Sunday, November 25, 2012

Legasi Cinta Alisia : Bab 07

Cetusan Marga ♛ LORD ZARA 札拉 ♛ detikan 11/25/2012 10:24:00 PM

http://farm8.staticflickr.com/7057/6983576213_4c5a72c2d7.jpg
Perhatian : Semua karya yang disiarkan adalah hak milik penulis itu sendiri. Sebarang penyiaran semula tanpa keizinan penulis adalah salah dan melanggar hak cipta terpelihara. Tindakan akan diambil.

Dwen pandang kami silih berganti. Muka tercengang dengan kata-kata abangnya. Aku sudah buang muka ke tepi. Alahai, mengapa itu yang disuarakan setelah bertahun terpisah oleh takdir dan tuntutan untuk berjaya?

            “Hai Chia Hau. Pemain terbaik bola keranjang sekolah. Nampaknya bukan manusia yang kurus kering macam dahulu”
            “Alisia, masih ingat nama saya rupanya”

            “Saya kenal dengan nama Chia Hau, bukan Brian Zaff”
            “Dan saya kenal awak dengan nama Alisia, bukan Rayyan macam yang disebut oleh budak kecil ini”. Brian Zaff menujah kepala adiknya dengan lembut. Dwen ketawa sambil menjauhkan diri daripada abangnya. 

            “Mungkin sebab mereka suka nama itu. Entah, budak-budak bola keranjang suka panggil saya Rayyan”
            “Cikgu nampak lebih tampan dan kacak dengan nama itu”

            “Dwen! Nakal! Esok lari keliling gelanggang lima pusingan.”
            “Dwen, Espere por mim lá. Por favor, comporte-se. Maaf Alisia, Dwen memang nak kena balik nanti. Tunggu saya cakap dengan Mama”

“Tak mengapa Chia Hau, dah biasa dengan dia. Lagipun, Alisia atau Rayyan, saya masih manusia yang sama.”
            “Alisia yang banyak menumpahkan darah di sekolah.”

            Muka aku sudah semakin merah. Mengapa lelaki ini mesti menyebut perkara itu? Memalukan sungguh. Dwen menjauhkan diri selepas dijeling dan ditegur oleh Brian. Bersandar di kereta Toyota Vios emas yang mungkin milik abangnya itu. Teduh di bawah pohon angsana besar.

            “Alisia, eu te amo mesmo que você não pode entender isto. Nosso jogo não iniciar, e eu me odeio por isso.”
            Perdoe-me Brian, o que você quer dizer com isso?”

            “Alisia, awak faham apa yang saya cakap?”
            “Saya mula belajar sejak awak menuturkan sesuatu yang saya tidak fahami sebelum ini. Dan belajar sendiri itu rupanya amat perit walaupun hakikatnya saya boleh ketawa lihat muka terkejut awak sekarang ini Chia Hau.”

            Aku ketawa tanpa berhenti bila melihat muka Brian terkejut. Dia buka cermin mata dan letak ke tepi. Baju yang dipakai jelas menunjukkan susuk tubuh dia yang kini tegap dan hampir sasa sebagai lelaki muda. Ketinggian semakin bertambah, kali terakhir aku lihat dia cuma setinggi 178 cm sahaja dan aku yakin rambut itu sudah berapa kali ditukar warnanya. Bersandar di kereta Perodua MyVi hitam milik aku dengan gaya bersahaja. Tuhan! Panjangnya kaki dia. 

            “Awak dah terlampau banyak berubah.”
            “Mungkin dan maaf Brian, saya mahu pulang ke rumah. Sudah lewat senja, dan sebentar lagi waktu Maghrib bakal bermula”

            “Oh, maaf. Jumpa lagi di mana-mana Rayyan.”
            ‘Sejak bila awak panggil saya Rayyan?”

            “Sejak awak panggil saya Brian. Saya lebih suka awak panggil saya Chia Hau. Adeus Alisia querida.”
 
Brian Zaff tersenyum dan pamit pergi dengan segaris senyuman di wajah tanpa sebarang cela. Aku hanya mampu memandang akibat terpana dengan kata-kata terakhirnya. Adeus Alisia querida adalah perkataan bahasa Portugis yang membawa maksud ‘Selamat Tinggal Alisia Sayang’. Aku ketawa kecil bagi menghalau rasa gundah yang singgah tiba-tiba. Masuk ke kereta dan bergegas pulang ke rumah. 

Brian Zaff Chia Hau antara nama yang sering meniti di bibir sewaktu aku hampir menghabiskan sisa reput di sekolah menengah. Dia muncul antara pemain utama terbaik dalam pasukan bola keranjang sekolah setelah dia pindah ke sekolah kami, SMK Muara. Kelibatnya disedari selepas dia menghabiskan masa mengintai pasukan bola keranjang berlatih pada hari pertama persekolahan.

Awal persekolahan 2002.

Teringat kali pertama aku menyedari dia baru bersekolah di tempat kami. Aku memulakan sesi persekolahan 2002 dengan semangat membara. Ditempatkan dalam kumpulan elit atas dasar menunjukkan persembahan terbaik dalam Penilaian Menengah Rendah, aku melangkah ke sekolah dengan penuh kesyukuran dan bangga. Berdiri di barisan belakang bersama teman-teman, aku perasan dengan kelibat lelaki tinggi yang muncul entah dari mana. 

Pantas aku mengira bilangan barisan di depan aku. Pelajar Tingkatan Tiga? Siapa sahaja yang setinggi itu? Aku menggigihkan diri untuk mengira urutan kelas yang beratur di hadapan mata. Senyum. Tingkatan Tiga Arteri.

Kepala aku terus menggali nama-nama yang mungkin berada di kelas itu. Sambil memberikan sepenuh tumpuan kepada ucapan guru di hadapan walaupun mata mengerling, mencuri pandang. Teringat seseorang yang mungkin bisa buat aku memasang lukah, mencari bakat baru untuk sekolah. Hidayah Aina. Masa untuk memburu gadis lincah itu sebelum hari persekolahan ini berakhir tanpa sebarang tanda jaya. Aku senyum sendirian dan hampir menghambur tawa. Gila.

Waktu rehat menjelma dan aku tunggu di luar kelas Tiga Arteri. Nampak sahaja kelibat Hidayah Aina, aku pantas menahan dia. Lagak seperti seorang polis mahu menangkap pesalah layaknya.

“Dayah, kelas kau ada budak baru?”
“Ada, budak lelaki, Cina. Kenapa?”

“Siapa nama dia?”
“Dia kenalkan diri dalam kelas. Suruh panggil Chiau Hau. Tanda nama dia pun tulis Chia Hau saja. Kenapa Ali?”

“Saja tanya. Sebab dia nampak tinggi gila”
“Nak tarik masuk gelanggang lah tu”

“Eh, biasa. Aku gerak dulu. Mana tahu dapat jumpa dia.”

Aku pulang ke kelas. Senyuman terukir di bibir aku. Masa untuk memburu. Ini peluang menunjukkan bakat pada guru bagi buat mereka tidak akan pilu. Ah, semuanya tentang perlawanan bola keranjang yang jadikan tahun lepas, Cikgu Ghazali Ali jadi manusia sayu. Masakan tidak, kalah teruk ditangan SMK Seri Bayu. Siapa yang tidak malu!

Petang menjalani latihan seperti biasa. Cikgu Ghazali memang mempunyai semangat membara. Mahu buktikan laungan rakan-rakan sekolah lain salah dan omongan kosong semata. Anak-anak SMK Muara ini berbakat, Cuma tahun lepas, entah di mana silapnya. Mereka tersungkur tidak bermaya. Mungkin sebab terlalu ghairah mengejar kecemerlangan dan nama. Sampai tidak kira waktu dan masa. Lupa hujan ribut, berlatih dalam apa juga cuaca. Akhirnya, anak-anak pelajar yang menjadi mangsa. Sedih dia mengenangkan muka pemain-pemain yang kecewa.

            “Ali, pemain bawah lima belas dah kurang. Semua dah naik menengah atas. Awak dah rekrut budak baru?”
            “Jurulatih tercinta, hari ini baru hari pertama sekolah. Mana saya nak menjejaki budak-budak baru macam kucing ikut aroma ikan mentah?”

            “Ceh! Pandai menjawab kalau saya tanya. Tapi, takkan takde sesiapa pun yang awak nampak? Mata dah empat, belum masuk lagi penglihatan tajam macam pesawat Hawk”
            “Amboi cikgu. Pulang ayat makan dalam nampaknya. Ada cikgu, tinggi, budak Cina. Kacak juga. Budak baru, Tingkatan Tiga”

            “Bagus. Esok cari budak tu. Suruh dia jumpa saya”
            ‘Tak payah esok cikgu, dia ada melongo tepi gelanggang ni”. Aku tunjuk hujung gelanggang, seorang budak lelaki sedang memerhatikan perlawanan latihan dua sebelah pasukan lelaki bawah lapan belas. Gelanggang bersaiz lima belas meter darab dua puluh lapan meter persegi itu memang menjadi tumpuan hampir setiap petang. Kalau tidak pasukan lelaki, pasti pasukan perempuan yang akan beraksi.

            “Pergi panggil dia datang sini Ali.”
            “Saya juga yang kena? Alahai cikgu, segan saya”

            “Setahu saya, Cikgu Huzaifah Asmara kata kamu berani macam lelaki. Takkan sebab Danish Aryan pindah tahun lepas, kamu jadi penakut pula. Berapa banyak budak tersadai dalam bilik rawatan sebab kamu kan?”
            “Memang makan dalam ini. Ya lah, saya pergi”

            Aku berjalan longlai ke arah pelajar baru itu. Dia masih leka memandang perlawanan mantap pasukan bola keranjang lelaki sekolah kami. Ah, barisan yang diterajui Ahmad Aryan sebagai ketua pasukan memang hebat. Terkenangkan Danish Aryan yang berpindah entah ke mana. Pergi meninggalkan sekolah tanpa sebarang berita. Mahu bertanya pada saudara sulungnya ini, aku serba salah. Takut difikir bukan-bukan pula. Hindarkan pemikiran itu ke tepi, aku hanya mampu mendoakan yang terbaik walau di mana dia berada. Laungan Cikgu Ghazali di belakang buat aku bergegas ke arah lelaki Cina itu.

            “Hai awak”
            “Hai senhora. Qualquer coisa que eu possa ajudá-lo?

            “Ah, sorry. Can you speak in English, or Bahasa Melayu please? That language is not really familiar to me”
            “It’s Portuguese, Senhora. Saya boleh cakap Bahasa Melayu. Apa yang saya boleh bantu?”

            “Oh, cikgu Ghazali panggil awak. Ada hal sedikit mahu cakap katanya. Saya Alisia”
            “Meu nome é Brian Chia Hau”

            Aku angkat kening tengok muka dia. Manusia ini faham atau tidak yang aku tidak mengerti apa yang dituturkan oleh dia? Cuma, ayat terakhir itu pasti memberitahu aku nama dia. Brian Chia Hau. Dia mengekori aku dari belakang menuju ke tempat di mana Cikgu Ghazali sedang mengatur strategi untuk pasukan bola keranjang untuk pemain bawah lima belas. Kekurangan ahli buat dia kelihatan gelisah lebih dari biasa. Menghampiri Cikgu Ghazali dan bisik ke telinganya.

            “Cikgu, itu budaknya. Nama dia Chia Hau”
            “Terima kasih Ali. Awak pergi suruh pelajar perempuan bersedia untuk mengambil alih gelanggang selepas ini. Pasukan lelaki suruh mereka rehat di wakaf kita. Pergi sekarang Ali. Jangan buang masa. Chia Hau ke mari.”

            Cikgu Ghazali menggamit Chia Hau ke arah dia. Pelajar itu menghampirinya sambil tersenyum dan mata tidak lepas dari memerhati papan putih yang penuh dengan contengan aturan strategi menghadapi lawan. Kelihatan minat yang mendalam di dasar hati anak muda itu. Dari renungan mata sepet itu juga, Cikgu Ghazali dapat baca betapa pelajar itu seorang yang berbakat dan pandai bermain bola. Susuk tubuh dan gaya jalan yang teratur persis seorang pemain bola keranjang berpengalaman.

            Boa tarde, professor”
            Boa tarde. Podemos falar na nossa língua nacional, se você não se importa?”

            “Perdoe-me professor. Você pode falar em Português também. Estou impressionado!”
            Eu fui a Portugal antes. Jadi, Chia Hau, awak berminat untuk menyertai pasukan bola keranjang kami?” 

            “Oh Deus! Mestilah saya mahu cikgu. Saya tengok semua orang main dengan baik.”
            “Pernah main untuk sekolah lama? Badan awak nampak sesuai. Kurus tinggi dan saya pasti daya lonjakan serta lompatan awak baik. Berapa ketinggian awak? 1.70 meter?”

            “1.75 meter cikgu. Pernah wakil sekolah ke pertandingan antara daerah dan peringkat negeri.”

            Tatkala mendengar tawaran Cikgu Ghazali, hati Chia Hau sudah melonjak girang. Pasti dia mahu sertai aktiviti begini. Sudah sakit badan dia tidak dapat bermain bola keranjang seperti biasa. Menjaga adik kecil di rumah dan menghabiskan cuti sekolah dengan memunggah barang-barang kerana baru pindah, buat dia kehilangan daya. Benci dengan diri yang tidak dapat melunaskan apa yang dia suka. Mengerling ke gelanggang hijau yang sudah dipenuhi pelajar perempuan. Bila giliran aku menunjuk bakat di sini?

            “Saya nak tengok awak main dulu. Boleh?”
            “Do treinador é claro! Bila cikgu?”

            “Não me chame de treinador. Sekarang. Ali, sini sekejap!”

            Chia Hau lihat gadis bertudung yang menyapa dia tadi. Rasa mahu mengucapkan terima kasih sebab memanggil dia, tapi hasrat terpendam begitu sahaja. Gadis berkulit sawo matang itu berlari ke arah Cikgu Ghazali. Berbual dengan guru muda yang kelihatan sangat bersemangat menguruskan pasukan bola keranjang. Chia Hau curi pandang gadis yang kelihatan teruja mendengar apa yang disampaikan oleh jurulatih itu. Kesan terbakar dengan cahaya matahari kelihatan jelas di wajah perempuan yang memakai jersi bernombor tujuh. Ah, anak mata gadis itu bulat dan bercahaya bila menoleh ke arah dia.

            “Chia Hau, tahniah sebab terpilih untuk masuk pasukan kami. Tapi, sebelum terbukti layak, awak kena melepasi semua pemain yang Cikgu Ghazali pilih nanti. Boleh?”
            “O que significa?”

            “As I told you before, please speak in the language that I can undestand. I don’t know Portuguese, so please, make it clear what you actually said”
            “Oh, maaf. Apa maksud melepasi pemain yang jurulatih pilih?”

            “Senang sahaja. Awak akan diuji tentang cara balingan, pengawalan bola dan bagaimana mahu melepasi halangan. Sebab awak kata pernah wakil sekolah, daerah, Cikgu Huzaifah nak tengok buktinya. Jadi sekarang, masuk gelanggang”

            Chia Hau melangkah masuk ke gelanggang. Ini masa yang ditunggu setelah entah berapa lama tidak beraksi. Barisan pemain bawah lapan belas dan lima belas sudah beratur di hadapan dia. Pantas mengira, dua belas orang. Enam berbaju kuning dan enam lagi berbaju biru. Kuning untuk bawah lapan belas, dan biru untuk bawah lima belas. Di tengah gelanggang, hanya dia seorang. Renung tiang gol dan jaring yang berbuai dek angin petang. Ini bukan calang-calang.

            “Chia Hau, awak dah sedia?”
            “Iniciar o senhor jogo!”

            Sorakan bergema di gelanggang dan permainan bermula. Alisia memandang sambil mengetap bibir melihat bagaimana ujian pertama ini harus berakhir. Jeritan dan bunyi wisel saling bertingkah. Bola bersaiz tujuh itu sudah melayah entah ke mana, dari tangan ke tangan. Senyuman terukir bila lihat mata akhir di papan markah. Alisia bangkit dan terus ke bangsal sekolah. Puas dapat menunaikan amanah.

*******

            “Chia Hau, perlawanan pertama minggu hadapan. Awak jangan lupa pergi berlatih. Cikgu Ghazali memang tegas dalam hal begini”
            “Baik Alisia senhora. Awak memang komited dalam bola keranjang. Saya nak tanya awak sesuatu, se você não se importa?”

            “Kan saya dah kata, jangan cakap bahasa Portugis. Awak nak tanya apa?”
            “Kenapa awak pukul Syahmi Hanis di bangsal sekolah petang semalam? Dia kacau awak ke?”

            “Oh, itu sahaja? Masalah peribadi mungkin. Jangan risau. Saya belum sampai tahap membunuh lagi.”
            “Ganasnya awak. Tapi, dalam gelanggang, saya tak pernah nampak awak buat gangguan fizikal pun. Kalau awak kena tolak, awak bangun dan senyum sahaja. Kenapa di luar awak ganas begitu?”

            “Oh, dalam gelanggang saya bawa nama sekolah. Takkan saya mahu pukul dan mengotorkan gelanggang mulia  yang saya suka dengan darah?”

            Chia Hau ketawa berdekah. Gadis ini memang kelakar. Tidak mahu kotorkan gelanggang bola keranjang dengan darah? Memang gila rasanya duduk bersama dia. Angin sepoi-sepoi bahasa dan dia tengok muka Alisia bersinar di bawah cahaya matahari. Wajah yang tidak pernah ukir rasa gentar bila menari di dalam gelanggang. Hayunan pantas bola dan terjahan menangkis serangan. 

            “Alisia, Eu amo a maneira que você joga no The Game. Eu faço sempre querida.

            Alisia menoleh dan muka Chia Hau kurang 10 sentimeter dari dia. Dia tergamam dan tangan terus digenggam.

Nota Kaki Bab 7

“Alisia, eu te amo mesmo que você não pode entender isto. Nosso jogo não iniciar, e eu me odeio por isso.”- Alisia, saya cintakan awak walaupun awak mungkin tidak mengerti apa yang saya luahkan. Permainan kita langsung tidak bermula dan itu menyebabkan saya benci dengan diri sendiri

“Perdoe-me Brian, o que você quer dizer com isso?”-  Maafkan saya Brian, apa yang awak maksudkan dengan itu?

Adeus Alisia querida. - Selamat jalan Alisia sayang.

Hi senhora. Qualquer coisa que eu possa ajudá-lo? - Hi cik. Ada apa-apa yang saya boleh bantu?

“Meu nome é Brian Chia Hau”- Nama saya Brian Chia Hau

“Boa tarde, professor”- Selamat tengah hari cikgu

“Boa tarde. Podemos falar na nossa língua nacional, se você não se importa?”- Selamat tengah hari. Boleh kita bertutur dalam bahasa kebangsaan, kalau awak tidak keberatan 

“Perdoe-me professor. Você pode falar em Português também, estou impressionado!”- Maafkan saya cikgu. Cikgu juga boleh bertutur dalam bahasa Portugis, saya kagum!

"Eu fui a Portugal antes" - Saya pernah ke Portugal sebelum ini

Do treinador é claro! – Sudah tentu jurulatih!

Não me chame de treinador – Jangan panggil saya jurulatih

“O que significa?” - Apa maksudnya?

“Iniciar o senhor jogo!” – Mulakan permainan tuan!


(bersambung)

0 ulasan:

 

Cetusan Marga Zara Copyright © 2011 Design by Ipietoon Blogger Template | Best Gift ideas