Sunday, November 25, 2012

Legasi Cinta Alisia : Bab 05

Cetusan Marga ♛ LORD ZARA 札拉 ♛ detikan 11/25/2012 10:05:00 PM

http://farm8.staticflickr.com/7057/6983576213_4c5a72c2d7.jpg
Perhatian : Semua karya yang disiarkan adalah hak milik penulis itu sendiri. Sebarang penyiaran semula tanpa keizinan penulis adalah salah dan melanggar hak cipta terpelihara. Tindakan akan diambil.


Danish berlari keluar mengejar Alisia. Syahmi Hanis hanya mampu merenung dari dalam rumah. Dia tahu tindakan dia kurang tepat tatkala gadis itu sudah mahu membunuhnya pagi tadi. Entah bagaimana keberanian gila dia tiba-tiba muncul. Duduk menghenyak di sofa merah dan merenung jauh merentasi jendela yang membawa ke angkasa. Tindakan nakal sudah dapat balasan celaka.

            Lain pula cerita di luar tatkala Danish berusaha menenangkan Alisia. Gadis itu malas mahu mendengar alasan yang pelbagai bentuknya daripada Danish. Tangan kanan dia dipaut pantas oleh Danish. Larian terhenti dan langit sudah mula bertukar warna kelam.

            “Kenapa mesti nak lari?”
            “Saya benci dengan dia.”

            “Dia cintakan awak”
            “Mana awak tahu dia sukakan saya?”

            “Dia cakap dengan saya. Saya percaya dia, dia kawan saya”

            Aku renung muka Danish. Naif lelaki ini. Entah apa yang dia percayakan pada Syahmi Hanis yang terkenal dengan watak buaya. Menjual wajah di mana sahaja dia berada, dan kini cuba menagih kasih dari aku pula. Kegilaan apakah yang merasuk si Belanda itu?

            “Awak boleh percaya Syahmi, tapi saya tidak.”
            “Awak boleh cuba terima dia dulu kan?”

            “Untuk apa?”
            “Salah, bukan untuk apa, tapi untuk siapa. Untuk saya”

            Aku terpempan dengan butir bicara si mata biru ini. Mengapa itu yang kamu mahukan dalam persahabatan kita ini?. Aku buang pandangan ke hadapan. Taman permainan kanak-kanak yang berwarna warni.

            “Saya fikirkan dulu ya?”
            “Kan lebih baik begitu. Mari pulang.”

            “ Saya nak fikirkan sementara kita bermain di taman permainan ini. Bolehkan?
            “ Boleh sahaja.Awak nak main apa?”

            “Buaian, awak kena tolakkan”

            Danish Aryan ketawa kecil. Jiwa kanak-kanak memang menebal dalam hati gadis itu. Kalau lihat buku bercorak tulang dia, siapa akan sangka jiwa ganas itu ada bunga di dalamnya. Indah kalau diperhatikan dari luar dan bahagia kalau dapat duduk di dalamnya. Hujan renyai tidak menghalang kami menghabiskan masa di situ. Aku tolak buaian, lihat belakang badan Alisia. Sudah beberapa bulan bersama, aku tidak pernah dapat sedekat ini dengan dia.

            “Danish.”
            “Kalau saya terima Syahmi, apa saya dapat?”

            “Awak mungkin dapat kebahagiaan.”
            ‘Itu hanya kemungkinan kan?”

            “Saya akan mendoakan awak, sentiasa.”
            “Awak akan tetap bersama saya?”

            ‘Pasti”
            “Baik, saya terima”

            Malam itu, buat kali pertama, telefon rumah aku tidak berdering lagi jam lapan malam. Tiada lampu berkelipan jam lapan malam, dan aku tahu, takdir itu sudah berhenti setakat itu sahaja. Aku tidak boleh bermimpi. Kerja rumah aku sudahkan, dan teruskan dengan pembacaan. Persetankan sahaja urusan hati yang belum diselami secukupnya.Telefon rumah berbunyi jam sembilan setengah malam. Aku biarkan sahaja, masih meneruskan tugasan Sejarah. Kedengaran suara adik melaung dari luar.

            “Kak Al, telefon buat kamu”

            Bergegas aku keluar dan menarik gagang telefon. Mata bonda mengiringi setiap langkah aku. Ah, bagai sarjan melihat soldadu. Capai gagang dan duduk di kerusi berdekatan.

            “Salam. Siapa di sana?”
            “Syahmi. Alisia, Danish cakap awak boleh terima saya”

            “Kalau begitu yang dia kata, dan awak percaya dia, itu jawapan saya.”
            “Ini sebab denda atau awak memang ada hati saya?”

            “Bergantung macam mana nanti. Kita tengok bagaimana perjalanan hidup ini nanti”
            “Terima kasih Alisia. Saya memang sayangkan awak”

            “Selamat malam, jaga diri awak baik-baik”.

            Esoknya Alisia ke sekolah seperti biasa. Syahmi Hanis sudah merancang sesuatu untuk anak gadis itu. Ditunggunya gadis itu di bangsal basikal walaupun hakikatnya dia sendiri ke sekolah menaiki kereta – dihantar oleh ibunya. Danish Aryan yang sampai di sekolah awal hanya ketawa. Kalaulah lelaki itu tahu apa yang terjadi semalam, mungkin dia tidak akan bersungguh seperti ini mendengar kata-kata Danish. Ah, persetankan. Itu yang disuratkan takdir. Waktu rehat menengah rendah seperti biasa, dia dan Alisia bertugas dalam bilik rawatan yang dihias ceria. Cuma hari ini mereka ditemani oleh Cikgu Huzaifah Asmara yang mempunyai waktu lapang.

            “Alisia, semalam Syahmi ada telefon awak?”
            “Ada.”

            “Dia cakap apa?”
            “Cakap yang awak beritahu dia saya terima dia. Itu sahaja. Dia percayakan awak.”

            “Kami kawan baik, saya akan setia dengan dia”
            “Ya, awak juga kawan baik saya. Kawan baik yang tumbuk muka kawan baik sendiri walaupun hakikatnya, saya bertukar tempat dengan awak”

            “Awak beritahu Syahmi saya yang tumbuk dia?”
            “Tak. Biar saya tanggung itu. Lagipun, kesakitan yang dia dapat dari awak itu kan suatu bentuk pengajaran. Tumbukan awak tak kuat mana”. Ketawa kecil Alisia dengan kata-katanya sendiri.

            “Sengal awak ini, Alisia”

            Gurau senda mereka berdua menarik minat Cikgu Huzaifah Asmara yang duduk di sudut katil memeriksa bekalan ubatan yang disusun petugas sehari sebelumnya. Nampak ketara perubahan gadis itu. Kalau Danish Aryan yang memanggil dengan nama Alisia, gadis itu akan mengangguk dan ikut sahaja tanpa berlaku pertumpahan darah. Senyum menguntum di bibir Huzaifah kerana hakikatnya, dia tahu gadis itu yang memulakan canangan memanggil dia “Kakak” Huzaifah Asmara. Keji tapi dia hanya ketawa geli hati.

            Sudah lima bulan berlalu sejak peristiwa misteri jatuh tangga Syahmi Hanis berlaku. Cerita yang penuh kepuraan disulami sedikit kenangan. Lima purnama juga Alisia dan Syahmi sudah mencoret sebuah ceritera. Benda biasa yang dilakukan oleh remaja bercinta walaupun hakikatnya ia tidak semudah disangka. Alisia Rayyan, di sebalik watak ganas yang ditonjolkan di sekolah, ternyata bukan gadis liar seperti yang disangka. Anak itu cukup taat pada ibu bapanya dan tiada istilah keluar bersama walaupun sudah lama bersama. Ah, dia memang terpenjara dalam sangkar emas buatan keluarga. Dan yang peliknya, dia suka!

            Rutin harian jam tiga petang dan lapan malam entah bagaimana, sudah bermula semula. Danish Aryan tahu esok adalah hari ulang tahun ke empat belas gadis bernama Alisia Rayyan, tetapi dia punya berita buruk untuk dikisahkan pada anak remaja yang bakal menyalin angka dalam melangsungkan kesinambungan hidup. Dengan harapan dia tidak kisah dan sakit hati, Danish gagahkan diri untuk mendapatkan peluang untuk berbicara dengan Alisia. Ditunggu gadis itu melalui susur gajah tempat dia berlumuran darah angkara gadis itu suatu ketika dulu. Usai dia nampak gadis itu melintasi tiang utama, cepat-cepat dia berkejar ke arah Alisia.

            “Alisia, nak pergi mana?”
            “Saya bertugas di perpustakaan. Kenapa? Awak tak pergi rehat?”

            “Saya ikut awak boleh?. Ada hal sedikit mahu cakap.”
            “Nak beri saya hadiah untuk esok ke? Saya dah dapat dah”. 

            “Itu memang dah ada. Siapa beri? Saya nak cakap ini, pasal Syahmi.”
            “Kenapa dengan dia?”

            “Dia ada cakap apa-apa pada awak?”
            “Tak ada cakap apa-apa pun. Dia cuma ada tulis surat sebagai hadiah ulang tahun untuk saya. Tapi, memang tiada cakap pun.”

            “Budak ini, kalau kena lempang nanti. Dia tulis apa?”
            “Nah, baca sendiri ya?. Saya nak pergi perpustakaan. Lambat nanti Cikgu Fariz Yussairy marah. Saya seorang sahaja budak menengah rendah. Tinggal”

            Pantas gadis itu melangkah menjauh tatkala ramai pelajar sudah berpusu-pusu menuju ke kantin sekolah. Entah apa yang ditakutkan dengan Cikgu Fariz Yussairy yang sentiasa menggembirakan di dalam kelas. Guru Bahasa Inggeris terbaik sekolah ini pernah ada. Malas mahu menikmati makanan di kantin, Danish memilih untuk duduk dengan tenang di Taman Teknologi. Duduk di tepi kolam sambil buka surat putih yang ada dalam genggaman. Memang tulisan Syahmi Hanis, ditujukan buat Alisia Rayyan.

            “Buat Alisia. Terima kasih sebab jadi kekasih yang baik selama hampir lima bulan ini. Tapi aku rasa kita memang tidak sesuai. Penat ajak keluar, tapi kamu langsung tak keluar. Mana boleh bercinta duduk di tepi telefon sahaja. Bosan dengan cara begitu. Kalau jumpa pun, hanya sebentar di kawasan sekolah. Nak pegang tangan semua jangan haraplah, memang aku tak pernah dapat. Apa pun, sampai sini sahaja. Aku dah ada teman wanita baru bernama Fariza Juliana. Selamat tinggal.”

            Tersentak jiwa Danish membaca tulisan Syahmi dalam warkah putih itu. Tergamak dia melukakan hati Alisia. Memilih gadis lain hanya disebabkan Alisia itu tidak dibenarkan keluar berpoya-poya di luar rumah. Memalukan kaum lelaki! Danish sudah merungut dalam hati. Tambahan pula esok ulang tahun kelahiran Alisia, dan inikah hadiah yang Alisai maksudkan sebentar tadi?. Mengapa tiada segarit wajah duka di wajah gadis itu? Pura-pura ceria untuk mengaburi mata empat aku? Danish Aryan tahu yang dia perlu bersemuka dengan Alisia untuk mendapatkan kepastian.

            Bunyi loceng tanda rehat sudah tamat kedengaran. Danish Aryan masih tidak berganjak. Alisia Rayyan perlu dicari, mungkin dia perlukan seorang teman untuk berkongsi rasa luka dalam jiwa. Kelibat yang ditunggu muncul juga akhirnya, gadis itu sedang mengangkat barang sendirian. Danish tersenyum riang. Itu boleh jadi alasan masuk lambat ke kelas, lagi pula, guru-guru sedang bersidang. Menghampiri Alisia yang terkedek-kedek berjalan. Tangan pantas merampas kotak besar yang dibawa gadis itu.

            “Saya tolong awak.”
            “Saya boleh buat sendiri Danish”

            “Tidak mengapa, sekejap ya?. Ini surat awak tadi.” Terkial-kial Danish menghulurkan warkah putih berlipat entah berapa itu kepada Alisia. Alisia sambut dan masukkan ke dalam kocek dengan lagak bersahaja. Danish terpaku, mengapa gadis ini sedemikian beku?

            “Awak baik-baik sahaja Alisia?”
            “Sudah tentu. Kenapa yang tak baiknya?”

            “Syahmi baru sahaja lepaskan awak pergi, tapi awak macam tak rasa apa-apa. Hati batu ke awak ini?”
            “Saya redha. Lagipun, saya tak cinta dia. Saya tak merasai cinta. Saya macam trofi dia sahaja. Syahmi kan mencari perempuan yang dia boleh gunakan? Saya penat nak tolong dia buat benda yang dia tak boleh. Saya bukan emak dia Danish. Sudahlah, saya tak mahu cakap pasal dia. Ada kerja yang Cikgu Yasmin suruh saya buat.”

            “Malam nanti saya telefon awak!”

            Jeritan terakhir daripada Danish Aryan itu bergema di laluan sutera sekolah. Ah, kelakar lelaki itu, adakah dia lupa yang dia minta aku dan Syahmi Hanis bersama? Bukan salah sesiapa gagal perhubungan ini, lagi pula, menjadi beban kalau terus bersama tanpa ikatan cinta yang nyata. Malam ini lelaki itu mahu menghubungi aku lagi, entah apa lagi yang mahu dibicarakan.

            Tanggal 29 Ogos menjelma lagi. Tahun ini, tahun 2000, hari Selasa. Kebetulan upacara pembukaan meraikan Hari Kemerdekaan Malaysia dilakukan pada hari yang sama memandangkan keesokannya, 30 Ogos, upacara kemuncak akan diadakan secara gilang gemilang. Ucapan silih berganti antara guru dan persembahan selingan menarik perhatian para pelajar. Tapi ada dua manusia yang sedang memberikan isyarat bisu membicarakan hati masing-masing – hanya mereka yang faham isyaratnya. 

            Hiruk pikuk tepukan gemuruh hanya aku abaikan. Danish Aryan duduk di sebelah barisan kelas aku. Dia hulurkan satu bungkusan merah jambu. Ucapan selamat ulang tahun boleh dibaca dari gerak bibir merah itu. Aku memandang dia dan mengucapkan terima kasih atas pemberian yang bermakna itu. Berjanji akan dibuka bila pulang ke rumah. Simpan bungkusan merah jambu di dalam beg sandang sekolah. Tiba-tiba ada rangkulan di bahu Danish Aryan. Hazwani Baiti, perempuan cantik kelas Satu Arteri.

            “Danish, kenapa awak ada di kawasan 2 Arteri ni?”
            “Oh, saya jumpa Alisia sekejap”

            “Dah, mari balik ke kawasan kelas kita. Maaf ya Alisia, saya bawa balik kekasih saya ini pulang. Kalau tak dijaga, memang dia berlari ke mana sahaja”
            “Bawalah dia balik. Bukan dia ada urusan dengan saya pun lagi”

            Tajam pandangan Danish Aryan lihat Alisia mengatur bicara tenang seperti itu. Gadis itu memang tidak akan pernah memahami betapa aku tidak mahu lihat dia sengsara akan perbuatan aku sendiri yang mendesak dia bersama Syahmi Hanis si celaka itu. Bingkas Danish bangun membontoti Hazwani Baiti, perempuan yang suka mendesak dalam kelas Satu Arteri. Menoleh ke arah Alisia, namun gadis itu langsung tidak memandang diri Danish.

            Alisia halakan pandangan kosong ke atas pentas. Rupanya Danish sudah ada yang punya. Entah mengapa dalam hati ada sesuatu yang mencucuk sepi. Langsung dia tidak terkenang Syahmi Hanis yang memberikan hadiah ‘terbaik’ untuk ulang tahun ke empat belas ini. Tertawa kecil sendirian dan terus menikmati persembahan. Ini jalan yang dipilih dan dia tetap akan teruskan. Syahmi Hanis Cuma watak tempelan dalam kanvas kehidupan.

            Balik ke rumah, Alisia hempas tubuh di ranjang merah. Sejak dia mengenal apa itu bola sepak antarabangsa, hidupnya mula dilingkari warna merah. Ah, kekuatan sesebuah pasukan itu memang buat hati dia tidak pernah gundah. Tahu yang mereka tetap akan menang walaupun pelbagai rintangan melanda. Capai beg sandang dan mula menyelongkar keluar segala khazanah. Cari bungkusan hadiah. Danish Aryan sudah menjadi milik Hazwani Baiti. Alisia senyum sendirian. Tangan pantas mengoyakkan sampul hadiah pemberian. Kotak coklat terserlah dan Alisia keluarkan isinya pula. Kotak muzik dan sebuah kad berbentuk hati. Coretan dalam kad itu dibaca.

            “Selamat ulang tahun ke-14 Alisia. Moga suatu hari nanti kamu sedar menjadi seorang perempuan itu indah. Kamu yang baik akan menjadi perhiasan yang cantik buat lelaki pemilik mahligai bahagia. Semoga berjaya sentiasa. Salam sayang persahabatan, Danish Aryan”



(bersambung)

0 ulasan:

 

Cetusan Marga Zara Copyright © 2011 Design by Ipietoon Blogger Template | Best Gift ideas