![]() |
| Perhatian : Semua karya yang disiarkan adalah hak milik penulis itu sendiri. Sebarang penyiaran semula tanpa keizinan penulis adalah salah dan melanggar hak cipta terpelihara. Tindakan akan diambil. |
“Hizami! Awak tak
apa-apa?”
“Sakitnya kepala saya”
Dahan ranting pokok kemboja di
belakang jatuh di atas kepala Hizami. Menggosok kepala sambil menyeringai
kesakitan. Alisia menghulurkan air minuman dengan harapan ia dapat melegakan
kesakitan yang ditanggung oleh lelaki itu. Sebenarnya sudah ada senyuman yang
dikulum oleh gadis itu sendirian.
“Liya,
saya sakit dan awak tersenyum?”
“Sebab setiap kali awak cuba melakukan sesuatu yang di
luar jangkaan, pasti ada sesuatu menimpa awak. Perasan tak?”
“Ah, awak dijaga oleh pari-pari ya?”
“Ni mesti terpengaruh dengan cerita-cerita fiksyen
berlebihan ni”
Hizami Helmi ketawa walaupun kepala
semakin berdenyut. Ah, acapkali dia tidak dapat mengawal diri dan emosi bila
berhadapan dengan gadis lincah itu. Ada sesuatu yang membuatkan dia rasa ikatan
antara mereka semakin erat setelah lama berpisah. Mungkinkah kenangan lama
menghantui diri tatkala sudah meninggalkan alam remaja?
“Awak
dengan siapa sekarang ini?”
“Penting ke untuk awak tahu?”
“Lelaki yang saya pernah nampak awak keluar bersama?”
“Bukan lagi. Sudah tidak bersama”
“Eh, bukankah dia kekasih pertama?”
“Cinta tak semestinya bersatu kan? Awak dan gadis arkitek
itu pun menyulam cinta bertahun tapi tersungkur di celah laluan”
Hizami Helmi meneguk air liur yang
terasa pahit. Gadis itu menghentamnya tepat di wajah. Kesakitan berganda yang
dialaminya membuatkan rupa wajah bertambah merah. Geram yang bukan mainan
dengan gadis itu. Ah, sempat dia menyindir di dalam senyuman.
“Liya,
awak ada di Malam Puisi Mawar kan?”
“Eh, mana awak tahu?”
“Saya salah seorang penonton. Lama saya perhatikan awak,
tapi awak buat tak endah. Bila saya tanya penganjur, dia langsung tak mahu
beritahu maklumat peribadi awak. Lama saya menjejaki awak. Akhirnya jumpa juga.”
“Kenapa nak cari saya?”
“Sebab awak kawan saya kan?”
“Betul juga. Untuk pengetahuan awak, saya benci mawar
merah. Jadi, terima kasih atas mawar putih yang awak gantikan semalam”
“Saya tahu. Saya teringat puisi awak. Leraian Mawar Merah
Berdarah. Pasti ada kaitan dengan sejarah silam kan?”
“Ah, lelaki pertama itu. Saya enggan bicara tentang dia.”
Muka Alisia Rayyan sudah mencuka.
Pantang dia bila hal lelaki itu ditimbulkan tatkala dia belajar begitu lama
untuk melupakan jejaka yang mencuri perhatiannya. Sakit yang teramat sangat.
Bunyi telefon di belakang membuatkan dia menoleh. Hizami Helmi sedang
menayangkan satu rakaman di tangan. Rakaman dia mendeklamasikan puisi yang
begitu memakan jiwa tatkala itu.
Kamu pernah datang.
Kamu pernah pergi.
Kamu pernah membajai
hati.
Tanah yang gersang dan
terbiar pernah kamu terokai.
Kamu pernah membawa
sinar harapan.
Kamu pernah menyajikan
kasih yang tidak mungkin sirna.
Kamu hamparkan segunung
impian, menyiram sejuta mimpi indah berseri cita.
Walaupun hakikatnya
kamu membunuh dengan lebih kejam seperti sebelumnya.
Kini kamu datang lagi.
Pintu yang tertutup
cuba kamu buka semula.
Kata kunci, kata laluan
utama menjadi taruhan kamu kembali ke kamar indah.
Kamu menjerit mahu
membaca semula.
Kamu melaung mahu menulis
semula.
Kamu meminta untuk
memadam semua cela.
Kamu buat aku ketawa
tatkala kamu muncul lagi.
Pasangan berlainan
jantina masih mengerumuni.
Kamu dambakan sebutir
kemaafan dan bertanya adakah layar mampu dinaikkan kembali.
Mungkinkah bahtera
gagah mengharungi lautan yang tidak bertepi.
Itu mimpi.
Mimpi yang kamu
sangkakan satu realiti.
Itu ilusi.
Ilusi yang kamu
letakkan di mata kamu yang tidak mahu berubah.
Itu tetap kamu.
Walau masa berlari
pantas.
Walau takwim bertukar
ganti sambil tangan pantas merenggut helaian, kamu tetap begitu.
Kata-kata yang
terhambur hanya uji kaji.
Hanya racun yang
sembunyi di sebalik manisan asli.
Jangan pernah datang
kembali.
Tempoh masa untuk
menuai hasil sudah berhenti.
Masa membeku.
Hati tertutup.
Mata padam.
Kamu mati.
Pasti.
Jangan datang kalau
kamu tidak pasti dengan hati sendiri.
Jangan kembali kalau
ada lain masih bergalang merantai setiap langkah yang kamu aturkan dalam hidup
di dunia ini.
Kamu hanya bakal
rosakkan apa yang dibina saban hari.
Pergi!
Jangan kembali.
Minggir dari sini.
Satu kelopak demi satu
kelopak gugur ke Bumi.
Kaup dengan tangan
kiri.
Tumpahkan ke dalam tong
sampah di tepi.
Biarkan diri diulit
sepi.
Kerana kau manusia yang
paling tidak diingini.
Kini.
Alisia meraup wajah sambil mengekang
air jernih yang mula bertakung di tubir alis mata. Merenung jauh hingga tidak
menyedari Hizami Helmi sudah menghulurkan sapu tangan berwarna biru padanya.
Cinta pertama yang tidak kesampaian buatkan dia mengerti bahawa cinta itu
sesuatu yang sering tidak pasti. Ah, cinta itu racun walaupun manis seketika.
“Liya,
maafkan saya”
“Tak mengapa. Saya terbuai dek emosi.”
“Liya, awak percayakan cinta?”
“Percaya. Walaupun begitu, ada sesuatu yang saya sudah
maklum lebih awal sebelum melayari bahtera hidup bersama dengan orang yang kita
cinta.”
“Apa dia?”
“Kita boleh memiliki hati dia, tubuh badan dia, tetapi
bukan jalan hidup seseorang itu. Itu apa yang pernah saya lalui dan saya akur
dengan ketentuan Ilahi. Tidak akan menangis lagi. Itu janji pada diri.”
Hizami Helmi menghela nafas panjang.
Ada benarnya pertuturan gadis itu. Bertahun dia menyulam kasih sayang bersama
teman wanitanya, dibawa berjumpa keluarga, melancong ke luar negara bersama,
tetapi akhirnya mereka mencari haluan hidup masing-masing. Sedih dengan perkara
sebegini yang membunuh jiwanya. Sepi dan sendirian melayari bahtera kehidupan.
“Liya,
awak ingat bagaimana kita bertemu suatu ketika dahulu?”
Telefon genggam milik Alisia
berbunyi sebelum gadis itu dapat menjawab pertanyaan Hizami Helmi. Isyarat meminta
diri untuk menerima panggilan ditunjukkan oleh gadis itu. Nama yang tertera di
paparan telefon membuatkan gadis itu tersenyum lebar. Ah, asyik sekali perasaan
dibuai berbunga-bunga. Hizami Helmi hanya mampu memandang gadis itu berbual di
telefon sambil tertanya-tanya, siapakah gerangan yang membuatkan gadis itu
mengukir senyuman menawan.
“Hizami,
saya perlu pergi dahulu. Ada urusan dengan seorang teman. Selepas itu harus
bergegas menemui pensyarah.”
“Siapa?”
“Rahsia. Saya pulang dulu ya? Selamat tinggal”
Lambaian gadis itu dibalas lemah,
perlahan. Belum sempat berkongsi rasa dengan teman lama, ada sahaja yang
mengganggu, cemburu pada kemesraan yang mahu dibaja. Hizami Helmi duduk di atas
bangku, menikmati pemandangan tasik yang bertentangan dengan fakulti tempat
ayahnya mencurah bakti dan tenaga. Helaan nafas semakin lemah. Ah, terasa mahu
lena.
*******
"Alisia,
awak sukakan Khalil Gibran bukan?"
"Kenapa?"
"Pasti awak
tahu puisi tentang Layla."
"Ya"
"Saya
tujukan ini khas untuk awak, walaupun bukan saya sendiri yang menulis"
"Kemarilah,
kekasih ku.
Kemarilah
Layla dan jangan tinggalkan aku.
Kehidupan
lebih lemah daripada kematian, tetapi kematian lebih lemah daripada cinta.
Engkau
telah membebaskan ku, Layla dari siksaan gelak ketawa dan pahitnya anggur itu.
Izinkan
aku mencium tangan mu, tangan yang telah memutuskan rantai-rantai ku.
Ciumlah
bibir ku, ciumlah bibir yang telah mencoba untuk membohongi dan yang telah
menyelimuti rahsia-rahsia hati ku.
Tutuplah
mata ku yang meredup ini dengan jari jemari mu yang berlumuran darah.
Ketika
jiwa ku melayang ke angkasa, taruhlah pisau itu di tangan kanan ku dan katakan
kepada mereka bahawa aku telah bunuh diri kerana putus asa dan cemburu.
Aku
hanya mencintai mu, Layla dan bukan yang lain.
Aku
berfikir bahawa lebih baik bagi ku untuk mengorbankan hati, kebahagiaan dan
kehidupan ku daripada melarikan diri bersama mu pada malam pernikahan mu.
Ciumlah
aku, kekasih jiwaku sebelum orang-orang melihat tubuhku.
Ciumlah
aku, ciumlah, Layla..."
(Kahlil
Gibran)
"Untuk apa
bait ini awak tujukan buat saya?"
"Perlukah
saya jelaskan lagi?"
Alisia
tersenyum girang mengingatkan betapa perbualan dengan seseorang sebentar tadi
membuatkan hati berdetap dengan lebih kencang setiap kali menerima pesanan
ringkas yang mendebarkan. Ah, ada nilai estetika yang dicari dalam hidup pada
manusia itu. Manusia yang membuka matanya bahawa kecantikan luaran tidak akan
menjamin kebahagian segala. Telefon berbunyi menandakan satu pesanan ringkas
diterima.
“Alisia, sedang
buat apa?”
“Teringatkan
kamu. Boleh?”
“Ikut kamu. Jaga
diri. Cinta kamu Alisia”
“Cinta kamu
juga”
Rakaman
suara, kenangan beku masa dan coretan indah. Itu sahaja kekuatan Alisia Rayyan menghadapi
hari demi hari. Air mata membasahi bantal dan ranjang, esakan memenuhi kamar
setiap kali lelaki itu pergi hanya dengan satu pesanan , sila jaga diri. Zettai
kareshi yang menjadi igauan mimpi setiap kali diri melabuhkan tubuh di ranjang
besi.
*****
Kereta
membelok ke perkarangan fakulti dan hujan mula turun membasahi bumi. Segar
dengan bauan rumput yang baru dipotong kemas di tepi, gadis itu melangkah
keluar dari kereta usai memarkir kereta di tempat yang disediakan. Menulusuri
titian hijau dan matanya tertancap pada seseorang yang berada di luar
gimnasium. Urusan apa dia di sini?
“Chia Hau?”
Lelaki
yang disapa itu menoleh. Ah, betapa terkejutnya melihatkan gadis idaman muncul di
hadapan mata. Apa yang dibuat oleh gadis itu di sini?
“Meu caro Alisia,
o que você está fazendo aqui? (Alisia, apa yang awak buat di sini?)”
“Eu tenho classe
aqui. Eu não te disse que eu mais os meus estudos? Fazer Masters de qualquer
maneira. (Saya ada kelas di sini. Eh, saya tidak beritahu awak yang saya
sambung belajar? Ambil Sarjana.)”
“Não. Você não
me contou sobre ela. Bem, não é realmente importante para me conhecer direito?
(Tidak. Awak tidak beritahu saya. Lagipun, bukan penting pun untuk awak
beritahu saya kan?)”
“Você está
certo. (Awak betul)”
Buntang
mata Brian Zaff Chia Hau mendengar jawapan Alisia. Padan mukanya menyatakan
begitu. Ah, dengan Alisia memang tiada istilah bermanja bagai. Tidak akan
dilayan sedemikian rupa. Tersenyum Chia Hau melihatkan pergelangan tangan
Alisia yang terikat dengan tali merah. Gadis itu memang bersemangat waja dengan
apa yang diperjuangkan. Malas mahu ditegur, risau kalau hanya menimbulkan
amarah.
“Saya ada kelas,
jumpa lagi”
“Awak habis
kelas jam berapa?”
“Satu petang”
“Saya tunggu.
Boleh makan bersama?”
“Tengoklah macam
mana.”
“Please Alisia”
“We’ll see about
that. I can’t promise you”
Alunan
irama Beethoven bergema secara tiba-tiba. Ah, pensyarah di bilik kaunseling
sudah memulakan rutin biasanya.Muzik dipasang sebagai terapi muzik bagi semua
pelajar. Tenang dan mendamaikan bagi jiwa yang mendengar irama dengan gembira.
“Alisia”
“Saya tak janji”
“Awak ada nak
jumpa orang lain?”
“Saya ada kelas.
Pergi dulu ya?”
“Saya tunggu
awak!”
Jeritan
Chia Hau bergema mengalahkan bunyi irama yang terpasang. Gadis itu hanya
mengangkat tangan dan membelakangkan dirinya. Berlalu pergi dengan gaya santai
persis seorang gadis remaja. Ada sesuatu yang jatuh dari sisipan failnya tanpa
disedari. Chia Hau membiarkan gadis itu berlalu pergi sebelum dengan pantas
mencapai kertas tersebut.
"Setitis
airmata menyatukan aku dengan mereka yang patah hati. Seulas senyum menjadi
sebuah tanda kebahagiaan ku dalam keberadaan. Aku merasa lebih baik jika aku
mati dalam hasrat dan kerinduan dari jika aku hidup menjemukan dan putus
asa." (Kahlil Gibran)
Berkerut
dahi Chia Hau membaca tulisan yang dicoretkan oleh Alisia. Apa maksud gadis
ini?
(bersambung)


