Saturday, June 18, 2011

#9 : Kasino

Cetusan Marga ♛ LORD ZARA 札拉 ♛ detikan 6/18/2011 08:00:00 PM


“Karl!”

“Ya ayah”


“Ambil ni”, sambil hulur seuncang benda yang bergemerincing, Kamil usap kepala anak yang baru pandai membaca dan mengira di tadika.  Karl buka uncang, ketawa girang sambil tangan tunjuk jempol pada bapanya. Kamil senyum sahaja.

“Karl, sekolah belajar apa hari ini?”

“Matematik, kira-kira. Cikgu Khairiah kata kalau belajar Matematik, beli barang kat kedai tak kena tipu.” 

 Kamil mengekek ketawa mendengar celoteh anak kecil itu. Terbayang muka Cikgu Khairiah yang sawo matang dan tersenyum setiap kali dia hantar Karl ke tadika.

“Ayah, ada kawan Karl pinjam benda ni nak buat Matematik kat rumah dia”, Karl tunjuk kepingan berwarna hijau, merah, putih dan biru itu kepada ayahnya. Dia  hanya tersenyum sambil terfikir, apa agaknya yang difikirkan oleh ibu bapa budak itu di rumah bila nampak anaknya mengira guna kepingan buruk yang di bawa balik untuk Karl, anak yang tak kenal ibunya sejak lahir.

“Karl, masuk tidur, esok nak sekolah”

“Nanti ayah, nak siapkan kerja sekolah”

“Jangan lupa pungut benda yang bersepah nanti ni”

“Baik ayah”


Kamil beransur ke bilik. Kepala cecah bantal yang entah bila kali terakhir dicuci. Jadi bapa tunggal (istilah yang dia sendiri guna lepas isterinya lari), Kamil rasa dia sudah buat yang terbaik buat anaknya.
*******

“Ayah!”

Karl lari-lari anak pada Kamil yang setia menunggu di bawah pokok manga tadika setiap hari. Belum pernah gagal dia. Wajah Karl yang bengkak menangis diperhatikan, air mata yang mengalir dikesat perlahan.

“Kenapa Karl?”

“Kawan Karl, Kaizen kata benda yang Karl buat mengira ni haram. Dia kata bapak dia kata haram. Haram ke ayah?”

“Tak. Tak haram”

“Yang haram cuma babi dan arak kan ayah? Kasino tak kan?”


Kamil usap kepala Karl. Anak itu belum cukup besar untuk mengerti bapanya kerja di kasino. Kepingan yang dia buat mengira setiap malam itu “chips”. Benda bersusun di kasino – tempat kerja dia.

http://farm3.static.flickr.com/2620/3877559292_44eb24b5e4.jpg
[Sumber gambar]

Selingan : Cerita pendek sepanjang 300 patah perkataan ini aku tulis untuk pertandingan yang dianjurkan oleh Fixi. Malangnya gagal meraih sebarang tempat. Masih banyak perlu diperbaiki nampaknya. Yang menang memang hebat, tetapi aku akan tetap berusaha untuk menjadi yang terhebat. Mengalah itu payah. 

0 ulasan:

 

Cetusan Marga Zara Copyright © 2011 Design by Ipietoon Blogger Template | Best Gift ideas