Tuesday, March 29, 2011

Nuansa Marga Sakura Tuhfah

Cetusan Marga ♛ LORD ZARA 札拉 ♛ detikan 3/29/2011 11:14:00 PM

“Cik Sakura”.
            Gadis yang sedang terbaring, bersandar di kerusi membuka mata. Seorang jururawat sedang tersenyum memandangnya. Lengan kiri dijeling, mata tertancap ke arah beg darah yang sedang tergantung dibawah. Hampir penuh dengan darah pekat, O positif. Kesejukan bilik di Jabatan Patologi itu sudah sinonim dengan dirinya. Tiga bulan sekali, pasti dia akan menjejakkan kaki di situ.

            “Cik Sakura”
            “Ada apa kak?”
            “Pening ke?”
            “Eh, takdelah. Saya okay”
            “Mana teman yang selalu dengan Cik Sakura dulu? Dah lama tak nampak dia”
            “Oh, Kenzo? Entahlah”
            “Eh, tidak tahu?”

            Telefon genggam milik Sakura berbunyi, mengalunkan lagu dendangan Ana Raffali, ‘Tolong Ingatkan Aku’. Nama pemanggil tertera di paparan. Jururawat yang bertanya tersenyum dan mengisyaratkan Sakura menjawab panggilan telefon. Gadis itu menganggukkan kepala dan mengucapkan terima kasih.

            “Hello”
            “Sakura Tuhfah”
*******

            Hujan lebat menghempas badan kereta. Hajat hati untuk bertemu seorang rakan lama terpaksa dibatalkan. Sakura membelokkan kereta hitam miliknya ke arah Jusco Taman Universiti. Perut yang mula berkeroncong perlu diisi. Teringat iklan yang ditonton malam tadi, membuatkan dia bergegas menuju ke restoran makanan segera terdekat.

            “Assalamualaikum Sakura”

            Suara yang menyapa dari belakang membuatkan dia menoleh ke belakang. Sekilas pandang, Sakura menyedari susuk tubuh lelaki yang menegurnya. Jejaka berkemeja biru laut itu tersenyum lembut. Dia berundur ke belakang, memberikan ruang agar jarak mereka tidak terlalu rapat.

            “Waalaikummussalam Faiq Faisal”
            “Kenal saya lagi rupanya.”
            “Kawan universiti dulu, alhamdulillah, ingatan saya masih kuat”
            “Buat apa di sini?”
            “Makan tengah hari. Sementelahan hujan, saya singgah di sini sebentar. Selepas ini perlu pulang ke pejabat. Awak?”
            “Beli barang rumah sedikit”
            “Oh, baik”

            Suasana hening menyelubungi. Sakura mula rasa kurang selesa, semakin ramai yang melalui kawasan di mana mereka berdiri. Kepalanya terjenguk-jenguk kalau ada rakan yang melihat dia berdiri bersama dengan lelaki yang bukan sama kelas. Risau jika tersebar berita yang kurang enak.

            “Awak dah makan?”
            “Dah”
            “Saya minta diri dulu ya Faiq? Jaga diri awak baik-baik”
            “Awak juga Sakura”

            Faiq Faisal melihat Sakura berjalan ke arah restoran makanan segera berdekatan. Ada sesuatu yang mengocak mindanya ketika melihat gadis itu berlalu pergi. Bagaikan ada suara yang mahu keluar menahan anak kelahiran Johor itu daripada berlalu pergi. Kelibat gadis itu menghilang, Faiq berpaling dan melangkah keluar sambil melepaskan nafas perlahan. Timbunan dosa silam yang merenggut kebahagiaan manusia baik itu angkara cemburu mencengkam jiwanya. Rengsa. Sakit. Perit.

******

“Salam Kenzo. Jangan lupa solat Asar. Tutorial Kimia Organik harus diselesaikan segera. Petang ini ada majlis di masjid. Jemputlah datang kalau ada kesempatan ya?”

            Pesanan ringkas dari Sakura Tuhfah. Kenzo tersenyum cuma. Tidak pernah gagal gadis itu mengingatkan apa yang wajib bagi dirinya. Rasa disayangi, sesuatu yang tidak pernah dirasai langsung membuatkan hatinya gembira. Ah, gadis itu datang dari baka yang bagus. Kelibat Ibu dan Ayah gadis itu sudah dilihat minggu lepas. Memang tergolong dari keluarga yang baik-baik. 

Bagaimana dengan niat hatinya mahu mempertemukan dua keluarga sedangkan keluarganya tidak serupa keluarga orang lain? Keluarganya dan keluarga Sakura sangat berbeza. Laksana langit dengan bumi, bagaikan terpisah galaksi dan semesta.

“Salam Sakura. Terima kasih. InsyaALLAH, saya datang nanti. Oh, hujung minggu ini saya pulang ke rumah. Mahu pulang bersama? Kenzo sayang Sakura”

            Hampir sepuluh minit berlalu tanpa sebarang jawapan yang diterima. Iman Kenzo menjeling ke arah jam di atas meja belajar. Tuala mandi berwarna hijau muda dicapai. Baju dibaling ke dalam baldi, dan seluar digantung di tepi almari. Baru sahaja ditukar tengah hari tadi, masih boleh digunakan. Bunyi pesanan yang beralun lembut dari telefonnya mematikan jangkauan  tangan yang mahu menanggalkan seluar dalam. Telefon berwarna putih itu dicapai terlebih dahulu.

            “Terima kasih Kenzo. Sakura pulang dengan Ibu dan Ayah. Pulang hati-hati ya? Pemandu yang ambil kan? Kenzo jangan memandu sendirian. Moga sayang yang terbit dari hati itu dibajai dengan kasih pada Maha Pencipta.”

            Iman Kenzo rasa mahu melompat mendapat balasan SMS daripada Sakura. Betapa sukarnya mendekati gadis itu. Tidak lincah seperti anak gadis seusianya. Lincah sebenarnya tetapi tetap terjaga. Kadangkala Iman Kenzo merasakan dia berkawan dengan orang tua pula. Matang yang amat sangat dan Kenzo tahu, dia beruntung berkenalan dengan Sakura Tuhfah. 

*******

            “Sakura”
            “Kenapa Ibu?”
            “Ada kawan Ibu yang bertanyakan mengenai Sakura.”
            “Tanya apa ibu?”
            “Bertanyakan sama ada boleh atau tidak dia datang melamar Sakura untuk anak terunanya.”
            “Kawan ibu yang mana?”
            “Datin Umairah, bertanyakan untuk anak lelaki dia yang kerja di Nagoya, Jepun. Dulu pun dia belajar di sana selepas tamat kolej. Khabarnya dari NIT”
            “Ibu, tahu segala. Habis, apa jawapan ibu?”
            “Dah orang bercerita, ibu dengar sahaja. Ibu kata ibu kena tanya Sakura dahulu. Ini bukan zaman dahulu, ibu atau ayah boleh paksa anak gadis berkahwin dengan pilihan mereka. Ini zaman blog, Facebook, Twitter. Nanti apa-apa, naik pula nama ibu dalam Internet”
            “Amboi ibu”

            Sakura Tuhfah ketawa perlahan sambil memeluk ibu yang melahirkan. Betapa ibu seorang yang sangat memahami dirinya. Memahami keinginan dan impian yang ditanam di dalam diri. Nuansa dirinya berbicara perlahan sendirian, tidak mahu memikirkan terlampau banyak. Soal jodoh sebenarnya bukan urusan manusia semata-mata.

            “Jadi bagaimana?”
            “Tunggu dulu ibu”
            “Sudah ada calon sendiri?”
            “Apa maksud ibu?”
            “Manalah tahu. Anak ibu kan sudah berkerjaya sekarang ni”

            Hanya senyuman mampu diukir oleh Sakura Tuhfah. Biarlah jawapan itu tidak diluahkan pada Ibu yang dikasihi. Belum tiba masa dan saat membongkar rahsia hati, mendedahkan rahsia hati pada dunia yang mungkin tidak mengerti. Dia menunggu lelaki yang mungkin tidak akan muncul lagi. Sudah bertahun dicari tetapi tidak ditemui.

*******

            “Kenzo”
            “Ada apa Faiq?”
            “Kau kenal Sakura Tuhfah?”
            “Sekelas dengan aku, kenapa?”
            “Budaknya macam mana?”
            “Comel dan pandai. Rajin. Eh, kenapa banyak tanya ni?”
            “Tak ada apa-apa”
            “Kau kan sama sekolah dengan dia dulu kan?”
            “Emm...”

            Faiq Faisal baring, menghadap dinding dan membelakangkan Iman Kenzo yang sedang menyelesaikan tugasan akhir. Banyak yang perlu diselesaikan sebelum menamatkan pengajian. Semester akhir sungguh mengujakan walaupun hakikatnya kepenatan membuatkan dia hampir berputus asa.

            “Faiq, kenapa kau tanya tentang Sakura?”
            “Dulu dia lain sangat”
            “Lain?”
            “Ini”

            Satu sampul surat berwarna coklat dihulurkan kepada Iman Kenzo yang termangu dengan gelagat Faiq Faisal. Sampul surat dibuka dan beberapa keping gambar ditarik keluar. Buntang mata Iman Kenzo melihatkan sesuatu yang berada di luar jangkaan ini. Lafaz istighfar diucapkan berkali-kali, mohon kewarasan diri kembali. Sakitnya jiwa saat ini, hanya Allah yang Maha Mengetahui.

*******

            Lagu dendangan Ana Raffali, Tolong Ingatkan Aku berkumandang di dalam kereta. Sakura Tuhfah memandu perlahan sambil merenung keluar. Ada sesuatu yang mengusik hatinya sewaktu mendengar lagu itu. Perjalanan hidupnya bagaikan terhenti suatu masa dahulu. Sakit dan membunuh akibat api kemarahan yang tidak tertanggung. Nafsu.

Jangan disusun kata-kata penamat
Jangan disebut baris ayat keramat
Biar lenyap diserap sunyi
Biar senyap yang tak menyepi

Tolong ingatkan aku
Kisah kau tersedar
Dengan saku penyeluk masa

Mari patahkan papan markah lama
Mari padamkan buku tiga lima
Biar luka sembuh sendiri
Biar lupa dimakan hari

Tolong ingatkan aku
Kisah kau tersedar
Dengan saku penyeluk masa
Kau dampingi aku
Setiap detik jantungku berdetak
Setiap nota jiwaku berlagu-lagu

Bila marah merasuk minda
Kecewa menyelubungi jiwa
Aku lupa

Tolong ingatkan aku
Kisah ku tersedar
Dengan kasih memeluk rasa
Ku teringatkanmu
Setiap detik jantungku berdetak
Setiap nota jiwaku berlagu-lagu

Tolong ingatkan aku kisah kita
Tolong ingatkan aku
Kisah ku tersedar
Dengan kasih memeluk rasa

Tolong ingatkan aku
Kisah kita

            Ada air mata yang menitik sewaktu mendengar bait-bait lagu itu. Sakura tahu, ada kekesalan yang memuncak dalam marga dia yang pernah mengikut kata hati dan nafsu amarah yang menggila. Mangsanya? Lelaki kesayangan yang telah menghilangkan diri akibat kekecewaan yang tidak bertepi. Kosong hidupnya kini. Gelap dan sepi. Merindui satu jiwa yang membunuh perasaan dalam diam. Lukanya tidak kelihatan tetapi sakitnya tidak bertepian. Cuba untuk bertahan.

            “Kenzo, di mana awak?”

******

            “Kenzo!”
            “Beritahu saya apa yang berlaku dahulu!”
            “Itu kisah silam, saya sudah lama lupakan.”
            “Penting untuk saya tahu”
            “Keburukan dan keaiban silam. Untuk apa dibongkar semua itu?”
            “Saya benci bila ternayata Faiq Faisal lebih kenal awak?”
            “Faiq Faisal?”
            “Ya. Sudahlah Sakura, cukup. Tiada jalan penyelesaian yang harus ditagih kembali”
            “Kenzo, dengan dengar cerita Faiq Faisal, sudah boleh buat awak berubah hati?”
            “Saya ada bukti Sakura!”
            “Bukti apa?”

            Kepingan gambar dilemparkan ke arah gadis yang sedang berlinangan air mata. Buntang, terbeliak bulat mata Sakura Tuhfah. Ah, itu semua gambar, cebisan kenangan beku masa zaman jahiliah miliknya. Zaman yang penuh noda dan dosa tanpa kenal langsung erti takut pada hukuman Yang Maha Kuasa.

            “Ini zaman silam saya”
            “Kenapa tak pernah beritahu saya?”
            “Saya cuma tak mahu awak tahu. Kenapa? Awak rasa malu dengan saya?”
            “Selamat tinggal Sakura Tuhfah.”
            “Kenzo!”
            “Tinggal Sakura. Saya salah memilih rupanya. Topeng hitam yang melindungi kegiatan silam awak sudah pecah dan dosa yang cuba diempang mengalir keluar, busuk dan terdedah”

            Iman Kenzo berlalu pergi meninggalkan Sakura Tuhfah yang terduduk di tepi bangku berukir penuh gaya nusantara. Hujan yang mula menitis perlahan seakan mengerti penderitaan yang ditanggung. Sakura Tuhfah memanggil nama Iman Kenzo tetapi lelaki itu tetap tegar melangkah pergi. Ada air mata yang berlinangan mengalir di pipi lelaki itu.

*******

            Penghawa dingin yang hampir membuatkan Sakura menggigil tidak dihiraukan oleh gadis itu. Suara di hujung talian membuatkan dia tersenyum riang. Sudah hampir dua minggu tidak bertemu.

            “Ibu, apa khabar?”
            “Baik sayang. Di mana?”
            “Jabatan Patologi. Derma darah”
            “Hish, anak ibu ini. Tak habis-habis”
            “Ibu tak benarkan Sakura derma organ, jadi inilah sahaja caranya”

            Kedengaran ketawa kecil ibu di belakang talian. Pasti wanita hebat itu sedang menggelengkan kepala dengan telatahnya. Ah, ibu yang disayangi dan sentiasa membuatkan dirinya rasa dihargai.

            “Dari hospital terus balik ke rumah kita boleh?”
            “Kenapa Ibu? Memang bercadang nak pulang ke sana pun. Nak gantikan balik sel-sel darah dengan nutrien sihat yang Ibu masak”
            “Nakal. Balik sahaja, malam ini ada tetamu nak datang makan malam”
            “Siapa?”
            “Kenalan Ibu di majlis agama yang selalu diikuti”
            “Siapa?”
            “Nak balik ke tidak ni?”
            “Oh, mesti nak suruh tolong masak kan?”
            “Bijak!”
            “Baik, nanti Sakura balik. Jumpa nanti Ibu. Salam”

            Talian diputuskan dan Sakura Tuhfah tersenyum riang apabila jururawat bertugas membersihkan lengannya. Resit, kupon dan cenderahati dari pihak hospital disimpan di dalam beg sandang berwarna merah. Huluran senyuman dari petugas di situ dibalas ceria.

*******

            “Sakura, sekejap lagi tetamu nak datang, cepat bersiap”
            Jeritan Ibu dari luar membuatkan Sakura Tuhfah tersenyum. Ah, kalut benar Ibu. Bukan ada apa-apa yang mahu dikejar. Katanya makan malam bersama-sama sahaja. Semenjak Ayah pergi tahun lepas, Ibu menguruskan segala-galanya sendiri. Barangkali dia sepi di rumah ini. Tidak perlu menunggu lama, sebaik sahaja Sakura sampai di hujung tangga, Ibu muncul bersama dengan tetamu di ruang tamu.

            “Kenalkan, ini Sakura Tuhfah, anak saya. Sayang, ini Datin Umairah”
            “Apa khabar Datin? Datang seorang?”
            “Dengan anak, tapi dia tengah parkir kereta. Lambat sedikit masuknya tu”

            Sakura Tuhfah tersenyum sahaja. Air yang sudah disediakan dituang ke dalam cawan. Ibu dan Datin Umairah sudah hanyut dalam perbualan. Sekali sekala, Sakura Tuhfah bersuara apabila ditanya atau diusik oleh Ibu. Kelibat anak lelaki Datin Umairah belum lagi kelihatan.

            “Saya datang ini sebenarnya mahu tanya tuan punya badan.”
            “Tanya apa Datin?”

            Sebuah bekas baldu biru dikeluarkan dari tas tangan Datin Umairah. Dibukanya perlahan, berpinar mata Sakura Tuhfah melihat sebentuk cincin yang bersinar terang di dalamnya. Terdetik di dalam hatinya, apakah Datin Umairah datang melamar?

            “Ini untuk anak lelaki saya. Boleh atau tidak?”

            Suasana hening. Bunyi tapak kaki yang menghampiri pintu membuatkan pandangan Ibu, Datin Umaira dan Sakura sendiri dialihkan kepada kepala yang terjengul di muka pintu. Rambut yang terjuntai sewaktu membuka kasut diseka lembut. Lelaki itu mengangkat kepala sambil tersenyum mesra.

            “Assalamualaikum. Maaf lambat, ada panggilan telefon dari ketua tadi”

            Lelaki itu duduk di sebelah Datin Umaira dan memandang ke arah Sakura Tuhfah dan ibunya. Sakura tergamam melihatkan lelaki itu, wajah yang entah bila kali terakhir dilihat dengan penuh senyum dan tawa ceria. Paha Sakura ditepuk perlahan oleh Ibu. Gadis itu menoleh dan ibu senyum kecil melihat telatahnya.

            “Sakura, ini anak Datin Umaira”

            Lagu ‘Tolong Ingatkan Aku’ berkumandang di ruang tamu. Sakura pantas menyeluk kocek baju kurungnya, mengambil telefon. Tiada panggilan, tetapi lagu masih berkumandang. Lelaki di hadapannya menayangkan telefon sambil mematikan bunyi.

            “Sakura, ingat saya lagi? Saya datang menunaikan janji”
            “Iman Kenzo, ke mana kamu pergi selama ini?”
            “Mencari apa yang saya mahukan dalam hidup. Dan saya tahu, di akhir perjalanan saya, hidup itu perlu dihiasi dengan bunga. Yang saya mahukan, bunga sakura”

            Kotak baldu biru ditolak ke hadapan Sakura Tuhfah. Gadis itu memandang Ibu silih berganti antara Datin Umaira dan Iman Kenzo. Lelaki ini muncul pada saat hatinya sering teringat jejaka yang pernah meluahkan cinta.

            “Awak kan benci saya?”
            “Saya tak benci. Saya sukakan awak. Sebab terlampau suka, saya dah lukai awak. Masih ada ruang dalam hati itu buat saya? Makcik, saya melamar anak makcik bagi pihak saya sendiri disaksikan oleh Mama saya”

            Sakura Tuhfah tunduk. Mimpi yang pernah dilupakan menjelma semula. Nyata, realiti dan dia tahu, inilah saat yang ditunggu selama ini. Ibu mengenggam erat tangannya, menyalurkan rasa haba dan kasih sayang yang tidak terhingga buat anak. 

            Sakura”
            “Ya”
            Mari patahkan papan markah lama. Mari padamkan buku tiga lima”

            Sakura Tuhfah mengangguk perlahan. Dia hanya sedar dirinya dipeluk Ibu dan air mata yang mengalir perlahan di pipi dibiarkan jatuh tanpa diseka. Biarlah ini kali terakhir dia melepaskan air mata penuh rasa. Senyuman Iman Kenzo yang tersenyum lembut sudah cukup untuk membuatkan hati diulit bahagia. Benar kata Ibu, cinta hati yang disemai dengan niat kerana Allah, pasti akan kembali ke pangkuan suatu hari nanti.

            Ternyata. Ibu benar. Allah tidak lupa pada hambanya. Alhamdulillah, itu sahaja lafaz yang mampu diucapkan oleh Sakura Tuhfah. Nuansa marganya sudah bersambut walaupun menunggu sekian lama.

7 ulasan:

nama.aku.lynn on March 29, 2011 at 11:36 PM said...

love this story..tacing jugak tgh jalan tadi..smpai hati betol iman kenzo ni..but thank god dtg balik cari 'bunga sakura' dia..hihi..

thumbsss up sis!:D

a.s.m.a on March 30, 2011 at 5:07 PM said...

suka ^^

Perempuan Lanjut Usia on March 30, 2011 at 6:41 PM said...

suka ini. saya mahu lagi. :)

redbean on March 30, 2011 at 7:03 PM said...

better bahagi 2 episod. pjg sgt

btw, nice story ;)

nusrah on March 30, 2011 at 7:44 PM said...

blog ni kak zara khas kan untuk novel je ke?

nabielahuda on March 31, 2011 at 4:03 AM said...

akak, best sangat! (':

Anonymous said...

suka
menarik

 

Cetusan Marga Zara Copyright © 2011 Design by Ipietoon Blogger Template | Best Gift ideas