Sunday, November 25, 2012

Legasi Cinta Alisia : Bab 06

Cetusan Marga ♛ LORD ZARA 札拉 ♛ detikan 11/25/2012 10:14:00 PM

http://farm8.staticflickr.com/7057/6983576213_4c5a72c2d7.jpg
Perhatian : Semua karya yang disiarkan adalah hak milik penulis itu sendiri. Sebarang penyiaran semula tanpa keizinan penulis adalah salah dan melanggar hak cipta terpelihara. Tindakan akan diambil.




Ketawa kuat kedengaran dari belakang Danish Aryan. Alisia Rayyan sudah hampir terduduk melihatkan muka pucat Danish. Ah, lelaki itu selalu sahaja menyatakan dia kuat, tapi entah mengapa, nampaknya ia hanya mampu mengundang tawa. Bulat mata Danish melihatkan Alisia yang tidak berhenti ketawa.

            “Awak ketawa banyak sangat nanti ilmu keluar”

            Pantas gadis itu menekup mulutnya menghabiskan tawa yang masih bersisa. Danish Aryan hanya tersenyum simpul lihat betapa gadis itu masih belum mahu ketawa akan gelagatnya sebentar tadi. Nasib baik tidak melatah, kalau tidak memang buang muka secara percuma di depan gadis lincah ini. 

            “Apa ini?”
            “Hadiah buat kamu. Terima kasih dengan hadiah yang comel itu.”

            “Hadiah cantik, untuk manusia yang menarik. Memang kamu layak dapat.”
            “Jaga kamu kalau Hazwani Baiti dengar butir bicara seperti itu. Eh, sudah koyakkan pembalutnya? Apa kamu tidak tahu erti sabar?” . Terpempan Alisia lihat keletah Danish Aryan seperti anak kecil yang mendapat hadiah. Rakus mengoyakkan pembalut biru muda.

            “Eh, sebelah sahaja kasutnya? Mana lagi sebelah?”
            “Sebelah lagi saya simpan”

            “Kenapa?”
            “Entah. Saya rasa saya perlu simpan. Kalau suatu hari nanti kita terpisah membawa haluan masing-masing, awak akan ingat saya dan kasut ini, mungkin”

            “Kan saya kata awak penuh rasa cinta.”
            “Jangan buat lawak di pagi buta. Eh, dalam kad ini apa? Saya baca sekarang boleh?”

            “Simpan sahaja. Letak dalam kulit buku sejarah. Kalau ada pemeriksaan pengawas, tertangkap padah”

            Ketawa kami berdua dalam keheningan pagi yang menggigit hingga ke tulang hitam. Rasa persahabatan ini sangat menyenangkan tatkala dunia kami mula dihimpit oleh kata nista dan buat aku sudah tidak mampu melangkah jauh dalam menutup mulut mereka yang dengki. Itu mungkin titipan paling istimewa mampu aku berikan buat lelaki mata biru itu. Lihat dia melangkah ke hadapan, rambut tercacak dan belakang badan, aku tahu aku sudah sampai di garisan pemisah. 

            “Alisia, cepat masuk kelas!”
            “Baik Danish!”

            Aku buang muka pilu dan berlari kegirangan ke arah dia. Tuhan, berhentikan masa, aku benci dengan diri yang semakin lemah dengan arus dunia. Benci dan aku tidak mahu buka mata pada realiti yang menggigit setiap inci tubuh ini. Aku biarkan diri terbang dalam khayalan dan nikmat persahabatan indah bersama seseorang yang merasa jiwa seorang hamba.

            “Alisia, loceng dah berbunyi. Tidak mahu masuk ke kelas, cik adik sayang?”

            Tersentak aku kembali ke dunia sebenar. Ah, mengimbau kenangan memang mengasyikkan. Aku senyum dan mengucapkan terima kasih pada Iskandar Hisham, teman yang duduk bertentangan aku di dalam bilik guru. Jejaka dari utara tanah air itu memang nakal. Pantang tidak mengusik satu hari, boleh meroyan dia agaknya. Ketawa riang dia berjalan masuk ke kelas. Memang guru yang disukai para pelajar, dan loghat utara yang pekat sering jadi bahan jenaka anak-anak sekolah. Mana tidaknya, pelajar bercakap loghat Johor, dia balas balik dengan loghat Kedah.

            Aku mengatur langkah ke kelas Pendidikan Seni. Kelas Tingkatan 3 Giga. Penuh dan bising dengan suara pelajar yang hiruk pikuk menggamatkan suasana. Pelajar kelas ini istimewa disebabkan hanya mereka yang aku ajar mata pelajaran berkaitan seni lukisan. Mereka sudah mengerti.Kalau tiada pensel atau pemadam, Cikgu Alisia ada bawa. Tiada kertas, Cikgu Alisia juga sediakan. Cuma warna sahaja yang Cikgu Alisia tidak akan bawa.

            Hari ini aku mengajar mereka tajuk kesatuan dalam lukisan dan memilih aktiviti tema sebagai satu cabang kepelbagaian. Pelajar sibuk melukis dan mewarna. Pelbagai gaya dan bentuk aku boleh lihat dalam kanvas putih yang diserahkan pada mereka. Sedang aku memeriksa setiap meja, ada pelajar yang menggamit aku. Pelajar lelaki berbangsa Cina-Serani. Pantas aku datang menghampiri kalau-kalau dia ada sesuatu mahu ditanyakan.

            “Ada apa Dwen?”
            “Cikgu, lukisan saya ini betul atau tidak?”

            “Betul, awak boleh lukis macam-macam lagi”
            “Cikgu, ambil kertas ini.” Dwen hulur cebisan kertas pada aku.

            “Kertas apa ini?”
            “Cikgu simpan sahaja.”

            “Eh, ni nombor telefon. Siapa punya ni?”
            “Ada lah”

            Dia gelak-gelak dan aku hanya tersenyum kecil. Nakal anak ini. Bila Dwen ketawa, mata dia makin sepet. Pemain bola keranjang untuk pasukan menengah rendah. Mungkin kerana darah Portugis yang mengalir dalam diri, di usia 15 tahun, dia sudah punya ketinggian 170 sentimeter, lebih tinggi daripada rakan-rakan yang lain dalam pasukan. Fasih berbahasa kebangsaan membuatkan aku senang berbual dengan dia walaupun hanya berkesempatan masuk ke kelas dia seminggu sekali.

            “Cikgu, balik nanti cikgu telefon ke nombor itu?”
            “Kalau nombor telefon awak, cikgu pasti telefon”

            “Bukan saya punya, orang lain punya”

            Kerja melukis dan mewarna di dalam kelas diteruskan. Aku tinggalkan Dwen dan berjalan ke arah pelajar-pelajar lain. Kertas yang dia titipkan aku letak dalam bekas pensel merah darah. Deraian ketawa dari belakang buat aku berpaling. Ah, ada sahaja yang tumpah kalau dalam kelas seni. Kali ini giliran Vinod Naidu pula. Warna air yang dia gunakan jatuh ke atas lantai akibat kecuaian sendiri. Terkulat-kulat muka dia lihat aku menghampiri dengan muka yang sengaja ditarik serius.

            “Kenapa Vinod?”
            “Salah saya cikgu. Saya mahu lukis, saya tarik kertas, tak nampak ada warna air belakang sana, tertolak, terus jatuh, tumpah. Pardon me Miss Rayyan”

            “Tak apa. Vinod ambil mop di bilik stor belakang. Lap sahaja, boleh?”
            “Boleh cikgu. Saya ambil sekarang boleh cikgu?”

            “Boleh, ambil, jangan lupa ambil pas kebenaran pada ketua.”

            Kelas bersambung dan terus macam biasa. Gelak ketawa anak-anak ini bisa buat hati aku tenang. Mungkin disebabkan aku sendiri sukakan apa jua perkara yang berbentuk seni, maka jiwa dan hatiku ada di situ setiap kali menyelami isi pembelajaran bersama pelajar. Loceng berdentang kuat menandakan waktu persekolahan tamat. Usai menyuruh pelajar mengemas dan menghantar lukisan masing-masing, aku berjalan keluar kelas. Baru sahaja membelok ke arah bilik guru, kedengaran ada suara memanggil dari belakang.

            “Coach, coach, wait for us!”
            “Stop calling her coach Vinod. Just called her Miss Rayyan.”

            “By calling her coach, I do sounds professional dude.”
            “Ehem.”

            Aku berdehem kuat melihat dua pelajar ini bertekak mahu memanggil aku dengan gelaran apa. Mentang-mentanglah aku ini jurulatih pasukan bola keranjang sekolah, ada sahaja yang cuba mengusik girang. Vinod Naidu dan Dwen Zaff ketawa melihat aku menjengilkan mata pada mereka.

            “Sorry Miss Rayyan. It’s Dwen’s fault”
            “Vinod, speak in Bahasa Melayu dude. This is Malaysia, am I right Miss?”

            “Ceh, you also speak in English, Dwen”
            “Baiklah. Maaf, sila bercakap dalam Bahasa Melayu. Betulkan Cikgu?”

            “Awak buat saya ketawa Dwen. Cukuplah. Ada apa awak panggil saya tadi Vinod?”
            “Petang ini kita ada latihan tak Cikgu? Kalau ada, saya nak balik rumah, makan, tidur, petang datang balik sini.”

            “Petang ini kita berlatih di taman sahaja, boleh? Pesan pada Danell, Ady, Andrew dan lain-lain pemain supaya datang jam empat setengah. Yang penting, pemain utama mesti ada tahu? Kalau tidak, siap.”
            “Baiklah Cikgu Oh Bulan”

            “Apa kamu panggil saya? Cikgu Oh Bulan? Awak ingat saya wau ke Dwen?”
            “Ady kata cikgu pakai tudung macam Yuna. Semalam saya balik rumah, tengok Internet, cari siapa Yuna, rupanya yang penyanyi. Tudung samalah Cikgu. Terbaik!” Dwen gelak mengekeh kuat sambil buat dua jempol. Sahaja mahu mengusik jurulatih ini. 

            “Pandailah kamu. Balik rumah hati-hati. Jumpa petang nanti ya?”
            “Goodbye Miss Rayyan. Drive carefully.”

            “Thanks. See you later guys.”

            Pasukan bola keranjang lelaki menengah rendah memang menjadi tanggungjawab aku. Pemain utama seramai lima orang ini sudah aku latih semenjak mereka di Tingkatan Satu. Bermula hanya sebagai pemain simpanan, akhirnya, mampu memboloskan diri menjadi pemain utama bermula tahun ini. Dwen Zaff Lee, Vinod Naidu, Ady Haqim, Danell Hafiz Abdullah dan Andrew Tan adalah lima pemain berbakat yang aku sayangi. Dwen Zaff misalnya, adalah pemain yang mampu menjaringkan bola daripada luar lengkungan untuk membolehkan kami mendapat tiga mata, manakala Ady Haqim adalah pakar jaringan percuma. 

            Petang menjelma dan bertuah sungguh kerana cuaca sangat menyebelahi kami. Anak-anak itu semua memang meyukai sinaran mentari. Bak kata Andrew, kalau berpeluh, nampak seperti lelaki sejati. Walaupun disangkal oleh yang lain, dia hanya ketawa senang hati. Ah, Andrew Tan itu mengingatkan aku pada lenggok abangnya, Jason Tan yang bermain untuk pasukan menengah atas kini.

            “Cikgu Rayyan, hujung minggu ni mungkin saya tak datang latihan. Ada hal keluarga. Saudara sebelah Papa ada yang nak kahwin.”
            “Ye ke kau ni Dwen? Entah-entah kau yang nak keluar dengan mata air”

            “Aku bukan macam Si Mancung Naidu itu ya Encik Andrew. Bukan ada orang nak aku pun. Cikgu, boleh saya minta kebenaran tak datang latihan?”

            Aku pandang muka Dwen sambil memikirkan sama ada patut diberi kebenaran atau tidak. Mengira hari latihan dalam minggu ini membuatkan aku berkira-kira mahu membatalkan latihan hujung minggu. Kebetulan minggu ini ada teman yang mahu pulang belajar dari Jepun. Mahu mengubat rindu yang menggunung pada dia, berkumpul dengan kawan-kawan yang lain juga.

            “Bolehlah sebab minggu ini dah empat kali kita berlatih. Lagipun, saya pun ada hal sedikit hujung minggu nanti”
            “Jumpa teman lelaki ya cikgu? Nak ikut!”

            “Amboi Hafiz. Bukanlah. Kawan cikgu, perempuan. Dan Dwen, jangan lupa ambil gambar dengan pengantin perempuan yang memakai cabaia, saia dan kasut bermanik. Saya teringin nak tengok perkahwinan tradisional masyarakat Serani”
            “Cabaia? Saia? Apa benda tu semua?”, Ady sudah garu kepala.

            “Itu pakaian pengantin perempuan. Cabaia adalah sejenis kebaya labuh, manakala saia adalah kain sarung sutera berwarna putih. Biasanya pengantin perempuan akan pakai begitu, dan jangan lupa, kasut bermanik serta rambutnya akan didandan kemas dengan sanggul dan permata tiruan”
            ‘Wah! Cikgu Rayyan memang banyak tahu ya?”

            Sekadar pembacaan. Baiklah semua, petang ini dah main tiga perlawanan. Ada yang saya nak tegur. Vinod, cara awak menggelecek dah semakin bagus. Tahniah, tetapi jangan sampai ada gangguan fizikal ya?”
            “Faul dude. Faul!”

            “Shut up you guys. Thanks for the compliment Miss Rayyan.”
            “Dwen, awak boleh buat lebih baik. Gunakan ketinggian dengan sebaiknya. Ady, Hafiz dan Andrew, kamu bertiga pandai cari peluang. Bagus. Tetapi harus ingat, hari ini main dengan pemain simpanan sahaja. Jadi kebolehan awak semua memang boleh ditingkatkan lagi. Sila buktikan bakat masing-masing.”

            “Baik cikgu! Oh, tak sanggup nak dengar Cikgu Fariz Yussairy kata, pasukan bola keranjang perempuan lebih baik”

            Ketawa kami berderaian. Cikgu Fariz Yussairy merupakan ketua jurulatih merangkap jurulatih pasukan perempuan. Sengaja kami mengaturkan demikian, supaya pelajar lebih bermotivasi untuk bermain. Walaupun begitu, perkhemahan serta perbincangan antara pasukan lelaki dan perempuan sering diadakan untuk mengatur strategi menghadapi lawan. Tambahan pula kejohanan antara daerah bakal bermula bulan hadapan. 

            “Baiklah semua. Masa untuk bersurai. Terima kasih dan jumpa lagi esok di sekolah.”

            Aku membawa barangan yang digunakan ke kereta. Penat dan berpeluh sudah tidak terkata. Bergabung dan menyatu hingga tiada lagi rupa manusia. Teringatkan kutukan bonda setiap kali aku pulang ke teratak keluarga. Bising dia lihat anak dara menghabiskan masa di sekolah melatih permainan ini sampai ke senja. Aku mampu tersenyum sahaja. Bonda kalau tidak bising, memang tidak sah rasanya. Bagai ada terkurang hari yang ceria.

            Teringatkan ada barang yang perlu dibeli, aku menghalakan kereta ke kedai yang berhampiran. Ah, hanya barangan keperluan. Beli sahaja di pasar mini berdekatan. Malas mahu bersesak di pasar raya besar, dan aku memang benci kesesakan. Memilih apa yang perlu sahaja dan aku terus bergegas ke kaunter untuk membayar. Ada yang menyapa, kebanyakannya adalah ibu bapa atau penjaga pelajar di sekolah. 

Usai membayar, aku menuju ke kereta. Entah bagaimana, seluar tersangkut di tepi motosikal, aku terdorong ke hadapan dan  barang yang dibeli bertaburan keluar dari plastik. Aku toleh kiri kanan, nasib baik letak kereta di tempat yang tersorok, tidaklah malu sangat. Cepat-cepat aku pungut kembali barang. Sedang aku leka mengumpul barang, ada tangan yang mencuit bahu dari belakang. Lantas aku berpaling dan terpempan.

            Yang Maha Kuasa! Mengapa mesti dia? Mengapa mesti si sepet kacak berkaca mata bingkai hitam? Mengapa dia? Mengapa harus dia tatkala ini?

            “Hai”

            Lidah aku kelu. Tidak mampu untuk mengatur bicara hatta untuk membalas tutur sapaan dia. Senyum Alisia, senyum, aku meromok memberitahu diri.

            “Beli barang ke? Seorang?”

            Hati bagai dipanah halilintar mengenangkan manusia yang seorang ini. Dada bagai dipalu kuat menggunakan tukul besi. Otak berdengung laksana ada orang mengatur langkah tari. Pantas aku bangkit dan bersandar pada kereta. Senyum dan angguk sahaja sebagai jawapan pada empunya diri.

            “Apa khabar? Dah lama tak jumpa awak. Buat apa sekarang? Kerja?”
            “Baik. Ya betul. Sangat lama. Sekarang dah kerja, jadi cikgu sekolah. Awak?”

            “Saya kerja biasa. Uruskan gimnasium sendiri. Oh, sekolah mana?”
            “Sekolah di hujung padang sana. Sekolah lama kita”

            “Oh, adik saya pun ada sekolah situ. Ni datang ambil dia, entah kenapa basikal dia takde angin katanya. Dah nak balik rumah ke?”
            “Mungkin pancit atau bocor. Ya, dah petang sangat. Balik dulu. Jumpa lagi”

            Aku berpaling dan membuka pintu kereta. Terasa ada orang merenung dari belakang tapi aku biarkan sahaja. Akal aku masih tidak dapat menerima kemunculan dia yang tiba-tiba. Sedang aku terkial-kial meletakkan barang di kerusi belakang, terdengar suara berbual dalam bahasa Mandarin. Mungkin adik dia sudah tiba. Aku menoleh, mahu mengucapkan selamat jalan.

            Cikgu Rayyan!”

            Aku terkesima. Dwen Zaff melambai aku dengan bersungguh. Dia baling beg sukan pada lelaki itu seperti sudah kenal lama. Aku pandang jejaka berkaca mata bingkai hitam itu. Dia juga tengok aku. Kami saling buang pandangan antara satu sama lain.

            “Cikgu, ini abang saya, Brian Zaff Chia Hau. Abang, ini jurulatih bola keranjang Dwen. Abang, rugi abang tak dapat jurulatih perempuan masa sekolah”.Dwen ketawa geli hati dan kami berdua masih berpandangan antara satu sama lain.

            “Dwen, pemain utama bola keranjang terbaik ini abang awak?
            “Lama tak jumpa Alisia, gadis yang paling kuat membelasah sampai berdarah”


(bersambung)


0 ulasan:

 

Cetusan Marga Zara Copyright © 2011 Design by Ipietoon Blogger Template | Best Gift ideas