Sunday, November 25, 2012

Legasi Cinta Alisia : Bab 09

Cetusan Marga ♛ LORD ZARA 札拉 ♛ detikan 11/25/2012 10:42:00 PM

http://farm8.staticflickr.com/7057/6983576213_4c5a72c2d7.jpg
Perhatian : Semua karya yang disiarkan adalah hak milik penulis itu sendiri. Sebarang penyiaran semula tanpa keizinan penulis adalah salah dan melanggar hak cipta terpelihara. Tindakan akan diambil.


Chia Hau menoleh ke belakang. Kelihatan Alisia masih lena memeluk erat pinggangnya. Ah, pasti gadis itu mengigau dalam lena, kepenatan akibat dipukul entah oleh siapa. Dia senyum, terselit rasa bahagia walaupun gadis itu bersuara dalam keadaan tidak sedar. Chia Hau meneruskan kayuhan perlahan, sambil berdoa agar hujan tidak turun membasahi Bumi petang.

            Mendengarkan siulan riang Chia Hau, Alisia cuba mencuri pandang lelaki itu. Aduh, malu sungguh kerana terlepas cakap dengan kuat. Hakikatnya, dia sudah terjaga dari lena tatkala basikal yang dinaiki terlanggar bonggol di belakang. Mukanya merah dan bila Chia Hau menekan brek, dia pura-pura masih tidur lena. Malu tidak terhingga menyinggah di pawana. 

            Jujurnya entah sejak bila dia menyenangi kehadiran lelaki itu dalam hidupnya. Kelibat lelaki ini membuatkan dia merasakan mempunyai Danish Aryan kembali, cuma dalam versi berbeza. Danish Aryan entah ke mana, meninggalkan dia sendiri meladeni hidup sendirian di sekolah. Hilang manusia tempat dia lepaskan kemarahan menggila. Pergi sudah lelaki yang sabar menunggu dia hanya untuk bertanyakan khabar.

Sepi yang bertakhta di hati sejak Danish meninggalkan sekolah tahun lalu diubati dengan kehadiran lelaki Serani ini. Chia Hau seperti jelmaan kepada Danish. Tutur katanya yang lemah lembut dan gemar memanggil dia Alisia. Sesuatu yang sejujurnya menimbulkan kemarahan kalau manusia lain yang menggelarnya begitu. Kesakitan yang menyucuk di rahang membuatkan fikiran dia jelas kembali. Ada manusia yang harus mati!

            Basikal membelok ke kawasan rumah Alisia. Rembang senja mula kelihatan dan Chia Hau sebenarnya seriau jika dia dilihat menghantar anak gadis orang ke rumah. Alisia ini Melayu, Islam pula itu. Dia sendiri keturunan campuran dan beragama Roman Katholik. Entah bagaimana penerimaan keluarga Alisia di hadapan rumah nanti. Moga-moga tidak berlaku kekecohan, doa Chia Hau di dalam hati.

            Chia Hau, berhenti di simpang sahaja”
            Por que meu querido? (Kenapa sayang?). Biar saya hantar awak sampai ke rumah.”

            “Tak mengapa. Saya tak mahu Ayah dan Bonda lihat saya bersama lelaki. Panjang cerita mereka nanti. Lagipun, awak perlu naik bas terakhir, pulang ke rumah.”
            “Awak larat?” Só me deixe lhe enviar diretamente para casa por favor. (Berilah saya hantar awak terus ke rumah). Awak nampak teruk sangat sekarang ni.”

            “Awak cakap siapa teruk? Saya kuat lagi”

            Aku terus melompat turun daripada basikal. Chia hau hampir terjatuh disebabkan lonjakan gadis itu. Dasar gadis lincah yang tidak tahu duduk diam. Nasib baik momentum yang dikenakan tidak kuat, inersia dia masih kukuh hasil latihan intensif sebagai pemain bola keranjang. Kalau tidak, pasti akan terdorong ke bawah dan terhempas di jalan tar. Hilang wajah kacak warisan bapa. 

            “Ya, awak kuat sangat. Kuat sampai terbaring di hadapan tandas, berdarah dipukul oleh entah siapa”
            “Sampai hati awak cakap begitu!”

            “Saya lagi tak sampai hati mahu lepaskan awak balik begitu sahaja! Awak sakit! Kenapa mesti degil?”
            “Sebab saya malas banyak bicara dengan Ayah dan Bonda kalau mereka lihat awak bersama saya! Tolonglah faham Chia Hau.”

            “Awak memang batu kepala Alisia!”

            Aku tertawa dengan kuat. Habis muka marah aku disapu pergi oleh kata-kata Chia Hau sebentar tadi. Lelaki ini kalau sudah bertutur dalam Bahasa Melayu, pasti ada sahaja yang mencuit hati aku yang lara. 

            “Por que você está rindo? (Kenapa awak ketawa?)”
            “Disebabkan saya cuma faham apa itu por que, saya ketawa sebab awak salah cakap. Dan apa pula rindo tu? Rindu ke?”

            “Apa yang salah?Mana ada rindu, itu rindo. Tak mahu cakap dengan awak. Saya nak tahu kenapa awak ketawa. Itu sahaja.”
            “Bukan batu kepala. Kepala batu baru betul. Batu kepala itu macam sebuah kepala yang dibuat dari batu. Adakah nampak kepala saya macam dibuat dari batu?”

            Chia Hau menyeringai. Dia memang sering ditegur akan Bahasa Melayu yang digunakan. Kadangkala berbunyi seperti Baba Nyonya, kadangkala dikatakan terlampau baku, dan ada juga yang menyatakan dia berasal dari Sabah. Gosok hujung rambut dan merenung langit, langit semakin kelam dan mentari mula menyinsing ke arah celahan bukit – tanda ke arah rumah Alisia.

            “Saya balik dulu. Esok pagi jumpa awak di gelanggang bola keranjang.”
            “Tengok dulu macam mana. Kalau saya sihat, saya datang.”

            “Kalau awak tak datang esok, saya datang rumah awak tahu?”
            “Jangan mengada-ngada. Saya datang sekolah. Noktah!”

            Adeus e ter um grande dia. Te amo Alisia (Selamat tinggal dan moga ada hari yang baik. Saya cintakan awak Alisia)”
            “Er, apa awak cakap? Saya cuma tahu adeus dan Alisia sahaja. Apa awak cakap sebenarnya Chia Hau?”

            “Saya kata selamat tinggal dan moga ada hari yang baik Alisia. Bawa basikal elok-elok.”
            “Oh, baiklah. Jumpa awak esok!”

            Chia Hau hanya memerhatikan gadis itu menaiki basikal dan mengayuh layu ke rumah. Kalaulah gadis itu tahu makna sebenar ayat yang diucapkan sebentar tadi. Mengeluh lembut sambil mata terus memerhati. Bila dia mahu berpaling pada aku? Rembang senja semakin menjamah wajah. Matahari jingga sudah semakin menghilang walaupun masih memancar, meneruskan tugas di tempat lain walaupun hakikatnya Bumi itu yang berputar pada paksinya. Gadis itu masih tegar mengayuh dan Chia Hau berlalu sambil memikirkan sama ada perlukah dia berterus terang pada gadis itu. 

Gerak hati yang kuat buat dia berpaling ke belakang dan bertembung pandang dengan Alisia yang berhenti di hujung lorong. Gadis itu melambai bersemangat dan Chia Hau ketawa. Itu sumber semangat dia ketika ini. Gadis Melayu yang bertudung litup – dipenuhi darah merah – melayangkan sekeping hati setiap kali dia hadir di sisi.

*******

            Chia Hau memerhatikan album lama yang tersimpan di dalam kotak khazanah zaman persekolahan. Terlampau banyak benda yang boleh dikategorikan berharga disimpan di dalam itu. Salah satunya album gambar yang berada di pangkuannya sekarang. Pintu diketuk dan Dwen menjingau ke dalam.

            “Boleh saya masuk bang?”
            “Kepala kamu dah masuk separuh. Kalau abang kata tak boleh, kamu rela kepala kamu tersepit di pintu?”

            “Oh Deus! Kejam betul. Sesekali pulang ke rumah jangan sangat. Patutlah tiada gadis yang suka abang.”
            Como você se atreve a cara?! (Tergamak kamu budak!)”

            Eu sou irmão arrependido. Acalme-se. É o meu erro, eu admito isso. (Maaf abang. Tenang sahaja. Saya mengaku salah saya)”
            “Masuklah. Jangan buat bising, Mama nak rehat”

            “Baiklah Brian Zaff, meu irmão sempre linda”
            “Amboi mulut”

            Dwen ketawa kecil. Ternyata abangnya ini masih seperti waktu kecil dahulu. Walaupun pernah terpisah akibat keretakan hubungan keluarga, Brian Zaff tidak melayannya sebagai musuh. Benar kata Mama, abangnya ini memang sangat baik, sebaik manusia walaupun pernah kecewa. Dwen mengerti, luka Brian Zaff terlampau dalam untuk diubati walaupun hakikatnya mereka telah bersatu kembali. Dia duduk di birai katil dan memerhatikan tubuh tegap abangnya yang duduk menghadap meja.

            O que você está fazendo irmão? (Tengah buat apa bang?)”
            “Tengok album lama. Kenangan sekolah dulu-dulu”

            “Ni mesti sebab tadi terjumpa Cikgu Rayyan kan?”
            “Mulut kamu memang tiada insurans kan Dwen?”

            “Eh, mana gambar Cikgu Rayyan? Dwen nak tengok dia macam mana waktu sekolah. Mesti dia pemain bola keranjang yang hebat kan bang? Tunjuklah gambar dia, eu quero ver (saya nak tengok).”

            Pantas Brian Zaff menyelak album yang sudah hampir enam tahun disimpan dan tidak pernah ditunjukkan kepada sesiapa. Album kesayangan terbaik yang dipenuhi kenangan beku masa. Sungguh seperti kapsul masa yang indah menjalani kehidupan sebagai manusia.

            “Lambatnya kamu bang! Apenas deixe-me encontrá-lo. (Biarkan saya yang cari)”

            Brian Zaff membiarkan sahaja Dwen dengan gelagatnya. Adik yang sungguh riang bila tiba saat berbicara tentang cikgunya. Pasti Dwen sedang merasai nikmatnya berkongsi gelanggang dengan Alisia. Ah, tergamak gadis itu memanggil dia Brian Zaff. Bagai menukul jantungnya yang mahu luruh tatkala terpandang seraut wajah ayu itu. Diajarnya gadis itu memanggil Chia Hau sebagai tanda lebih mesra, lebih-lebih lagi waktu itu dia sedang bergelodak dengan rentak dunia yang tunggang terbalik sisinya.

            “Abang, ni Cikgu Rayyan ke? Kenapa muka dia bengkak teruk? Gambar bila ni?”
            “Oh, itu gambar selepas perlawanan pembukaan untuk kejohanan bola keranjang sekolah. Muka dia bengkak kan? Itu hal yang kamu tidak perlu tahu.”

            “Cakaplah bang. Por que você precisa para manter isso como segredo? (Kenapa mesti nak simpan sebagai rahsia?)
            Dwen, essa é a minha memória durante o horário escolar. Alisia e eu tinha lembranças tão bonito quando nós estávamos no time de basquete. (Dwen, itu kenangan sewaktu abang sekolah dulu. Alisia dan abang banyak kenangan indah bersama sewaktu dalam pasukan bola keranjang)”

            Brian Zaff Chia Hau menolak Dwen ke tepi. Baring terlentang di atas tempat beradunya sambil tertawa mengenangkan kisah lama. Muka Alisia Rayyan yang bengkak di dalam gambar membuatkan dia teringat kembali kenangan dipaut erat di pinggang buat kali pertama oleh seorang wanita. Indahnya waktu itu, kalaulah dapat diputar kembali tatkala dia melafazkan bait cinta yang gadis itu langsung tidak memahami.

*******

            “Alisia querida, datang juga kamu pagi ini”

            Alisia tersentak. Pantas dia menoleh ke belakang. Lelaki Serani itu entah muncul dari mana dan menyapa dia. Chia Hau ketawa kecil. Pasti gadis itu tidak menyangka dia akan bertembung dengannya seawal pagi begini. Sengaja suruh Papa hantar awal ke sekolah dan tidak mahu menaiki bas seperti biasa.

            “Awal awak datang Chia Hau?”
            Bom dia, minha querida. (Selamat pagi, kesayanganku)”

            “Apahal pagi-pagi nak bom orang?”
            “Bom dia maksudnya selamat pagi. Apa khabar awak Alisia? Muka masih bengkak walaupun kamu makin comel daripada biasa”

            “Muka bengkak begini comel? Hari ini kita ada perlawanan pembukaan dan forward player macam saya cedera begini, pasti jadi bahan kontroversi”

            Kali ini Chia Hau tidak dapat mengekang ketawanya. Gadis ini memang benci lensa kamera dan sanggup bertumbuk untuk dapatkan negatif filem orang yang mengambil gambarnya. Ah, perlakuan kasar yang sentiasa menarik minat dia untuk mengenali gadis ini dengan lebih rapat lagi. 

            “Alisia, mari terus ke dewan. Tiada orang akan nampak muka bengkak awak tu. Lagipun sedikit sahaja kan? Deixe-me levar sua mala. (Biarkan saya bawa beg awak)”

            Chia Hau mengangkat beg gadis itu sambil curi pandang lihat gadis itu membongkok mengunci basikal biru kepunyaannya. Cermat dia menjaganya, dan entah mengapa, Chia Hau rasa dia mahu beli sebuah basikal baru buat diri sendiri.

            Mereka berjalan beriringan menuju ke dewan sekolah. Langkah Alisia yang cepat dihadapannya membuatkan Chia Hau rasa mahu merangkul gadis itu dan dibawa pergi ke dewan sekolah. Macam bawa trofi kemenangan yang paling besar dalam sejarah. Eh silap, paling tinggi dalam sejarah hidupnya. Kesejukkan mula terasa, sementelahan pula, langit masih gelap. Kalaulah dia dapat memegang tangan gadis itu.

            Gedegang!!!

            “Chia Hau!”

            Chia Hau sudah terjelepuk duduk. Dia menggosok dahinya yang terasa sakit. Macam mana boleh terlupa sedang menelusuri susur gajah yang rendah. Kepalanya terhentak di palang atas, dan Alisia berkejar mendapatkan dia. Rasa macam nampak empat belas bintang berputar di atas kepala. Alisia memaut lengan Chia Hau dan menariknya bangun.

            “Chia Hau, kenapa awak ni?”
            “Saya tak perasan terlanggar palang besi tadi”

            “Siapa suruh berjalan sambil berangan. Mesti fikirkan Johaina tu”
            “Buat apa saya fikirkan dia. Lebih baik fikirkan awak kan?”

            “Kenapa perlu fikirkan saya pula?”

            Kali ini Chia Hau terkedu. Gadis ini menjeratnya dengan soalannya sendiri. Pautan gadis itu di lengannya kian longgar. Dia menoleh dan Alisia sudah memungut beg yang jatuh ke kaki lima. Wajah gadis itu cukup bersahaja. Geram hati tidak terkira, mengapa dengan gadis itu? Tidak boleh membaca pergerakan jiwanya inikah?

            “Chia Hau, awak boleh jalan tak?”
            “Boleh, dan saya boleh juga bermain hari ini”

            “Harap-harap dahi awak tak benjol. Nanti Johaina menangis di tepi gelanggang”
            “Kenapa mesti sebut nama Johaina? Oh, dan adakah awak akan menangis juga tanpa sorakan daripada adik Ahmad Aryan, si Danish Aryan?”

            “Jangan cakap pasal Danish Aryan. Awak tidak pernah kenal siapa dia, malahan saya juga tidak ingat sama ada saya mengenali dia atau tidak. Cukup! Mari ke dewan. Saya tidak mahu lambat”

            Alisia pantas berpaling dan entah mengapa, terselit rasa kecewa dalam hati Chia Hau, mengapa mulutnya lancang yang amat sangat. Tidak, melukai gadis itu adalah perkara terakhir yang mahu dilakukannya sekarang ini. Denyutan di kepala sudah tidak dihiraukan lagi. Gadis itu harus dipujuk dan kalau boleh ditakluki. Agar berseri sekeping hati.

            “Alisia, tunggu saya!”
            “Ada apa lagi?”

            “Kata mahu jalan bersama, takkan lupa kot? Yang langgar palang tu kan saya, bukan awak. Jadi awak tak harus hilang ingatan kan?”

            Gadis itu ketawa kecil dan Chia Hau tahu, ketawa dan senyuman itu yang harus dimiliki. Bukan pergaduhan kecil yang tidak membawa erti. Malahan, itu bakal menyakitkan hati si gadis suci.

            Usai masuk ke dalam dewan, sudah ada beberapa orang pelajar yang sedang berlatih bersama. Aktiviti memanaskan diri sendiri sementara menunggu jurulatih tiba. Menuju ke arah bilik persalinan bersama dan tiba-tiba ada tiga orang pelajar yang menghadang laluan kami. 

            “Alisia, aku nak cakap dengan kau kejap.”
            “Nak cakap apa lagi Syahmi?”

            “Semalam Sophea pukul kau ke?”
            “Chia Hau, awak pergi salin baju dulu. Perlawanan awak yang pertama pagi ini”

            “Tapi, Alisia”
            “Tiada tapi-tapi lagi. Awak pergi masuk dulu ya?”

            “Woi Alisia, aku cakap dengan kau ni perempuan! Yang kau nak meleset dengan jantan Serani tu buat apa?!”

            Panas darah Chia Hau mendengar tutur kata Syahmi Hanis yang disifatkan biadap dan kurang ajar. Mahu meluru pantas ke arah lelaki bermulut lancang itu tetapi sudah ada penumbuk yang singgah di muka Syahmi membuatkan dia tersungkur ke lantai. Menoleh ke sisi dan jujurnya, Chia Hau tidak pernah lihat muka Alisia begitu garang sebegini.

            “Aku dah cukup bersabar Syahmi. Kau tabur fitnah pada aku macam kau makan nasi. Kalau kau teringin sangat nak pasang ramai perempuan, itu ikut suka kau. Tapi jangan kaitkan dengan aku, and both of you, Alex and Amran, you’ll be sorry if you involve in this matter – it’s between me and Syahmi”.

            Ternyata, naluri gadis itu cukup peka dengan keadaan sekelilingnya. Alex dan Amran berundur dan lari dari situ. Tinggal Syahmi, Alisia dan Chia Hau sahaja. Syahmi masih terbaring di lantai dan berlumuran darah di mulutnya. 

            “Padan muka kau kena pukul dengan Sophea semalam.”
            “Ada hati lagi kau nak mengata aku?”

            Sekeping penampar dilayangkan di muka Syahmi dan entah apa yang merasuk gadis itu, dia menumbuk muka Syahmi bertubi-tubi. Pantas dileraikan oleh Chia Hau. Gadis itu dirangkul erat dan dijauhkan dari Syahmi Hanis yang sudah longlai dikerjakan. Gadis itu cuba menolak tapi pelukan makin dikuatkan.

            “Syahmi please. Get out from this room. Take the towel to clean up your blood dude. Again, if you hurt Alisia, I’ll kill you for sure. Get lost man!”
            “We’ll see about that Chia Hau! Ptuih!”

            Ludah bercampur darah merah pekat dilantai. Memang dasar lelaki kurang ajar. Sudahlah tidak memohon kemaafan, malahan meniupkan api sengketa yang mungkin berpanjangan.

            “Lepaskan saya Chia Hau. Biar saya ajar dia!”
            “Sudahlah Alisia, kita ada perlawanan pagi ini. Kawal diri awak”

            “Saya sangat marah dengan sikap Syahmi. He’s totally a jerk!”
            “Sudahlah. Kalau awak sayang saya, kita pergi salin pakaian dan keluar ke gelanggang macam biasa. Lupakan hal ini boleh?”

            “Apa awak cakap Chia Hau?”

            Chia Hau terpempan dengan kenyataan separa sedarnya. Rangkulan di tubuh gadis itu entah mengapa semakin kuat. Dia keliru, perlukah hakikat ini dilaungkan pada gadis yang cedera parah di hatinya?

            “Alisia”
            “Ya”

            “Mari saya bisikkan sesuatu buat awak”



(bersambung)


0 ulasan:

 

Cetusan Marga Zara Copyright © 2011 Design by Ipietoon Blogger Template | Best Gift ideas