Thursday, March 15, 2012

Legasi Cinta Alisia : Bab 03

Cetusan Marga ♛ LORD ZARA 札拉 ♛ detikan 3/15/2012 10:56:00 AM

http://farm8.staticflickr.com/7057/6983576213_4c5a72c2d7.jpg
Perhatian : Semua karya yang disiarkan adalah hak milik penulis itu sendiri. Sebarang penyiaran semula tanpa keizinan penulis adalah salah dan melanggar hak cipta terpelihara. Tindakan akan diambil.


“Alisia?!”

“ Aku datang untuk minta maaf pada kamu. Maafkan aku. Aku janji lain kali aku tidak akan pukul kamu lagi. Tadi aku terbuai dengan emosi. Nafsu sangat merajai. Barangkali. Maaf ya Danish?”

Alisia tunduk dan menghulurkan salam pada Danish. Tergamam lelaki itu lihat sikap Alisia berubah tiga ratus enam puluh darjah. Pantas dia genggam tangan gadis itu dan hulurkan senyuman mesra. 

Alisia keluar daripada bilik rawatan dan pantas menuju ke arah tandas di bahagian utara sekolah. Jatuh maruah dia meminta maaf pada lelaki yang menaikkan tekanan darah merahnya. Ah, demi menyedapkan hati guru disiplin yang bermisai tebal itu, dia akur sahaja. Tidak mahu tangan berbirat disebat. Danish Aryan, itu permulaan, bukan pengakhiran. Tanpa disedari, ada sesuatu yang mula terukir melebihi pawana di atas sana.

*******

            Perjumpaan Persatuan Bulan Sabit Merah bermula seperti yang dijadualkan. Kelibat ahli yang berdedikasi buatkan aku tersenyum sendiri. Ini yang menjadikan kami istimewa dan kebanggaan sekolah. Bukan calang-calang orang yang sanggup memenuhi permintaan Cikgu Huzaifah Asmara. Lelaki cerewet itu sedang menghitung usia hidup bujang yang selepas ini bakal diserah pada alam perkahwinan – masa untuk berasmaradana dan meneruskan ceritera bahagianya.

            “Alisia! Kedatangan pelajar menengah rendah ada pada awak?”, pertanyaan Kak Azlina buat aku tersentak. Ketua penyelaras dalam organisasi kami. Comel orangnya dan sentiasa menjadi buruan jejaka di sekolah. Ah, kalau di kantin, mesti sahaja dapat layanan istimewa.

            “Kak, kan saya dah kata, nama saya Ali. Janganlah panggil Alisia. Kedatangan pelajar ada di sini, semua dah lengkap.”, aku tarik muka sambil hulurkan fail peribadi pelajar menengah bawah. Geram juga dipanggil begitu, walhal dia tahu.

            “Alahai, adik kakak ni. Ali tetap Ali yang kakak sayang. Cuma kak terpanggil begitu disebabkan ada lelaki yang mengirimkan salam buat kamu. Dia kata, mesti panggil Alisia, bukan Ali, sebab nanti orang fikir dia homoseksual.”, sampai di sini Kak Azlina terus tertawa. Entah apa yang buat dia geli hati.

            Aku termangu dan turut ketawa. Lelaki mana yang buta mata hatinya itu. Sanggup mengirimkan salam buat aku yang gila ini. Aku pandang muka Kak Azlina sambil angkat kening kiri. Wajah penuh pertanyaan aku pamerkan pada dia yang baik hati.
“Siapa yang sengal itu kak?”
“Adik angkat kak.”
            “Senarai adik angkat sangat ramai. Senarai terbaru tahun ini saya belum kemas kini.”
“Danish Aryan, budak yang berdarah kamu kerjakan hari itu.”

Kak Azlina gelak kecil bila lihat aku membuntangkan mata. Ah, mahu apa lagi jantan itu? Berani dia cuba merobohkan pertahanan aku. Buat aku sakit hati sahaja. Tidak pandai serik agaknya. Mula menyumpah-nyumpah dalam hati. Bagaimana lelaki itu boleh terpilih jadi adik angkat Kak Azlina di saat paradigma dunia dia sudah aku terbalikkan.

Aku menatap borang yang tersusun kemas di hadapan. Borang kursus tahunan yang diedarkan sudah dipungut semula. Ah, bukan semua orang layak mengongsi tempat ke sana. Banyak yang perlu dipertaruhkan. Gambar pasport biru yang terlekat cantik di atas borang hijau dalam kotak berbunga aku perhatikan. Si doktor yang menyeringai setiap kali melalui kelas tingkat bawah memang menyakitkan hati. Nah, dalam gambar kelihatan baik, comel, kacak tetapi hakikatnya? Terbuku hati, berbulu jiwa. 

Maklumat peribadi Danish Aryan aku tenung sedalamnya. Kegilaan mahu mengoyakkan sekeping kertas yang dipenuhi tulisan condong ke kiri aku telan sendiri. Geramnya hati! Profil diri Danish aku amati. Ibu bapanya juga guru seperti ayah dan bonda. Catatan alamat rumah serta nombor telefon peribadi disertakan sekali. Aneh, tanpa aku sedari, aku catatkan ke dalam buku bercorak tulang milik aku. Entah mengapa, aku rasa perlu menulis perkara itu. Dalam diam, otak menggerutu.

Kuakan pintu buat aku menoleh ke belakang. Kak Azlina masuk dengan timbunan alatan serta peti kecemasan. Lantas, aku sorokkan buku catatan ke dalam beg sandang. Buku bercorak itu buku peribadi yang haram untuk disebarkan kepada taulan. Aku hulurkan tangan, cuba untuk meringankan beban kakak yang kaya dengan senyuman.

“Sudah mahu pulang Ali?”, Kak Azlina melontarkan pertanyaan bila dia lihat aku sudah mengendong beg di bahu. Aku senyum dan mengangguk kecil. Masa untuk balik ke sarang kalau tidak mahu Bonda meradang. Perjalanan ke rumah masih panjang. Tinggalkan kawasan bilik rawatan dan menaiki basikal sendirian.

Usai tiba di rumah, keseorangan dan bersiap untuk ke kelas petang. Deringan telefon memecahkan keheningan.
“Salam. Siapa di talian?”
“Salam. Boleh cakap dengan Alisia?”
“Maaf, awak salah rumah.”

Entah siapa yang mengganggu waktu senggang yang aku khaskan buat menghabiskan tugasan sekolah. Memanggil ku dengan nama Alisia sahaja sudah cukup buat aku naik darah. Lagi pula, aku kurang pasti sejak bila aku hebahkan nombor rumah pada mereka di sekolah. Penat mengomel, lempar baju, ganti dengan tuala. Baring sambil baca buku Sejarah. Telefon berbunyi lagi.
“Salam. Ali ada?”
“Ya, Ali bercakap. Siapa ini?”
“Awak dah balik rumah?”
“Eh tak. Saya di sekolah lagi ini. Masih dalam kelas.”. Bangang mana ini? Kalau aku di sekolah bagaimana aku menjawab telefon di rumah. Rasa mahu ketawa bercampur baur dengan kebengangan yang melanda. Waktu mengulangkaji sambil menyisip minuman sejuk sudah dicuri.

            “Maaf. Awak tiba di rumah jam berapa tadi?”
            “Jam lima. Eh, siapa ini?”
            “Awak tak kenal siapa saya?”
            “Tidak. Lebih baik awak beritahu sebelum saya jadi pembunuh”

            “Saya wajah yang sentiasa menunggu awak. Terima kasih atas masa awak. Selamat tinggal”. Telefon sudah diletak sebelum aku sempat mengucapkan apa-apa. Misteri benar pemanggilnya.

            Geram. Aku hempas telefon sekuat hati. Siapa sahaja yang cuba berlagak mulia untuk menyatakan sesuatu yang ternyata bukan jenaka. Tuhan, sabarkanlah aku. Bunyi luncuran kereta menandakan kepulangan Ayah dan Bonda. Teriakan untuk membantu mereka membantutkan khayalan aku tentang siapakah pemanggil yang cukup ‘bertuah’.

*******

            Kursus kepimpinan yang dirancang diteruskan juga. Ternyata, pelbagai kerja perlu dilaksanakan walaupun semua orang hampir pengsan kepenatan. Menaiki jip yang tidak bertutup di bahagian belakang dan melalui kawasan bandar sudah cukup buat muka tebal. Merah. Perjalanan masih jauh, dan tanpa sedar ada kepala yang terlentok dan terlelap.

            Danish lihat wajah gadis yang menjadikan dia musuh ketat, terdampar di bahu Kak Azlina. Kasihan gadis itu. Menyiapkan keperluan semua peserta menengah rendah terpikul atas bahunya. Sepatutnya dia juga terlibat sama, tapi apakan daya, ujian sekolah menjadi batu penghalang bonda yang garang.
            “Danish, tolong Kak Ina”.
            “Tolong apa Kak?”
            “Nak tukar tempat duduk boleh?. Kak rasa macam nak pitam duduk bahagian tengah.”
            “Tapi tu macam mana?”, pantas aku tunjuk Alisia.
            “Ah, tidak mengapa. Bukan dia sedar pun. Cepatlah Danish. Kak rasa kurang selesa perut ini. Mungkin akibat makanan pagi tadi”.

            Pantas kami bertukar tempat duduk. Kepala Alisia yang terlentok mencecah bahu aku. Tuhan, kalaulah dalam jaga, gadis ini lembut sebegini rupa. Ah, disebalik muka yang garang setiap kali bersua, rupanya ada kesopanan yang tersembunyi. Mengapa dia tidak mahu dipanggil dengan nama seorang wanita yang  kelihatan suci?. Dia menoleh ke kiri dan anehnya, hembusan nafas segar membuai hati. Ah, garuda mana yang bisa buat hati terpaut pada si kasar ini pula?

            “Sudah telefon dia Danish?”
            “Sudah kak.”
            “Dia tahu siapa kamu?”
            “Entah, tapi dia bercakap juga. Suara dia sangat romantik dalam talian”.
            “Gadis jujur yang tidak pernah kecapi bahagia. Sudah berapa kali kamu telefon dia?”
            “Banyak kali. Setiap hari, pulang dari sekolah, jam 3 petang dan usai berita bermula, jam 8 malam. Ah, bukan kak tidak kenal bapanya yang garang”. Danish tertawa sendirian, perlahan.
            “Hebat! Berapa kali bercakap di telefon, tapi dia masih tidak tahu?”
            “Mungkinkah jiwa dia sepi?”
            “Dalam hati dia tidak pernah ada penghuni. Jangan kamu tebak pertanyaan begitu depan mata dia. Kalau tidak, muka yang kacak itu pasti sudah hilang ke mana.”
            “Ah, macam Faizal minggu lepas. Habis bengkak hidung, merah – akibat dihentak dengan pintu oleh singa betina Bulan Sabit Merah.”

            Ketawa berderaian antara mereka berdua. Jip yang dinaiki bergoyang, terhentak melanggar lubang, tubuh Alisia terdorong ke tepi dan entah bagaimana, takdir menjadikan kejadian lebih menjulang pawana. Alisia terjatuh dari tempat sandaran ke lantai jip dan Danish terhempas ke tubuh gadis yang sedang mengaduh kesakitan. Bibir bersentuhan dan dua pasang mata sudah bertukar menjadi empat. Dua remaja berkaca mata berbingkai hitam. Tergamam dan terdiam.

            “Danish, bangun!”

            Danish bingkas dari badan Alisia. Tuhan, apa yang terjadi sebentar tadi. Arahan Kak Azlina dipatuhi dan Alisia terus bersandar ke tepi. Raup muka dan terus menyelongkar beg, cari air. Terperuk di celahan barang di dalam jip kecil itu. Danish menghampiri dan cuba untuk berbicara tetapi renungan Kak Azlina, buat dia duduk kembali.

*******

"Adakah ini takdir kita?"

"Entah, aku fikir ini hanya sebuah dongengan sepi"

"Tapi ikatan yang kita simpulkan hari ini?"

"Aku mungkin akan anggapnya sebagai sebuah memori dalam menjalani kehidupan yang hakiki"

"Benar begitu yang awak rasa?"

Dua bingkai cermin mata diletak ke tepi. Kanan dan kiri. Dua pasang mata bertembung. Mata biru jernih yang bersinar memancar pada mata hitam yang bulat dan galak. Dalam hati masing-masing ada gaulan rasa yang entah bila bakal terserlah. Ego itu selalunya suatu yang menjadi pemusnah. Jari bertaut, keadaan sunyi sepi. Debaran menjadi nyanyian dalam hati.

"Alisia"
"Ya Danish"

Tuhan! Kali pertama gadis itu mengiakan nama wanita dia di hadapan aku. Adakah daerah sepi telah dapat aku takluki? Adakah kasih sayang yang aku rasai dalam jiwa turut dikongsi oleh gadis ini? Besar rasa paru-paru doktor muda, kerongkong dibasahi udara basah bahagia, tekak dilalui angin manis sebuah cinta.

“Alisia, adakah awak sudi jika saya mahu awak menjadi suri dalam hati ini?
“Danish, kalau itu yang awak pinta, izinkan saya memohon restu ayah dan bonda”.
“Ah, saya terlupa. Keberkatan dari mereka bakal jadi inti pati utama”
“Jangan gelojoh Danish. Pentas ini kita yang punya. Jiwa ini, kita yang rasa”.
“Mari. Pinjamkan saya tangan awak. Kita menyelusuri jalan bahagia bersama. Moga ada cahaya yang bakal menemani sepanjang perjalanan kita meneruskan cinta ini sentiasa”.

Tangan sudah sedia dihulur. Hati sudah sedia bertaut. Mahu teruskan langkah, menemui leluhur agar segala perbuatan tidak akan cepat luntur. Senyuman terukir di wajah kami berdua, simbol percintaan yang bermula dengan janji setia.

Tepukan gemuruh kedengaran. Aku menarik nafas lega. Aduhai, tamat sudah persembahan spontan malam akhir kursus kepimpinan ini. Entah bagaimana, boleh terkena permainan gila bersama Danish Aryan sebagai pasangan. Memang buat aku menyumpah sepanjang saat. Geram.

“Ali, bagus lakonan tadi”
“Kak Mary, aduhai, jangan buat permainan itu lagi”
“Kenapa?. Kamu kelihatan sangat mendalami watak dan bersahaja”
“Ah, kata anak seorang guru Sastera, harus sahaja Ali hayati sebuah kisah. Lagi pula, kad tekaan itu sangat celaka. Ada pula situasi kisah percintaan yang Ali dapat. Sungguh mahu terajang kepala orang bila semua orang menjerit suka”.

Kak Mary hanya ketawa suka. Kelihatan Kak Azlina sibuk berbual dengan Danish Aryan. Ah, aku akui lelaki itu hebat juga. Bukan mudah mahu mengatur bunga bicara sedemikian rupa. Hati terdetik mahu kenal dia, walaupun hakikatnya aku seperti mengundang padah sahaja. Ego akan tercemar dalam sebuah tempat tidak berdasar. 

Tiada siapa dapat menyangka, kenangan malam terakhir itu sungguh istimewa. Aku dah Danish mula berkawan rapat disebabkan kami perlu laksanakan bersama. Ada harga yang aku perlu bayar dalam mahu bekerjasama dengan dia. Tahan sahaja telinga dia panggil nama aku sebagai Alisia. Tidak cukup dengan itu, dia tegur sesiapa sahaja yang panggil aku Ali. Ah, jantan itu memang penyibuk sungguh rasanya.

“Alisia, kalau malam ini saya mahu telefon awak boleh?”
“Untuk apa?. Lagi pula, awak bukan ada nombor telefon saya.”
“Boleh sahaja saya tengok dari pangkalan data.”
“Ada apa mahu telefon saya?”
“Perkara penting. Tunggu sahaja ya?”

Ah, pembantu peribadi (sengaja aku gelarkan dia begitu) aku ini entah apa-apa. Layankan sahaja telatah dia. Sementelahan pula aku terlalu sibuk minggu ini, terpaksa pinjam tangan dia sentiasa untuk melaksanakan tugasan yang diberi.

Malam menjelma, aku tunggu panggilan daripada Danish Aryan. Sambil buat tugasan sekolah, aku jengah telefon di seberang meja. Telefon berdering dan aku dengan pantas menerjah ke sana. Bonda hanya mampu geleng kepala.

“Salam. Alisia ada?”
“Salam. Ya, saya. Danish ya?”
“Ya. Maaf kalau ganggu kamu buat tugasan sekolah ke apa.”
“Tidak mengapa. Apa hal penting yang kamu mahu cakap sama saya?”
“Kamu kenal siapa Syahmi Hanis?”
“Kenapa dengan dia?”
“Dia kata dia suka kamu. Sudah lama dia jadi penunggu wajah kamu yang ceria”

Ganggang telefon terlepas dan aku sudah jatuh terduduk di atas sofa. Aku tarik wayar ganggang dan letak semula di tempatnya. Wajah lelaki kacukan Melayu - Belanda itu menari di mata. Mengapa mesti lelaki yang bergelar jurutera muda itu?. Tuhan, ujian apakah ini? Deringan telefon kedengaran lagi. Aku betulkan suara dan capai, mahu menjawabnya.

“Alisia, aku cinta kamu. Benar!”

(...bersambung...)

0 ulasan:

 

Cetusan Marga Zara Copyright © 2011 Design by Ipietoon Blogger Template | Best Gift ideas