Sunday, November 25, 2012

Legasi Cinta Alisia : Bab 04

Cetusan Marga ♛ LORD ZARA 札拉 ♛ detikan 11/25/2012 09:55:00 PM


http://farm8.staticflickr.com/7057/6983576213_4c5a72c2d7.jpg
Perhatian : Semua karya yang disiarkan adalah hak milik penulis itu sendiri. Sebarang penyiaran semula tanpa keizinan penulis adalah salah dan melanggar hak cipta terpelihara. Tindakan akan diambil.



Suasana perhimpunan pagi hening seperti hari yang sebelumnya. Guru yang bertugas mingguan adalah Cikgu Adham yang terkenal dengan garang macam singa. Tegas dan garangnya memang seiring. Nah, kalau dibanding dengan Cikgu Huzaifah Asmara, memang berlainan sekali ragam mereka. Bila dikenang setiap Isnin, sesiapa yang lupa membawa buku catatan dan tidak mencoret pesanan guru yang membuat ucapan, pasti akan dilibas dengan rotan. Mana ada pelajar sekolah yang berani buat onar dihadapan beliau, umpama menempah maut secara percuma.

            Dayana mencuit bahu aku dari belakang. Aku menoleh dan dia hulurkan buku nota berbentuk daun – hijau menyerlah. Pantas aku sambar dan baca tulisan cakar ayam akibat tidak menulis tanpa tapak yang rata.
           
“Danish pandang kamu dari tadi”
           
Aku coretkan balasan sambil curi-curi pandang depan. Nahas kalau Cikgu Syed Yusof nampak perbuatan aku. Pengawas pula asyik berkeliaran, nyata memang buat aku meluat. Kaki ampu sekolah – gelaran bagi mereka yang memakai seragam biru itu. Benci. Aku suakan tangan ke belakang, buku nota hijau bertukar tangan.
           
“Peduli apa aku?. Jangan balas lagi Dayana. Kalau kena tangkap, pasti dilibas. Aku sayangkan aset punggung aku walaupun besar.”
            Aku buang pandang ke arah Danish. Dia sedang senyum tawar memerhatikan aku. Aku angkat kening dan dia buat isyarat mahu aku tunggu – isyarat yang hanya kami berdua tahu. Perhimpunan bersurai dan aku melangkah longlai menuju ke sarang Dua Arteri. Dayana tolak-tolak ke tepi dan aku hanya pandang sepi. Tiada nafsu mahu mengikuti seperti acapkali.
           
            Pening kepala akibat ceritera malam tadi masih bergetanyang. Adakah ini pembalasan Tuhan disebabkan aku benci lelaki bermata biru itu sepenuh hati di awal perkenalan kami?. Aku hanya mampu sembunyikan hati. Biarkan neraca kami tegar dalam menari atas lantai tari yang aku sendiri kurang pasti.
           
Entah berapa mata pelajaran berlalu, dan aku masih mengulit buku walaupun tiada guru. Ternyata, kehidupan aku tiba-tiba berubah. Mengapa lelaki kacukan itu pula muncul dalam kisah aku yang penuh darah?. Bengang terasa sampai mahu hentak kepala. Tepukan bahu dari belakang buat aku mahu hayunkan sebuah buku yang dicapai pantas.
           
“Ali, sila jangan terlalu ganas di dalam kelas”
           
“Husairi, kalau mahu tegur sila beri salam. Kamu tentu tidak mahu tinggal di dalam longkang, terbenam.
           
“Lebih elok kalau campak aku dalam kolam”
            Ketawa kami bergema di dalam kelas. Husairi Haiqal, teman baik di kala aku kegilaan. Kalau mahu ajak manusia untuk menjerit lagu kegemaran, heret sahaja dia. Gitar akustik akan dia iringkan sebuah nyanyian persahabatan.
“Kau nampak melayang sewaktu cikgu mengajar.”
           
“Eh, mana ada?. Aku berikan tumpuan. Kalau tidak percaya, silakan uji aku”. Aku campak buku tebal rujukan Geografi di kepala dia.
           
“Sakitlah perempuan! Kepala ini Abah aku bayarkan zakat tahu?”
           
“Jangan panggil aku perempuan! Abah aku juga bayar zakat kepala aku.”
           
“Mana kamu tahu?”
           
“Mahu beradu tenaga?. Ayuh, aku buka gelanggang”
           
Husairi Haiqal sudah mula tertawa. Gadis bernama Alisia Rayyan ini memang panas baran. Mana ada yang berani melawan kata-kata tegas dan ganas tutur bahasa. Pasti akan berakhir dengan kecederaan yang tidak terperi sakitnya. Ditolak kerusi gadis itu ke tepi. Kalau terlanggar nanti, habis seluruh cakerawala kelas jadi neraka.
“Ali, kau tak kena pergi bilik rawatan?. Kan hari ini hari Rabu. Selalu muka kau yang melepak di situ”

“Husairi! Nasib baik kau ingatkan aku. Kalau tidak nanti ‘Kakak’ Huzaifah Asmara melenggok marah pula”

Ketawa bergema memenuhi ruang udara. Ah, guru yang lembut itu kalau marah, boleh meletup bilik rawatan dengan jeritan suara jantannya. Pecah petala, bergegar telinga. Alisia pantas berlari dan tendang pintu yang menghalang laluan ke arah susur gajah. Husairi Haiqal hanya mampu geleng kepala. Gadis itu memang gila.

Aku ketuk pintu bilik rawatan. Danish Aryan sedang menulis di buku catatan. Dia senyum bila melihat aku masuk. Menoleh pada dia sambil lewa dan aku terus duduk di tepi meja di sudut bilik rawatan. Danish duduk di seberang meja dan merenung muka aku. Rimas dengan telatah dia, aku pandang pintu. Kalau-kalau Cikgu Huzaifah Asmara muncul di sebalik jendela atau pintu merah.
“Alisia, kamu marah?”

“Untuk apa kemarahan aku hamburkan?”

Tentang perkara malam tadi. Aku rasa bersalah pula.
“Kalau rasa bersalah, sila jangan sebut lagi.”
           
“Tapi Alisia, Syahmi Hanis itu jejaka kacukan.”
           
“Jadi?”
           
“Mata dia cantik.”

“Perlukan itu dijadikan ukuran kalau mahu berkawan?”

Ketawa bersahutan antara kami berdua. Entah kenapa aku pandang muka Danish Aryan secara menyeluruh. Ah, dia memang tampan, tetapi entah kenapa, aku halang diri daripada tertarik dengan dia. Mata biru disebalik kaca mata merah itu memang indah, tetapi bagai ada hijab yang tidak akan aku serlahkan selagi dia begitu rupa.
           
“Awak dengan Husairi ada kumpulan muzik sendiri?”

            “Belum lagi. Saya suka-suka menyanyi bila saya dilanda tekanan. Tidak akan memasang jadi artis rakaman.”

“Kalau awak buat album saya beli nanti. Betul. Lagipun, jujurnya suara awak sangat romantik”

“Romantik kata awak?. Suara saya ganas macam jantanlah.”

“Sebab awak rasa diri awak jantan. Cuba awak rasa diri awak perempuan?”

“Awak belum sarapan kan?. Saya takut nikmati gigi sebagai makanan”

“Oh, faham. Saya tamatkan rundingan”

Ketawa kami bersatu lagi. Danish pandang muka Alisia. Indahnya kalau kamu sedari bahawa kamu cukup indah sebagai seorang gadis remaja, anak dara. Mengapa mahu memilih menjadi sekasar lelaki tatkala aku dapat rasakan jiwa perempuan kamu semakin menyerlah setiap hari kita bersama?.

Syahmi Hanis melangkah tegar ke bilik rawatan sekolah. Dia tahu gadis kasar itu pasti berada di dalam sana. Dari luar, dia sudah mendengar gelak tawa gadis yang entah di mana mampu menundukkan hatinya dari pandangan pertama. Menyumpah juga dia dalam hati tatkala menyedari gadis biasa-biasa sahaja yang menguasai diri. Pintu dikuak dan dia melangkah masuk.

"Alisia"

Pantas gadis itu menoleh ke arah dia.

"Saya rasa awak perlu panggil saya kakak. Saya di Tingkatan Dua, dan awak Tingkatan Satu"

"Tapi, umur kita sama, sebaya. Betulkan Danish?"

Danish yang sejak tadi duduk di bangku hanya menguntumkan senyuman. Ternyata, Syahmi Hanis, lelaki kacukan Belanda itu sudah nanar dengan kehadiran Alisia dalam setiap mimpinya. Danish hanya mahu berjaga-jaga. Alisia itu tanggungjawab dia, entah bagaimana dia rasakan begitu pula. Alisia renung tajam muka Danish dan dia hanya ketawa kecil. Lucu gadis itu.

"Ada apa datang ke bilik rawatan?. Awak sakit ke adik?"

"Kalau saya sakit, baik saya jumpa ibu saya. Dia kan punya klinik sendiri. Tidak perlu saya ke bilik rawatan sekolah"

"Kalau macam itu, balik ke kelas. Buat apa sahaja masuk ke mari kalau tiada tujuan mendapatkan rawatan"

"Kenapa Danish boleh ada di sini?"

"Sebab dia sebahagian daripada ahli persatuan. Dah, kalau tiada alasan lain, sila tinggalkan bilik rawatan. Pulang ke sarang kamu."

Syahmi terpana. Perempuan itu sengaja tidak mahu mengerti atau mahu menyisihkan dia?. Menoleh ke arah Danish yang sudah menghampiri - membisikkan supaya keluar sahaja dari bilik yang sudah meningkat suhu akibat pertambahan haba. Dia menggeleng dan meluru ke arah Alisia. Tangan kanan gadis yang sedang mencoret di atas kanvas direnggut kasar.

"Sakitlah bodoh!"

Sepantas itu juga Syahmi rasakan bau hanyir darah memenuhi ruang wajah kacak warisan bapanya. Dunia kelam dan debukan terakhir yang didengar, dia mengerti yang dia sudah kalah.

*******
            Syahmi terjaga dan pandang ke luar jendela. Entah siapa menghantar dia pulang ke rumah. Kasur putih berbelang merah buat dia rasa selesa. Tapi itu sementara. Denyutan di mulut seperti mahu memusnahkan wajah Belandanya. Pantas dia bangkit dan menuju ke arah cermin yang tergantung. Tuhan! Bengkak sudah wajah yang terhangat di pasaran.
            Kedengaran tombol pintu dipusing dan Syahmi menoleh, mahu tahu siapa tamu yang masuk tanpa mengetuk pintu. Ah, cuma Makcik Maria yang tersenyum ceria. Mama pula entah ke mana. Masih di klinik menjalani rutin biasa agaknya.
            “Syahmi, ada kawan kamu mahu jumpa”

            “Siapa makcik?”

            “Entah. Dua-dua pakai cermin mata. Seorang lelaki, seorang perempuan. Mereka yang hantar kamu balik dari sekolah tadi”
           
Tidak perlu menafsir terlalu banyak. Dia tahu itu pasti Alisia dan Danish. Ada apa mahunya mereka itu lagi?. Usai membasuh muka, dia keluar dari bilik, menuruni tangga dan lihat tetamu yang datang ke mahligai indah. Terlihat dua manusia yang sedang duduk membaca
            “Danish, Alisia – ada apa datang ke rumah?”
           
            “Alisia datang mahu minta maaf di atas perbuatan luar sedar dia.”

            “Maaf Syahmi. Saya tak dapat kawal kemarahan saya lagi. Maaf sangat-sangat.”

            “Tidak mengapa. Saya tak seharusnya menyentuh awak tiba-tiba. Kesalahan saya. Tapi hairan juga, macam mana saya boleh ada di rumah?”

            “Lepas Alisia tumbuk kamu di muka, kamu berdarah dan pengsan. Aku menggelabah, tapi Alisia tenang sahaja. Dia heret kamu ke tangga tepi bilik rawatan. Pura-pura yang kamu jatuh dari tingkat dua. Usai beri rawatan ringan, nah, kami hantar kamu pulang. Cikgu Huzaifah Asmara beri kebenaran”
           
            “Kalian berdua memang pintar. Tapi Alisia, kamu tahu sesuatu?. Maaf dari saya bukan percuma. Awak sudah jatuhkan nilai pasaran saya. Maka, harus sahaja didenda.”

            Pucat muka Alisia mendengarkan kata Syahmi. Celaka lelaki ini. Patut aku tinggalkan sahaja dalam bilik rawatan. Gara-gara Danish yang terlampau baik hati, aku mengikut sahaja arahan dia, agar kami tidak ditahan polis dan digari. Pandang muka Syahmi dan aku lihat dia tersenyum sinis. Tak padan muka dah membengkak, mahu buat hati aku sakit pula.
           
            “Apa dendanya?”

            “Jadi teman wanita saya.”

            Alisia panggung kepala. Berdesing telinga mendengarkan permintaan Syahmi yang tidak masuk akal. Rentap beg sekolah dan berlari keluar dari rumah yang besar macam istana.

            “Alisia!”



(bersambung)

0 ulasan:

 

Cetusan Marga Zara Copyright © 2011 Design by Ipietoon Blogger Template | Best Gift ideas