranjang sekolah. Ah, bukan aku mahu berbunga dalam menulis perkara sebegini. Habis ditampal hujung sampul, Alisia bangkit menuju ke bilik persatuan bola keranjang. Sampul putih dimasukkan ke dalam kotak khas berkunci milik Chia Hau.

            *******

            “Alisia, terima kasih”
            “Terima kasih untuk apa?”

            “Sonnet 18”
            “Oh, itu untuk awak ulangkaji pelajaran. Senang kalau nak faham bahasa Inggeris, bahasa Portugis saya mana faham”

            “Tapi kenapa mesti Sonnet 18?”
            “Kan saya dah kata, untuk ulangkaji pelajaran. Lagipun, peperiksaan hampir bermula, saya tidak mahu terlupa apa yang telah dipelajari sebelum ini.”

            “Oh, buku sastera Tingkatan 4 ya?”
            “Betul. Saya kan dah Tingkatan 5, kenalah buat ulangkaji”

            Chia Hau tersenyum sambil mengelus halus rambutnya yang berjuntaian. Gadis itu tidak pernah mahu meluahkan secara terus apa yang disukainya. Ada sahaja alasan mahu berdolak-dalik. Usia perkenalan yang sudah diraikan dengan sebuku kek dan sebatang lilin, belum cukup utuh untuk melayari sebuah kehidupan alam kasih sayang agaknya. Alisia sudah di Tingkatan 5, sudah semakin kalut mencari masa untuk bersama menari di gelanggang. 

            “Kita sudah jarang bertemu sekarang”
            “Ya ke? Selalu sahaja rasanya”

            “Awak semakin sibuk dengan kelas tambahan segala. Tumpuan di gelanggang dan bilik rawatan jangan dilupa”
            “Tidak pernah lupa. Saya sekarang ketua pasukan bawah lapan belas untuk perempuan. Pasti saya tidak mahu anak buah berfikiran menerawang mengintai apa yang mungkin tidak kena dengan saya”

            “Awak sudah tingkatan lima, tapi saya masih tingkatan empat”
            “Kenapa mesti cakap seolah-olah saya tua?”

            Alisia sudah memuncungkan wajah. Chia Hau tergelak dan mencubit muka gadis itu. Pantas ditolak dan Alisia membelakangkan Chia Hau, meneruskan kerjanya merangka pelan serangan untuk perlawanan seterusnya. Geram melihat gadis itu yang tidak mahu mengendahkannya, Chia Hau duduk mencangkung di depan gadis itu. Alisia berpusing menghadap dinding pula. Lelaki Serani itu tidak mahu mengalah, dituruti semua perbuatan gadis itu walaupun kelihatan gila oleh pandangan mata.

            “Saya buat kerja ni. Awak nak apa Chia Hau?!”
            “Saya nak awak.”

            Pen yang dipegang terjatuh ke bawah, buku yang dicoret tercampak ke lantai. Alisia pandang Chia Hau, tidak berkelip mata. Mengapa lelaki ini terlalu berani mahu meluahkan rasa tidak kira tempat dan masa? 

            “Ali!”

            Renungan berbaur kosmik sebentar tadi putus begitu sahaja. Laungan nama oleh Husairi Haiqal mematikan saga yang baru sahaja bermula. Alisia pantas mengubah wajah, tidak mahu dikesan oleh sahabat baiknya. Chia Hau sudah tersandar di tiang, menundukkan wajah, cuba tarik muka bersahaja.

            “Ada apa Husairi?”
            “Cikgu Ghazali cari kau. Dia pesan, bawa sekali pelan serangan A sampai Z kau tu”

            “Pandailah dia tu. Aku gerak dulu. Tinggal Chia Hau. Husairi, terima kasih.”

            Alisia pantas merentap beg sandang dan berlalu pergi. Tidak mahu Husairi Haiqal mengesani sesuatu yang mahu disimpan sebagai rahsia diri, halaman sulit buat hati. Senyuman diukir dan langkah diatur pantas meninggalkan gelanggang yang hampir panas sebentar tadi. 

            “Kau dengan Ali bercinta ke?”
            “Eh, mana ada Husairi.”

            “Jangan menipu. Dari renungan kau pun aku dah tahu, cuma mungkin kau belum meluahkan pada dia”
            “Aku dah luahkan, tapi dia pasti tidak mengerti”
            “Macam-macam aku dah buat. Perbuatan, kata-kata, semua aku dah laksanakan”

            “Kau dah mengaku pada dia?”
            “Sudah. Siap tulis surat lagi buat dia”

            “Kau tulis dalam bahasa apa?”
            “Bahasa Portugis”

            Husairi Haiqal ketawa berdekah. Betapa lurus bendulnya Chia Hau yang disangkanya begitu matang kalau dilihat dari fizikal yang langsung tidak mentah. Terduduk ke lantai akibat tidak mampu menahan lihat muka tercengang lelaki itu.

            “Lain kali tulis dalam bahasa Melayu atau bahasa Inggeris. Kalau tulis dalam bahasa Portugis, lebih baik berikan sahaja pada Cikgu Ghazali atau Mama kau. Orang lain mana mengerti bahasa ibunda kau”

            Chia Hau menggaru kepala. Ah, terlalu terbuai dengan perasaan sampai dia tidak menyedari betapa dia menggunakan bahasa itu sebagai pertuturan harian dia bersama gadis itu yang hakikatnya tidak mengerti lenggokan cinta bersulam derita dia. 

            *********

            “Sudahlah Fazli, aku di hospital ini”
            “Kenapa?”

            “Kurang sihat sedikit”
            “Nanti sudah pulang, khabarkan pada aku ya?”

            “Pasti, aku tahu kau akan tunggu aku”
            “Engkaukan sahabat pijak kepala bersama aku”

            “Banyaklah kau”

Kecederaan fizikal yang dialami usai menjalani kursus membuatkan Alisia terpaksa ke hospital bagi mendapatkan rawatan. Betapa dia benci untuk menghadirkan diri di saat waktu rehat terpaksa dicuri bagi melunaskan kewajipan pada diri. Buku catatan biru kelam diambil keluar dari tas tangan. Rasa bagai mahu mencoretkan sesuatu buat simpanan diri. Termenung sendirian memerhatikan gelagat warga hospital, membuai rasa dan mencetuskan ilham untuk menggarap sebuah puisi, karya dari hati walaupun ia picisan cuma.

Diam.
Tenang.
Badan melayang.
Paradigma bergoyang bukan beerti aku kan hilang.
Kau hadir dalam setiap saat yang bergetanyang.
Aku renung nyawa di tangan.
Diam, langsung tiada alunan.
Tebaran wajah keliling dewan.
Aku cuma manusia yang kehilangan.
Kasih sayang kau sentiasa di hati tanpa tulang rawan.
Seka air jernih di tubir mata, aku masih keseorangan.
Lihat alam, manusia berkeliaran.
Yang tua berjalan perlahan.
Yang muda menelusuri kehidupan.
Yang kanak-kanak dipimpin di tangan.
Aku tertanya, mengapa tangan aku masih kesejukkan.
Mengapa jiwa aku kekosongan.
Aku diam tanpa sebarang jawapan.
Bunyi dentingan dan terdengar suatu panggilan.
Aku berjalan perlahan.
Tangan kanan atas tangan kiri, aku unjur genggaman.
Aku tahu semangat kau sentiasa bertaman.
Jujurnya untuk cinta yang kita semaikan.
Lagu cinta iringi aku ke kamar putih.
Puisi jiwa bergema menemani tatkala tirai dilabuhkan.
Ada sesiapa yang sudi menggenggam tangan?.

            “Saya sudi”

            Alisia menoleh pantas ke belakang. Haruman Tommy Hilfiger memenuhi suasana. Mata terbuntang melihat wajah yang begitu hampir dengan muka. Mengapa mesti bertemu di waktu yang dia benci mahu bersua dengan sesiapa?

            “Jangan lupa letak noktah dihujungnya. Tapi sebelum itu, mesti sambung bahawa sudah ada yang sudi mengenggam tangan kamu ya penulis muda?”



(bersambung)

0 ulasan:

 

Cetusan Marga Zara Copyright © 2011 Design by Ipietoon Blogger Template | Best Gift ideas