Thursday, March 15, 2012

Legasi Cinta Alisia : Bab 02

Cetusan Marga ♛ LORD ZARA 札拉 ♛ detikan 3/15/2012 10:33:00 AM

http://farm8.staticflickr.com/7057/6983576213_4c5a72c2d7.jpg

Perhatian : Semua karya yang disiarkan adalah hak milik penulis itu sendiri. Sebarang penyiaran semula tanpa keizinan penulis adalah salah dan melanggar hak cipta terpelihara. Tindakan akan diambil.


            Aku tersentak. Ternyata kehadiran lelaki bermata biru itu bukan khayalan.

            “ Kenal saya lagi?”, pertanyaan lelaki berkaca mata itu berlalu pergi tanpa sebarang jawapan pasti. Hanya anggukan kepala dan aku meneguk air liur yang terasa kelat. Langit yang mendung di luar sudah berganti dengan hujan lebat.

            Mata memandang perhiasan yang jatuh berderai di atas lantai. Hadiah pemberian seorang pelakar istimewa. Sepi kelihatannya sebuah kenangan yang beku dek masa. Terasa diri bagai dijilat oleh mata. Ah, terlupa, ada dia di hadapan , setentang dengan kepala.

            Nampaknya masih kelam kabut macam dulu lagi.”, ayat lelaki itu masih sinis dan diiringi ketawa geli hati. Entah kenapa, naluri itu sudah lama berlalu pergi dan gelak tawa bersama sudah jadi sekadar mimpi.

            “Awak buat apa di sini?”, cuba mengelakkan si mata biru itu galak mengusik. Pelik, apa sahaja  yang dibuat oleh doktor muda itu di sekolah.

            “Alahai, kalau tengok carta organisasi di bawah tadi, nama Alisia ada sebagai salah seorang guru penasihat Persatuan Bulan Sabit Merah. Takkan tidak tahu mengapa saya hadir hari ini?”, bibir yang merkah merah itu mengorak senyuman yang cukup menawan. Tuhan! Mengapa lelaki itu sentiasa boleh buat aku berdebar! Jantung, sila abaikan apa kata hati.
            “Setahu saya, ada wakil Hospital Pakar Sultanah Zahrah yang akan datang untuk membincangkan perihal lawatan sosial kami ke sana. Masakan kamu pula yang datang?”, aku sudah garu kepala. Benda yang enteng itu, mengapa doktor pula yang dihantar.

            “Lembaga pengarah mahu hantar orang lain tetapi saya ternampak nama awak di surat. Terus sahaja saya tawarkan diri. Masakan mahu melepaskan peluang setelah bertahun terpisah?”, lelaki itu mengenyitkan mata. Luruh jantung melihat gelagat dia.

            “Ah, bukan saya seorang sahaja yang bernama Alisia. Kalau salah orang tadi, padan muka kamu”, aku cuba menempelak dia semula. Kata-kata lelaki berbaju biru muda ini sudah cukup buat muka aku jadi merah. Kalaulah diingat kembali bagaimana kami suatu ketika dulu.

            Derapan kasut yang muncul daripada bilik sebelah membuatkan kami serentak menoleh. Pengetua sekolah menghampiri dengan langkah yang teratur dan nampak gagah. Tanda-tanda orang yang mampu beristeri lebih dari dua memang terserlah. Ah, dia memang sudah punya dua permaisuri istana.

            “Cikgu Alisia, kenalkan Doktor Danish Aryan. Doktor Danish, Cik Alisia Rayyan, guru paling muda di SMK Jajahan Muara.”, entah mengapa pengetua tersenyum simpul bila mengenalkan kami berdua. Kalaulah dia tahu kami pernah mengikat benang dan reben merah di jari kelingking masing-masing, permulaan sebuah legasi sepuluh tahun yang lalu.

            Aku cuma terpaku berdiri ketika Pengetua sedang beramah mesra dengan Danish. Entah bila mereka sudah bergerak menuju ke bilik Pengetua, aku hanya mengekor di sebalik bingkai jernih kaca mata. Danish berjalan sedikit terkebelakang daripada Pengetua yang agak terbantut tumbesaran badannya. Aku berpaling dan merenung keluar jendela, memikirkan betapa masa cukup pantas berlalu dan meninggalkan coretan yang sedikit berbaur warnanya.

            “Bukankah saya pernah cakap yang Alisia itu sudah cukup indah namanya bagi seorang wanita?”, kata-kata Danish Aryan yang muncul tiba-tiba di belakang kepala buat aku hampir tersembam. Pantas tangan menahan meja dan kedengaran ketawa berdekah milik lelaki berkumis nipis itu bergema. Ah, celaka! Sudah berapa kali air muka jatuh di hadapan dia hari ini. Menoleh ke arah dia yang melambai dengan baju tebal dan beg di tangan. Si pelupa itu menghabiskan sisa tawa dan menuju ke pejabat Pengetua.

            Saat paradigma mula terhampar di depan mata, aku lihat cahaya mula menjelma dan pelangi melintasi tingkap di sebelah kiri. Adakah Danish Aryan yang mampu mengembalikan kasih saying dan meneruskan legasi sebuah hati?. Menghala nafas dalam. Mata tertancap ke perhiasan yang berderai di lantai. Capai tong sampah yang berenda merah, pungut serpihan fragmen kaca.

            “Ouch!”, tanpa aku sedari titisan darah merah mula mencacatkan warna lantai putih susu bilik guru yang mulia. Kenangan mengimbau saat darah semakin pantas memenuhi corak kotak empat persegi, ukiran buatan manusia yang indah.

Awal persekolahan 2000.

            Aku melangkah masuk ke kelas. Deretan pelajar baru bercampur dengan pelajar lama. Aku mengerling ke arah mereka. Ada yang muka takut-takut, ada juga yang riang bercanda dengan teman baru. Ketawa sahaja dalam hati lihat telatah mereka. Ah, aku juga begitu suatu ketika dulu. Muka pucat tidak bertoreh di minggu-minggu awal persekolahan.

            “Alisia!” , suara garau yang biasa kedengaran menjamah telinga aku. Ah, guru jambu itu sudah duduk di kerusi depan rupanya. Tanda nama dikerling, terpampang nama Huzaifah Asmara jelas menonjol di dada. Kelakar bila fikir lelaki itu punya nama yang cukup indah. Ah, seindah dirinya barangkali.

            Cikgu, nama saya Ali. Bukan Alisia. Malu saya kalau cikgu panggil saya begitu”, aku jeling kawan-kawan yang mula simpul wajah memberangkan. Keji mereka ini, harus dilanyak di sebelah selatan sekolah.

            “Ya, Ali, mana kakak-kakak awak? Sudah lambat mahu mula acara. Kalau mereka tiada, awak sahaja yang ganti”, Cikgu Huzaifah Asmara sudah menggunakan kuasa veto dia untuk mengenakan aku. Dasar lelaki autokratik. Mula sumpah dalam hati, kakak-kakak itu semua sibuk dengan ujian pengesanan sekolah yang entah mengapa sangat tidak kena pada waktunya.

“Saya mana boleh cikgu. Lagipun, saya baru Tingkatan Dua. Pilih orang lain sahajalah cikgu”, cuba menolak helah Si Asmara – panggilan nakal anak-anak sekolah pada lelaki yang gunakan kilauan merah jambu pada kereta kepunyaannya. Jambu dalam dan luarnya guru itu.

            Huzaifah Asmara sudah geleng kepala. Melihat susuk tubuh anak gadis yang sedang menginjak remaja itu yang entah bila mahu berubah. Pendekatan psikologinya harus diguna. Huzaifah mahu memasang jerat punai – menjatuhkan Alisia.

“Kata kacak? Mana boleh orang kacak tolak tawaran sebegini?”, pancing Huzaifah mula menunjukkan reaksi bila Alisia panggung muka dan renung muka guru yang merah akibat bahang cuaca tengah hari. Sorakan rakan-rakan buat aku berdiri, berjalan tegap ke hadapan, pantas dan berdiri di sebelah meja guru yang ditempati oleh Cikgu Huzaifah Asmara. Cikgu Huzaifah menghulurkan seberkas nota untuk aku. Lagaknya bagai mahu aku menguruskan perjumpaan pertama ini seperti aku Tuan Pengerusi.

Sekeping kertas merah jambu berbentuk hati di letak di tempat paling atas – “Awak jadi pengelola mesyuarat pertama hari ini. Kalau berani, jangan cuba untuk sembunyi diri. Buktikan diri kalau benar-benar rasa diri itu lelaki”.

Aku renung nota berbentuk hati itu. Menoleh ke tepi dan lihat Cikgu Huzaifah sudah ketawa senang hati. Terjebak rupanya aku dalam permainan dia hari ini. Geram menyelubungi hati. Tersentil lidah ketepi, dia mengejek aku sambil ketawa kecil menampakkan gigi. Ya, berseri, rasa mahu dibaling dengan baldi.
“Assalamualaikum dan salam sejahtera semua. Selamat datang ke perjumpaan pertama Persatuan Bulan Sabit dan Merah untuk tahun 2000 ini. Buat pelajar lama, selamat kembali ke sekolah dan meneruskan legasi perjuangan kita dalam persatuan ini. Adik-adik yang baru, selamat datang dan mewarnai kehidupan kami kerana di sini semua bagaikan satu keluarga yang bersatu hati”. 

Aku rasa aku sudah berucap dengan penuh semangat yang kental dan jitu. Siulan nakal daripada mereka yang mengenali aku sudah cukup buat hati terbuku. Ah, tidak mengapa, hari ini kamu buat aku berbulu, esok lusa kita temukan ruas dengan buku. Mengomel dalam hati agak enak bila kena menahan diri menjalankan tugasan yang diamanahkan oleh guru. Berpaling menghadap cikgu sambil senyum kelat terukir lesu. Cikgu Huzaifah ketawa perlahan sambil tunjuk tanda jempol, satu.

“Kenalkan diri pada semua pelajar dan beritahu jawatan kamu”, guru nakal itu memang harus dapat garisan lintang panjang di keretanya. Tahan muka mahu ketawa bila teringat rancangan gila.

Aku panggung muka ke hadapan kelas. Muka-muka yang hadir masih memerhati laksana aku seorang peragawati. Muka semakin merah apabila diusik lagi. Ah, pelajar yang lebih tua memang keji.

“Nama saya Ali. Saya Tingkatan Dua Arteri. Penolong Ketua Seksyen Menengah Rendah. Kiranya kalau Tingkatan Satu dan Dua, kamu semua dibawah jagaan saya. Jika ada sebarang kemusykilan atau pertanyaan, anda dibenarkan untuk bertanya. Ini Cikgu Huzaifah Asmara yang tidak sukakan lelaki. Masih belum beristeri tapi punya tunangan di sebuah negeri. Majlis tertinggi lain sedang menghadapi peperiksaan di dalam kelas, suatu kesinambungan khas penyambung tradisi”, sampai sini ucapan aku sudah bertambah gelisah.

Entah apa lagi yang mahu dijeritkan pada mereka. Cikgu Huzaifah tersenyum bangga di hujung meja dan membisikkan betapa aku kelihatan agak tegas walaupun ada selingan berbaur humor. Ah, mungkin sifat kepimpinan yang Abah terapkan sudah sebati bersemarak dalam jiwa aku ini.

Ada seorang pelajar angkat tangan. Comel wajahnya, kelihatan seperti pelajar Tingkatan Satu. Rakan-rakan di kelompoknya sudah bertepuk tangan gembira. Mungkin ini wakil yang mahu mengunjurkan soalan buat aku yang tercacak di hadapan.

“ Salam sejahtera semua. Saya ada beberapa soalan awal. Bolehkah diajukan sekarang?”, dia pandang aku seperti mahukan sebuah kepastian. Aku tersenyum dan mengganguk perlahan, tanda dipersilakan dan member kebenaran.

“Saya Danish Aryan daripada Tingkatan Satu Arteri. Ada beberapa soalan yang mahu ditanya tentang organisasi kita ini. Sebelum itu, mengapa kamu yang mempunyai nama secantik Alisia mahu dipanggil Ali? Bukannya kamu seorang lelaki”. Sumpah! Aku cukup tersentak dan suasana kelas sudah bertukar sepi. Adrenalin aku mengalir laju dan aku cukup mengerti, bahwa saat untuk membunuh sudah tinggal beberapa saat sahaja lagi.
“Maaf ya, soalan itu tidak dibenarkan. Terima kasih Ali. Awak boleh duduk dahulu di tepi. Biar saya ambil alih dari sini.” Cikgu Huzaifah dengan pantas sudah menghidu bahaya yang bakal menjelma. Ditolaknya aku ke tepi dan keadaan sekeliling sudah mula berbunyi kembali. Penerangan tentang persatuan diberikan, manakala aku masih mendongkol geram di meja guru yang dihias dengan jambangan bunga matahari. Terlihat ada mata yang memerhati. Aku merenung dia dengan dendam kesumat tidak bertepi.

Danish Aryan, cukup dikenali walaupun baru seketika Cuma berada di sekolah. Bercita-cita tinggi untuk menjadi pengamal perubatan hingga digelar si doktor oleh kenalan. Si doktor mula merencana sesuatu bila lihat Alisia melepasi tangga pemisah dua lapisan.Dia tahu Alisia bakal berjalan seorang diri. Gadis itu mana bisa lepaskan status dirinya yang kasar dan bersahaja? Kecut tubuh gagahnya kalau ditemani ke destinasi yang mahu dituju. Rawan hati si doktor muda. Ilham timbul dan doktor ketawa besar, galak sehingga ada mata menjeling tajam. Oh, dia lupa, masih dalam bilik empat persegi yang bahang rupanya. Deringan yang dinanti tiba. Pantas meluru keluar dan menunggu mangsa.

"Alisia!"

Perempuan itu berjalan tanpa menoleh mendengar suaranya yang bergema di susur gajah.

"Ali!"

Jeritan bersilang dengan bunyi bising cuitan mereka yang laparkan rezeki. Berbaloi, dia pasti. Pantas berlari mendapatkan gadis itu yang panggung muka sambil mata menerawang ke kanan dan ke kiri.

"Jangan panggil aku Alisia!". Gadis itu menumbuk bahu kiri si doktor muda. Dia menarik muka masam dan menggeleng kepala tanda tidak setuju. "Bukankah nama Alisia itu sudah  sempurna dan indah bagi seorang gadis?". Debukan kedua bergema dan Alisia direnggut pergi oleh orang yang lalu lalang memerhati. Tangan kanan berlumuran darah dan Alisia tersenyum sinis sambil memaki. Ludah ke tanah, pekat, penuh benci.

Danish yang berlumuran darah diusung ke bilik rawatan. Dalam kesakitan dia masih mampu ketawa lucu. Nyata, gadis itu bukan tandingan. Tutur kata sebaiknya perlu dijaga selepas ini kalau tidak mahu makan gigi sebagai sarapan pagi. Dia ketawa sepi dan penjaga bilik memandang penuh sangsi. Satu yang dia tahu, mengalah kepada Alisia adalah sesuatu yang tidak mungkin akan terjadi.

Setiap kali waktu unggas sekolah berbunyi, dia pasti menunggu kelibat Alisia muncul. Baru tadi dia berani menegur dan akhirnya jatuh menyembam bumi. Tidak mengapa fikirnya. Tunggu sahaja esok, baru dia kenal siapa lebih bahaya. Aku manusia yang digelar doktor, tetap akan membius apa yang perlu pada dia yang tidak kenal jantina.

Danish ketawa dalam kesakitan. Pintu terkuak dan dia lihat seseorang melangkah masuk setelah bertukar salam dengan penjaga. Eh, Alisia?!

(...bersambung...)

0 ulasan:

 

Cetusan Marga Zara Copyright © 2011 Design by Ipietoon Blogger Template | Best Gift ideas